TUMPAT: Etiqa Takaful Berhad dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) menghulurkan bantuan pukat bernilai RM50,000 bagi membantu meningkatkan pendapatan 30 nelayan di daerah ini.
Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata sumbangan tersebut merupakan keprihatinan pihaknya dengan nasib golongan nelayan yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan menangkap ikan terutamanya pukat.
"Program bantuan tersebut melibatkan peruntukan zakat perniagaan Etiqa Takaful Berhad yang dilaksanakan melalui IAM," katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Pukat Untuk Nelayan Kelantan di Geting di sini, hari ini.
Beliau berkata selepas ini, program tersebut akan turut dilaksanakan melibatkan nelayan di Pahang, Kedah dan Johor.
Sementara itu, wakil nelayan yang menerima bantuan pukat tersebut, Rosdi Abdullah, 45, berkata bantuan itu amat diperlukan mereka berikutan ramai yang tidak mampu untuk menyediakan peralatan menangkap ikan itu.
"Ada antara kami (nelayan) terpaksa menggunakan pukat lama yang sudah rosak dan dibaiki semula untuk mencari pendapatan harian. Kami tidak mampu untuk membeli pukat baharu kerana pendapatan bulanan sekitar RM600 sedangkan untuk membeli satu pukat berharga kira-kira RM1,500 ," katanya.
Sumber: Bernama | 4 Ogos 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan