Penduduk
menggesa pihak berwajib menyegerakan pembinaan jambatan kekal di Kampung
Pemberian, Kuala Krai, Kelantan, semalam.
|
Sebelum ini, kerajaan meluluskan peruntukan kira-kira RM30 juta untuk membina jambatan kekal merentasi Sungai Lebir antara Kampung Manjor dan Pemberian bagi menggantikan jambatan besi yang runtuh akibat rempuhan sisa kayu balak ketika banjir besar lalu.
Seorang penduduk Kampung Pemberian, Abdul Rahman Hassan, 70, berkata, penduduk sudah lama menunggu jambatan kekal bagi memastikan jalan perhubungan mereka untuk ke bandar Kuala Krai dan membawa hasil tanaman lancar.
Katanya, jambatan itu juga penting untuk kegunaan murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian, SMK Pahi dan SMK Laloh.
“Saya penduduk asal di sini sudah lama menantikan jambatan ini dinaik taraf.
“Kami juga berdepan dengan masalah kerana setiap kali hujan lebat jambatan besi sementara yang dibina itu akan ditenggelami air sungai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Lazit Awang Kecik, 58, pula berkata, pihak berwajib harus merealisasikan harapan penduduk dengan mempercepatkan projek pembinaan jambatan itu.
Katanya, kerja-kerja projek jambatan kekal itu telah dimulakan awal tahun 2016 dan dijangka siap dua tahun selepas itu.
“Kita berasa tak sabar ingin melihat sebuah jambatan konkrit yang kukuh terbina di kampung ini.
“Kami tidak mahu lagi menggunakan perahu atau bot sekiranya jambatan besi sementara itu tenggelam dan mereka terputus hubungan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Shaari Ahmad, 61, juga berharap jambatan yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu diusahakan secepat mungkin.
“Kita tidak mahu pembinaan jambatan ini terbantut dan terpaksa menunggu lebih lama lagi. Penduduk tempatan juga sering merungut dan mahukan pelaksanaan pembinaan jambatan kekal segera kerana jambatan sementara sering tenggelam dan perlu penyelenggaraan semula selepas hujan atau banjir,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | 2 Ogos 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan