Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 3 Julai 2018

Pulau Pinang akan mohon naik taraf MPSP sebagai bandar raya

BUTTERWORTH: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membuat permohonan kepada Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menaik taraf status Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai sebuah bandar raya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana MPSP sudah memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai sebuah bandar raya sejak 2008.

Antaranya, kata beliau, hasil pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sudah melebihi RM100 juta selain kemudahan-kemudahan sosial, pendidikan, industri serta rangkaian jalan raya yang boleh diakses de­ngan mudah oleh penduduknya.

Menurut beliau, usaha menaik taraf status MPSP sebelum ini tidak boleh dilakukan kerana dasar Kerajaan Persekutuan mengehadkan hanya satu bandar raya sahaja di sesebuah negeri.

“Jadi kita berharap dengan adanya Kerajaan Persekutuan baharu, sekatan ini dapat dipertimbangkan semula dan kita akan membuat susulan semula berhubung permohonan supaya MPSP diterima sebagai bandar raya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPSP baharu di Bandar Perda, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 24 orang iaitu 11 orang lantikan baharu dan 13 orang dilantik semula sebagai Ahli Majlis MPSP bagi sesi Julai 2018 hingga Disember 2019.

Pulau Pinang ketika ini mempunyai PBT yang berstatus bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dinaik taraf pada 2015.

Sumber: Utusan Malaysia | 2 Julai 2018 | Terbitan 3 Julai 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan