Orang
ramai berbaris panjang semata-mata mahu membeli borang permohon an PPR Kota
Bharu yang dibuka semula di Pejabat SUK Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu
hari ini.
|
Tinjauan Utusan Online mendapati, ratusan orang ramai berpusu-pusu masuk ke Pejabat SUK di Kompleks Kota Darulnaim, di sini sejak awal pagi dan sanggup berbaris panjang semata-mata mahu membeli borang tersebut di kaunter Unit Pengurusan Perumahan.
Keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mengehadkan setiap individu hanya dibenarkan membeli satu borang sahaja.
Bagaimanapun, borang berkenaan dikatakan habis sebelum tengah hari menyebabkan ada yang terpaksa pulang hampa.
Penolong Setiausaha Unit Penguat Kuasa dan Perumahan, Mohd. Faiz Azmil Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menyangka kehadiran sebegitu ramai pembeli dan setakat ini, kira-kira 2,000 borang permohonan telah habis dijual.
“Pihak kami tidak sempat mencetak borang baharu dan meminta orang ramai yang berminat datang semula keesokan hari.
“Permohonan khusus untuk PPR Kota Bharu ini dibuka sehingga hujung bulan. Selepas itu, pemilihan akan dibuat mengikut kriteria ditetapkan dan keputusan dijangka keluar pada hujung September atau awal Oktober,” katanya.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan pengguguran senarai hampir 700 pemohon PPR Kota Bharu kerana mendapati permohonan dibuat tidak telus mengikut syarat yang ditetapkan seperti kepada golongan pendapatan isi rumah bawah RM3,000.
Oleh sebab itu, pihak kementerian membuka balik permohonan semula PPR Kota Bharu kepada golongan berkelayakan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab menapis 100 peratus permohonan bagi PPR Kota Bharu memberi jaminan akan memastikan proses tersebut dibuat secara telus tanpa unsur ‘pintu belakang’.
“Amalan sebelum ini, kita bersetuju Kerajaan Pusat pilih 50 peratus, manakala baki 50 peratus lagi kerajaan negeri. Tetapi sebab ada ketirisan berlaku di pihak kerajaan Pusat yang terdahulu, permohonan lama dibatalkan.
“Ini satu usaha yang baik kerana kita nak pastikan biar orang yang betul-betul layak dapat rumah tersebut, tanpa mengira apa parti politiknya. Kita akan pastikan perkara ini dibuat betul-betul telus,” katanya.
Sumber: Utusan Online | 26 Ogos 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan