Air sungai sudah bertukar warna merah dipercayai kesan daripada percemaran berpunca dari aktiviti perlombongan. |
Inilah hakikat yang perlu ditelan penduduk di sepanjang sungai ini dimana mereka hanya mampu melihat sungai yang menjadi sumber harian mereka tercemar.
Untuk diminum secara terus, ia adalah satu perkara yang mustahil malah, penduduk yang sebelum ini menjalankan aktiviti memukat dan memancing ikan mula menghentikan hobi mereka.
Semalam, ia menunjukkan kesan yang semakin terancam apabila warna sungai ini menjadi semakin pekat dan dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan.
Menurut sumber, ada aktiviti perlombongan di kawasan Pos Kelaid, namun tidak pasti apakah kerja-kerja berkenaan berkaitan dengan pencemaran tersebut.
Hasil daripada tinjauan, ia kemungkinan kesan aliran bauksit iaitu sejenis bijih utama untuk menghasilkan aluminium.
Penduduk Kampung Bertam, Nik Mohd Ariffin Nik Abdul Kadir berkata, keadaan sungai itu berubah dari keadaan asal sejak awal tahun lalu.
Keadaan Sungai Nenggeri yang tercemar. |
"Apa yang pasti, ia bukan kerana faktor hujan kerana apabila hujan, air hanya keruh dan warnanya bukanlah merah seperti ini.
"Ia mungkin memberi kesan kepada penduduk di pinggiran walaupun kami tidak mendapatkan sumber air sungai secara terus kerana adanya loji rawatan air," katanya.
Bagi penduduk, Daud Mamat, sejak Bah Kuning 2014, keadaan sungai itu mula berubah menjadi keruh.
"Sebelum ini, jika kemarau, sungai akan jernih. Namun selepas banjir, ia tidak pernah jernih. Paling membimbangkan bila tahun ini, ia berubah menjadi merah.
"Di kampung ini, kami mempunyai loji rawatan air yang disediakan sejak lebih 30 tahun lagi. Namun, bila keadaan ini berpanjangan dan makin teruk, kebimbangan itu tetap ada," katanya.
Sumber: Sinar Harian | 25 Julai 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan