Mohamad Mahmud |
Panel Penyelidik dan Penerbitan Kajian Adat Istiadat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Mohamad Mahmud berkata, ada tiga masalah utama dalam buku-buku lama sejarah iaitu tiada kesinambungan antara bab; tarikh yang tidak sepadan kerana dicedok tanpa usul periksa dan penulisan hanya berpihak kepada yang menang.
Mohamad yang juga penerima Anugerah Tokoh Hiratul Rasul 1435H peringkat negeri dan lebih dikenali dengan nama pena, Abdul Razak Mahmud berkata, antara karya lama yang mempunyai kecacatan itu adalah Ringkasan Citra Kelantan, Ringkasan Sejarah Kelantan, Sejarah Kelantan dan Kelantan Dari Zaman Ke Zaman.
“Antara Kelantan, Pattani dan Kedah, negeri kita inilah yang tertua tetapi paling malang kerana tidak memiliki sumber sastera sejarah yang lengkap.
“Pattani punyai Hikayat Pattani, bermula dari Raja Pattani yang pertama hingga akhir, Kedah punya Hikayat Merong Mahawangsa yang walaupun dimulakan dengan kisah dongeng tetapi di belakangnya ada sumber sejarah yang boleh dipakai hingga sekarang.
“Kelantan malangnya tidak ada sumber sejarah, kita hanya ada sejarah yang ditulis secara ‘simpang prena’ (lintang pukang),” katanya ketika ditemui dalam majlis Bicara Sejarah dan Sastera Kelantan 2018 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, di sini baru-baru ini.
Hampir 200 peserta menghadiri program anjuran bersama Maik dan DBP Wilayah Timur tersebut.
Mohamad berkata, antara tragedi malang dalam pensejarahan Kelantan juga ialah ada naskhah penulis sejarah yang dimansuhkan kerana tidak serasi dengan pihak atasan.
“Kita tidak boleh paksa orang menulis sejarah mengikut kehendak kita, sejarah adalah mentah, seseorang mungkin menemui fakta yang berbeza daripada orang lain.
“Adalah malang apabila kita menemukan sebuah sumber sejarah tetapi tidak sama dengan kehendak kita maka kita hapuskan sumber itu,” katanya.
Mohamad berkata, setakat ini pihak Maik telah menerbitkan karya-karya untuk memperbetulkan catatan sejarah negeri ini antaranya Ikhtisar Sejarah Kelantan pada tahun 2015 yang juga merupakan hasil tulisannya sendiri yang telah diulang cetak sebanyak dua kali.
“Begitu juga Kisah-kisah Sejarah Negeri Kelantan tulisan Che Ismail Che Daud dan Kelantan: Sejarah, Adat dan Warisan yang merupakan tulisan bersama Datuk A. Aziz Deraman dan Baharin Ilias,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | 6 Ogos 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan