Sydney Quays (empat dari kiri) bersama pekerja Kafe Starbucks di Pasar Raya Besar Tesco di Lembah Sireh, Kota Bharu. |
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food Bhd. dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Sydney Quays berkata, syarikat itu sedang dalam perencanaan untuk membuka sebuah lagi cawangan kafe tersebut di bandar ini dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Mungkin kita akan membuka sebuah lagi kafe ini di lokasi lain dengan konsep berbeza seperti yang terdapat di Lembah Klang iaitu kedai berkonsepkan pandu lalu, beroperasi 24 jam sehari dan kafe yang lebih kecil seperti terdapat di lapangan terbang.
“Apa yang kita rancang untuk cawangan kedua di negeri ini seperti menyediakan kemudahan bilik mesyuarat kepada pelanggan dan sebuah kiosk di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa nanti,” katanya.
Beliau ditemui semasa pembukaan cawangan Starbucks pertama di negeri ini di Tesco Lembah Sireh, di sini semalam.
Pembukaan cawangan ke-282 itu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan selepas 20 tahun syarikat pengendali jenama kopi popular itu beroperasi di negara ini.
Mengulas lanjut mengenai pembukaan cawangan baharu itu, Quays berkata, kesemua pekerja dan pengurus cawangan itu merupakan anak tempatan dari negeri ini.
“Kafe Starbucks ini betul-betul istimewa kerana kesemua 12 orang pekerjanya merupakan anak kelahiran Kelantan. Pengurus cawangan ini sudah bekerja selama 12 tahun di Kuala Lumpur dan apabila berpeluang balik ke negeri sendiri dia amat gembira.
“Saya juga sangat terharu apabila ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mencuba minuman Starbucks di sini. Ini kerana, asalnya kita akan beroperasi dan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula hari ini.
“Namun, akibat terlalu ramai pelanggan yang bertanya dan ada yang sudah berkerumun di luar kedai, kami terpaksa memulakan operasi semalam,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Starbucks juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) premis perniagaan di negeri ini seperti pematuhan waktu operasi pada hari Jumaat.
Sumber: Utusan Malaysia | 17 Ogos 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan