Pengarah Penjara Kelantan, Hamzani Che Ibrahim berkata, pematuhan kepada amalan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tersebut sudahpun mencapai 90 peratus.
Beliau berkata, pada dasarnya segala asas telah dipatuhi termasuk dari sudut layanan, penjagaan anak-anak banduan dalam penjara dan akses kepada hak rawatan untuk wanita.
“Sebelum ini kita berpandukan Peraturan Mandela yang menggariskan hak-hak asasi banduan dalam penjara tetapi kini khusus untuk banduan wanita kita menggunapakai Peraturan Bangkok yang menterjemahkan keperluan dan hak-hak asasi mereka.
“Prasarana perubatan kita masih kurang tetapi kita sudah ada seorang doktor wanita dan kemudahan farmasi yang menguruskan keperluan kesihatan banduan wanita dan anak-anak mereka.
“Kita mempunyai 200 banduan wanita dan 10 kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah yang dijaga ibu mereka dalam penjara,” katanya katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima tugas antara bekas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Kamarul Alam Taib dengan Pengarah baharu, Mat Yaacob.
Untuk rekod, Peraturan Bangkok berasal daripada modul ‘Projek Kamlangjai’ yang diasaskan Puteri Bajrakitiyabha dari Thailand sejak 2006 dan diperakui sebagai peraturan pertama di dunia yang memberikan kesan proaktif kepada banduan.
Dalam pada itu, Hamzani memberitahu, produk pastri hasil usaha banduan wanita di Penjara Pengkalan Chepa mencatat perolehan RM1 juta tahun lalu iaitu yang kedua tertinggi selepas Penjara Alor Setar, Kedah.
Beliau berkata, bagi memberi peluang kepada bekas banduan, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Noor Al-Syakur (Yanas) dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang akan menyediakan rumah perantara untuk bekas banduan yang mempunyai kemahiran pastri menjana pendapatan dalam bidang itu.
“Kita sudah kenalpasti 20 bekas banduan yang akan tinggal di rumah perantara tersebut,” katanya.
Sumber: Utusan Online | 16 Julai 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan