Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 19 Julai 2018

Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu lewat, LPT3 masih dalam pertimbangan dan kajian

KUALA TERENGGANU: Projek pembinaan Jalan Pintasan Kuala Terengganu (KT Bypass) yang sepatutnya siap pada Januari lalu dijangka mengalami kelewatan berikutan keengganan penduduk berpindah daripada bangunan kediaman dan perniagaan mereka yang terletak dalam laluan itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata dengan kelewatan itu, Jalan Pintasan Kuala Terengganu dijangka hanya dapat beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun depan sekiranya rundingan dengan penduduk di 21 lot tanah sekitar Kampung Durian Burung itu berjalan lancar.

"Jadi, kita akan teruskan rundingan dengan mereka supaya projek ini tidak akan terus lewat kerana ia akan memberi impak kepada kedudukan kewangan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Saya percaya mereka faham dengan kepentingan projek ini kerana ia akan memberi manfaat kepada 70,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu, saya merayu semua pihak (penduduk) agar memberi kerjasama dalam hal ini agar pembangunan dirancang tidak terlewat daripada jangkaan asal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan perkembangan projek itu di sini, hari ini. 

Kos keseluruhan projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu yang bermula daripada persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis di sini hingga ke Kampung Durian Burung adalah RM321.9 juta termasuk pemberian pampasan sebanyak RM116 juta kepada pemilik 171 lot tanah.

Antara skop projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu adalah membina jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875km, empat jambatan dan naik taraf serta pembinaan persimpangan di Jalan Tok Adis, Jalan Kampung Durian Burung dan Kampung Tok Molor.

Apabila siap kelak, ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Kuala Terengganu dan mempercepatkan tempoh perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu, Kelantan dengan penjimatan masa 30 minit.

Ditanya mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dari Pengkalan Kubur di Tumpat, Kelantan ke Gemuroh di Kuala Terengganu pula, Mohd Anuar berkata ia masih dalam pertimbangan dan kajian sama ada ia wajar dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Ini adalah lawatan kerja pertama Mohd Anuar ke Terengganu selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya. Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan status terkini projek-projek yang dilaksanakan kementeriannya di negeri ini. 

Sumber: Bernama | 19 Julai 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan