KOTA BHARU: Kementerian Industri Utama mempelawa pelabur tempatan dan asing untuk bekerjasama dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bagi membangunkan industri kenaf yang mempunyai pasaran besar di dalam serta luar negara.
Menterinya, Teresa Kok berkata industri kenaf mempunyai potensi besar serta berdaya saing untuk dibangunkan sebagai bahan mentah alternatif kepada industri berasaskan biokomposit, perabot, pembinaan dan automotif.
"Kita mempelawa mereka (pelabur) untuk melihat bagaimana produk berasaskan kenaf boleh dibangunkan untuk dieksport kerana kesesuaian produk kenaf untuk negara musim sejuk mahu pun panas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat LKTN di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menterinya Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pengarah LKTN Samsuddin Noor.
Mengulas selanjutnya, Teresa berkata berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Industri Kenaf Malaysia, sejumlah RM350 juta dianggarkan dapat dijana bagi pasaran domestik manakala permintaan di pasaran dunia dijangka mencapai RM3.5 bilion menjelang 2025.
"Namun penanaman kenaf masih agak baharu di negara kita dan ia mula ditanam secara komersial sejak 2010 bagi menggantikan tanaman tembakau.
"Dalam hal ini kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk menggalakkan pembangunan industri kenaf agar ia dapat menjana pendapatan bagi pekebun kecil yang kebanyakan tinggal di kawasan luar bandar," katanya.
Menurut Teresa, pada tahun lepas, seluas 2,213 hektar kawasan penanaman kenaf telah dibangunkan manakala tahun ini LKTN menyasarkan kawasan seluas 2,500 hektar ditanam dengan tumbuhan itu.
Malah, setakat ini sebanyak 1,000 pekebun kecil dengan purata pendapatan sebanyak RM1,750 sebulan terlibat secara langsung mengusahakan tanaman kenaf bagi pengeluaran fiber serta benih.
"Saya ingin memaklumkan bahawa Kilang Perintis Pemprosesan Produk Bukan Anyaman yang dibangunkan dengan kos RM26.5 juta oleh LKTN, dijangka beroperasi di Setiu, Terengganu mulai tahun depan.
"Kilang ini akan menjadi fasiliti pertama di negara ini yang mampu menghasilkan fiber berkualiti tinggi," katanya.
Beliau berkata kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak 2,400 tan metrik produk kenaf bukan anyaman setahun dengan nilai RM16 juta untuk pasaran eksport dan domestik berbanding hanya RM1.84 juta nilai jualan produk kenaf negara pada tahun lepas.
Sumber: Bernama | 15 Julai 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan