Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 24 Julai 2014

Maik cadang bina hotel, hospital sedia peluang pekerjaan golongan asnaf

Kompleks pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Lundang, Kota Bharu, Kelantan. 
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berhasrat membina sebuah hotel dan hospital bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik Datuk Nik Kamaruddin Ismail berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi iaitu di Jalan Datuk Pati di sini untuk pembinaan infrastruktur berkenaan.

"Pembelian tanah bernilai RM1.5 juta telah dibuat untuk tapak hotel dan kita jangka memulakan pembinaan tahun depan, namun ia turut bergantung kepada hasil kutipan zakat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat di Kompleks Balai Islam di sini Khamis.

Pembinaan hospital dengan anggaran kos RM30 juta masih dalam perancangan awal.

Sebanyak 1,740 penerima termasuk imam, bilal dan siak daripada 580 masjid di negeri ini menerima zakat berkenaan.


Sumber: Bernama | 24 Jul. 2014

Selasa, 22 Julai 2014

Aeon will go to Kuching and Kota Bharu by 2016

KUALA LUMPUR: Aeon Co (M) Bhd is making headway in its plans to expand to Kuching and Kota Bharu by 2016.

The company is planning its expansion to the two cities, with the land for the new stores already being identified.“We have identified the locations, and are in the planning stage

Very soon, it’ll be in the construction stage and that will take about two years to complete. “So, by 2016, you will be able to see these new markets Aeon will be in,” managing director Nur Qamarina Chew told a press conference after the company AGM here yesterday. 

The average size of the land would be between 20 acres and 25 acres each, added chairman Datuk Abdullah Mohd Yusof. 

Aeon has targeted to expand into Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah and Sarawak over the next five years

This year alone, Aeon will be opening three new Aeon outlets as well as two MaxValu stores.Two of the three new outlets will be part of the new shopping centres in Bukit Mertajam and Taiping. It will also be an anchor tenant in a shopping mall in the Kuala Lumpur business district. 

Although consumer sentiment is expected to be subdued going into 2015, especially with the goods and services tax (GST) coming on-stream in April 2015, Aeon is prepared to weather any downturn in consumer sentiment. 

Nur Qamarina said that following the Japanese experience, there is a likelihood that customers would buy more high-priced items prior to the introduction of the GST. 

“So, the two months before the GST goes live, it will be a good chance for us to do some promotional strategies,” she said.

Nur Qamarina added that any negative impact from the GST would be “stabilised” by the Hari Raya season in June next year.This year, Aeon is also looking to introduce new food and lifestyle brands. 

“We are moving in phase by phase to differentiate ourselves and to create a better shopping experience for our customers rather than to just hard sell and offer low prices,” said Nur Qamarina. 

Aeon recorded a slightly lower net profit of RM46.88mil for the first quarter ended March 31, 2014, compared with RM51.11mil a year ago. 

The decrease was due to higher utilities and promotion expenses, as well as initial costs associated with new store openings.

However, revenue for the quarter rose 8.8% to RM945.51mil from RM869.27mil in the same quarter last year, on the back of higher revenue from the group’s retail business and property management services segments. 

Source: The Star Online | 16 May 2014

Jajaran LPT2 dari Jabor ke Cheneh telah dibuka

KUALA LUMPUR: Jajaran projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari persimpangan Jabor sehingga persimpangan Cheneh di Terengganu dibuka kepada awam mulai hari ini bagi memudahkan pengguna pulang berhari raya.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dalam kenyataannya di sini Isnin berkata pembukaan laluan sepanjang 26 kilometer itu juga diharap dapat mengurangkan kesesakan trafik menuju ke Pantai Timur.

"Kerajaan komited dalam menyegerakan penyiapan beberapa jajaran yang masih dalam pembinaan iaitu dari persimpangan Cheneh ke persimpangan Chukai dan dari persimpangan Kerteh ke persimpangan Paka.

"Kerajaan yakin bahawa jajaran ini dapat dibuka secara berperingkat sebelum penghujung September ini," katanya.

Katanya LPT2 sepanjang 184km merupakan satu daripada projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh yang telah menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

LPT2 mula dibuka kepada orang ramai pada 22 Ogos 2011, dan sehingga 25 Jan 2014, kerajaan telahpun membuka sebahagian jajaran sejauh 104km dari persimpangan Kuala Terengganu ke persimpangan Paka.

Sumber: Bernama | 21 Jul. 2014

Khamis, 17 Julai 2014

Najib lancar perkhidmatan bas percuma di bandar raya Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan perkhidmatan bas percuma untuk kegunaan orang ramai bagi sekitar bandar raya Johor Bahru.

Perkhidmatan bas itu dengan slogan 'JB di Hatiku' akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam bagi laluan Larkin - JB Sentral - MBJB - Jalan Wong Ah Fook - Larkin dengan kekerapan perkhidmatan setiap 20 minit.

Majlis pelancaran tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Rabu. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled dalam ucapannya berkata perkhidmatan percuma itu melibatkan kos RM2.19 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) membabitkan perjalanan dari Larkin Sentral ke pusat bandar raya.

Beliau berkata perkhidmatan bas percuma ini diperkenalkan dengan tujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan bas percuma itu akan membabitkan penggunaan kad perjalanan yang dikeluarkan MBJB.

Dalam kenyataan oleh MBJB, perkhidmatan bas percuma itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan perkhidmatan percubaan bermula 8 Ogos hingga 7 Sept ini yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini.

Operasi sepenuhnya perkhidmatan itu dijadualkan pada 8 Sept ini yang mana perkhidmatan percuma itu ditawarkan kepada pemegang kad perjalanan MBJB.

MBJB akan menawarkan 3,000 kad secara percuma serta kad tambahan pada harga diskaun RM5 sementara stok masih ada. Harga kad biasa dijual pada RM10.

Menurut kenyataan itu, kad percuma itu boleh didapati di kaunter yang dibuka oleh MBJB di Larkin dan JB Sentral, di sini bermula 22 Ogos ini.

Sumber: Bernama | 16 Jul. 2014

Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM227,800 sekitar Kota Bharu

Azham (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan sekitar Kota Bharu.
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya merampas dadah bernilai RM227,800 dalam tempoh tiga minggu lalu, termasuk syabu seberat 81.8 gram di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sembilan lelaki ditahan dalam lima serbuan sejak 29 Jun lalu.

“Dalam serbuan pertama di Kampung Khatib Ali, di sini, pada 29 Jun lalu, kita menemui 91 botol cerah berisi heroin bernilai RM182,000 dan lima paket syabu dengan nilai RM14,500 serta menahan tiga lelaki tempatan.

“Pada 6 Julai lalu, kita turut menahan seorang lelaki di Kampung Binjai Limbat, Kubang Kerian, di sini kerana memiliki heroin bernilai RM900 dan 50 biji pil kuda,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Azham berkata, serbuan ketiga pada 8 Julai lalu di Kampung Pengkalan Datu, Sering, di sini, polis turut menangkap dua lelaki kerana mengedar 50 gram syabu bernilai RM11,500.

Terbaharu katanya, polis turut menahan dua lelaki di Kampung Hutan Buloh, Melor, kerana memiliki tiga botol heroin yang dianggarkan bernilai RM1,350.

Dalam kes berasingan, menurutnya, seorang pekerja kilang plastik berjaya ditahan di balai pelepasan LTSIP kerana memiliki syabu bernilai RM16,800.

Semasa pemeriksaan tubuh di balai pelepasan, didapati sesuatu yang diselitkan pada bahagian pinggang lelaki terbabit. Dia bertindak melarikan diri ke tingkat atas sebelum ditangkap.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai dua bungkus plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 81.8 gram dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Azham, hasil ujian air kencing mendapati suspek berusia 36 tahun itu positif methamphetamine dan kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 Jul. 2014

Jumaat, 11 Julai 2014

LPT2 Jabor - Cheneh dibuka 21 Julai ini

KUALA TERENGGANU: Pakej kedua projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor ke Cheneh di Kemaman akan dibuka kepada semua lalu lintas pada 21 Julai ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, laluan sepanjang 26 kilometer itu akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya sempena Aidilfitri.

"Baki 54 kilometer keseluruhan LPT 2 yang belum siap dijangka dibuka selewat-lewatnya akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini hari ini.

"Kita juga sedang meneliti kemungkinan untuk membuka laluan Cheneh ke Chukai pula sekiranya sempat sebelum Aidilfitri ini, namun belum mendapat kelulusan dan belum diwartakan untuk membuka laluan terus Jabor-Cheneh-Chukai sepanjang 40 kilometer itu," katanya.

Jika laluan ke Chukai itu sempat dibuka sebelum Aidilfitri, bermakna kita hanya perlu menyiapkan baki 40 kilometer sahaja lagi, katanya.

Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu itu adalah kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006.

Projek LPT 2 itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Projek yang sepatutnya siap pada akhir tahun 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual berikutan masalah kenaikan harga barang pembinaan di pasaran.

Sumber: Bernama | 10 Jul. 2014

Khamis, 10 Julai 2014

Dadah: Remaja antara 89 ditahan di sekitar Jajahan Kota Bharu

Azham turut memberi kaunseling dan menasihatkan individu yang ditahan dalam Ops Tapis, semalam.
KOTA BHARU: Seorang remaja yang baru berusia 16 tahun antara 89 penagih yang ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan sekitar daerah ini di atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini semalam bertumpu kepada kawasan perumahan dan ‘port’ dadah yang dikenal pasti menjadi pusat kegiatan menagih serta memiliki bahan terlarang itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, operasi yang bermula sekitar jam 10 malam semalam dan berakhir 10 pagi kelmarin, turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM11,000.

“Operasi dijalankan dengan kekuatan 90 anggota dan tangkapan dilakukan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini. Dalam ops kali ini, kita berjaya rampas 382 pil kuda, 0.4 gram heroin dah 2.0 gram dadah jenis syabu dalam beberapa serbuan dilakukan sempena ops ini,” katanya kepada pemberita di IPD Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, dari 89 orang yang ditahan 86 merupakan lelaki dengan tiga daripadanya adalah wanita yang berusia sekitar 16 hingga 55 tahun.

“Kita akan reman kesemua mereka hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut dan perkara ini amat dipandang serius, memandangkan ia amat membimbangkan apabila yang paling muda ditahan adalah berumur 16 tahun dan dia mengaku mengambil pil kuda,” katanya.

Azham berkata, rata-rata mereka yang ditahan adalah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
“Terdapat empat kes di bawah seksyen 39A(1) ADB 1953 dan 13 kes di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952. Selebihnya kita tahan dan kesan melalui waran tangkap yang telah dikeluarkan dan kita berjaya mengesan individu ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan akan diteruskan bagi menangani masalah penagihan dan pengedaran dadah serta membendung peningkatan kadar jenayah.

“Kita akan terus jalankan operasi bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah dihapuskan," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Jul. 2014

Rabu, 9 Julai 2014

Tempat bersejarah Gua Cha terbiar - Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan diminta ambil perhatian

Tempat rehat orang ramai yang berkunjung ke Gua Cha terbiar runtuh.
GUA MUSANG: Tempat bersejarah Gua Cha di Pos Tohoi, dekat sini, semakin hilang seri apabila segala kemudahan termasuk bilik mandi dan tandas awam banyak rosak dan runtuh tanpa ada pihak bertanggungjawab menyelenggarakan kawasan berkenaan.

Ia pernah menjadi tumpuan pengkaji sejarah kerana penemuan pelbagai barangan purba dan pusat ekspedisi berakit di Sungai Nenggiri.

Kebanyakan pengunjung sama ada peserta ekspedisi atau pelancong yang kerap mengunjungi kawasan itu tidak lagi berbuat demikian kerana tidak mahu menanggung risiko kejadian tidak diingini.

Menurut seorang pengunjung, Muhamad Halif Hamzah, 42, Gua Cha menjadi tempat bersejarah kerana terdapat rangka manusia terpanjang di dunia yang dipercayai mati dan ditanam dalam gua berkenaan beratus tahun lalu, perlu dijaga dengan baik.

Katanya, ia menjadi tarikan pengunjung yang ingin melihat sendiri penemuan itu di gua berkenaan, di samping pengunjung berpeluang menyertai ekspedisi berakit anjuran pelbagai pihak dari situ ke kampung Orang Asli di Pos Tohai.

Memang sukar untuk pengunjung mandi atau membuang air kerana kemudahan tandas awam terbiar rosak tanpa dibaiki sejak lebih dua tahun lalu.

“Kami juga sedih melihat kawasan persekitaran yang bukan sahaja kemudahan seperti itu rosak, malah banyak lagi terbiar hingga menjejaskan tumpuan pelancong,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Fauzan Haun, 34, pula berkata, jika kawasan berkenaan diselenggarakan selalu, tidak mustahil ia menjadi destinasi pelancongan paling tersohor di negara ini, selain menarik tumpuan pengkaji sejarah datang dari merata tempat.

Antara tandas awam di Gua Cha yang rosak dan tidak diselenggarakan.
Dia yang kerap berkunjung ke Gua Cha itu untuk menyertai ekspedisi berakit turut terkejut melihat kawasan berkenaan yang kurang penjagaan.

“Sepatutnya keadaan tidak berlaku sedemikian kerana boleh dikatakan sepanjang masa akan ada sahaja kumpulan dari merata tempat datang untuk menjalankan aktiviti lasak, termasuk mendaki gua itu atau aktiviti lain yang mencabar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Jul. 2014

Ahad, 6 Julai 2014

Jangan terpedaya papan tanda gergasi promosi skim cepat kaya

Papan tanda gergasi di Jambatan Pulau Pinang yang mendakwa Zhang Jian bakal menjadi orang paling kaya di dunia. Foto: The Star

PETALING JAYA: Mengapa seorang ahli perniagaan yang 'berjaya' dari sebuah pasaran yang besar dan luas seperti China datang ke pasaran yang kecil seperti Malaysia?

Kedutaan China di sini berkata syarikat milik ahli perniagaan itu telah diharamkan di China dan pengasas berusia 26 tahun itu pernah ditahan oleh pihak polis di sana sebanyak lima kali.

Lelaki itu kini telah memindahkan operasinya ke sini, dan wajahnya terpampang di papan iklan gergasi mempromosikan skim cepat kaya yang dibawanya.

Iklan syarikat terbabit di internet memberitahu orang ramai bahawa mereka boleh mendapatkan jumlah wang banyak dan memandu kereta mewah tanpa perlu bekerja.

Ia juga menunjukkan bahawa ramai jutawan telah dilahirkan di seluruh dunia. Dengan hanya melabur sebanyak RM300, pelabur dijamin dengan pendapatan antara RM2,700 dan RM6,800 sebulan.

Sumber polis percaya mungkin ada unsur-unsur jenayah dalam skim itu, yang jatuh di bawah bidang kuasa Bank Negara.


Satu pemeriksaan ke atas beberapa laman web di China menunjukkan bahawa pengguna laman sosial di negara itu telah mencatatkan petikan rencana mengenai 10 kes sistem pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dari laman web Biro Keselamatan Awam dan Pentadbiran Negeri bagi Industri dan Perdagangan China, memetik bahawa pengendali laman web Yun Shu Mao telah mengerah pembayaran yuran daripada peserta baharu (downliners) yang dikatakan akan menerima ganjaran yang besar sebagai balasan.

Artikel ini melaporkan bahawa pihak berkuasa di China berkata skim itu telah berkembang di 28 wilayah yang melibatkan 190,000 orang dan pada Ogos tahun lalu, polis di lapan wilayah telah menahan 33 orang yang terlibat dalam skim ini.

Undang-undang di China melarang mana-mana individu atau syarikat daripada menjalankan pemasaran melalui sistem MLM atau piramid.

Pengguna lain juga mendakwa bahawa pengasas Yun Shu Mao menukar namanya kepada Zhang Jian apabila melarikan diri ke Malaysia.

Satu portal berita dalam talian telah memetik Gabungan Sukarelawan 1Malaysia (GS1M) Datuk Ng Bong Ching sebagai berkata terdapat laporan polis yang dibuat terhadap skim ini. Katanya, beliau telah membuat pemeriksaan laporan itu dengan kedutaan China.

Portal berita dalam talian juga melaporkan bahawa pada bulan Januari tahun ini, penipuan melalui skim cepat kaya yang dikendalikan oleh lelaki warganegara China itu juga telah memperlihatkan kira-kira 10,000 orang mengalami kerugian sebanyak RM20 juta.

Mangsa tertarik dengan skim ini kerana ia menjanjikan kereta-kereta mewah dan wang tunai dalam tempoh yang singkat. Menurut iklan yang diletakkan oleh syarikat itu, ahli perlu membayar RM300 untuk mendaftar.

Untuk setiap ahli yang direkrut, dia akan membayar RM50 untuk setiap seorang sehingga tahap keenam. Apabila melepasi tahap keenam, seseorang ahli perlu menambah yuran keahlian dengan jumlah maksimum RM30,000 untuk terus menikmati faedah.

Ahli-ahli juga dijanjikan pulangan saham melalui e-saham dan barangan mewah, termasuk kereta BMW melalui cabutan bertuah apabila mereka mencapai tahap tertentu dalam pengambilan.

Sementara itu, klip video 15 minit di YouTube menunjukkan ahli perniagaan itu memberitahu penemuramah bahawa Malaysia dipilih kerana penduduknya yang terdiri pelbagai bangsa dan bahasa.

Katanya, dia akan menjalankan model perniagaannya melalui skim MLM, sambil menambah bahawa 10 peratus lelaki terkaya di China mendapat kekayaan secara dalam talian.

"Tahun lepas, kami mengambil masa hanya sembilan bulan untuk mendapatkan seramai 30 juta ahli. Tahun ini, kami telah memecahkan rekod, dengan angka mencecah 100 juta. Tidak kira apa jenis perniagaan yang anda ceburi, anda memerlukan orang ramai. Tanpa orang ramai, bagaimana anda akan mahu membuat pengendalian dan memperoleh pendapatan?," katanya dalam temu bual itu yang dikeluarkan pada 19 Mac tahun ini.

Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang sebelum ini berkata bahawa kedutaan China sentiasa mengikuti perkembangan kontroversi yang timbul daripada apa yang dikenali sebagai skim cepat kaya ini.

Beliau mengingatkan pelabur-pelabur di Malaysia supaya bijak dan memahami dahulu sebarang rancangan sebelum menyertai sesebuah skim pelaburan.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan bahawa Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor telah mula menyiasat Yun Shu Mao di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 lima bulan lalu. 

Sumber: mStar Online | 6 Jul. 2014

Ahli Parlimen Tanah Merah rancang bangunkan Tanah Merah

Ikmal Hisham (dua, kanan) diiringi Hussain (kanan) menunjukkan sumbangan untuk guru kepada Ab Aziz pada Majlis Apresiasi Sejambak Budi di Tanah Merah, semalam.
TANAH MERAH: Pelbagai perancangan dirangka untuk dilaksanakan di Parlimen Tanah Merah dalam tempoh beberapa tahun akan datang ke arah menjadikan daerah ini sebuah kawasan maju dan membangun bagi kesejahteraan rakyat.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, selepas beberapa kemudahan infrastruktur diluluskan dalam tempoh setahun lalu, pelan masa depan itu diharap membawa lebih banyak perubahan di Parlimen ini sekiranya dapat dilaksanakan.

Katanya, pelan perancangan pembangunan itu termasuk berusaha mendapatkan kelulusan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Misi saya dan Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha sekarang adalah untuk memastikan dahulu projek pembangunan dan kemudahan yang telah diluluskan dalam tempoh setahun lalu dilaksanakan.

Antara projek tersebut ialah pembinaan jejantas, pemasangan lampu isyarat di simpang empat Bechah Laut, naik taraf Pasar Besar Tanah Merah, pembinaan pasar baharu Gual Ipoh dan taman rekreasi,” katanya, semalam.

Ikmal Hisham yang juga Ketua Umno Bahagian Tanah Merah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada guru dan kakitangan sokongan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri, semalam.

Sempena Majlis Apresiasi Sejambak Budi itu, kira-kira 2,200 guru dan kakitangan sokongan PPD seluruh Kelantan yang mengundi di Parlimen Tanah Merah menerima sumbangan berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussain Awang; Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Ab Aziz Abdullah dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah, Che Abdullah Mohd.

Ikmal Hisham berkata, beliau menjadikan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berjaya membawa pembangunan pesat di Parlimen Jeli sebagai inspirasi dan akan cuba melakukan perkara sama di Parlimen ini.

“Sebab itu, saya perlukan sokongan semua pihak termasuk warga pendidik untuk membuat perubahan dan membangunkan Tanah Merah,” katanya.

Mengulas majlis penyampaian itu pula, Ikmal Hisham berkata, ia sebagai menghargai jasa warga PPD dalam kalangan pengundi di Parlimen Tanah Merah atas sokongan mereka sehingga beliau dan Mohd Bakri menang pada PRU13 lalu.

“Majlis ini adalah yang kedua diadakan selepas tahun lalu sebagai tanda kecaknaan Umno Tanah Merah yang sentiasa menghargai guru dan kita akan jadikan majlis ini sebagai amalan tradisi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Jul. 2014

Sabtu, 5 Julai 2014

'Colek', hidangan istimewa di Kelantan selepas solat Tarawih

KOTA BHARU: Sepanjang bulan puasa, ada satu juadah istimewa yang ditunggu-tunggu rakyat Kelantan iaitu sejenis rojak atau biasa disebut penduduknya sebagai 'colek'.

Istimewa colek itu kerana ramuannya terdiri daripada ayam goreng, peparu, perut lembu, udang, sotong, cucur dan sosej yang dicelup dengan tepung sebelum digoreng dan dimakan bersama kuah pencicah.

Terdapat juga campuran buah-buahan yang dipotong kecil dan dimakan bersama pencicah yang diperbuat daripada gula melaka dan cili yang disebut oleh masyarakat luar negeri itu sebagai rojak buah.

Seorang peniaga, Noraini Abdul Hamid, 40, berkata gerai coleknya itu menjadi tumpuan orang ramai selepas solat tarawih iaitu antara pukul 10 malam hingga 1 pagi.

"Memandangkan gerai saya ini berada di hadapan masjid, ia memudahkan pengunjung untuk bersantai bersama rakan dan keluarga selepas menunaikan solat tarawih, " katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di Jalan Kampung Sireh di sini.

Noraini berkata dia menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu dengan memperoleh pendapatan antara RM700 dan RM1,000 setiap malam hasil jualan pelbagai sosej pada harga RM1 hingga RM5 berdasarkan saiz.

Dibantu oleh suami, Nurmanto Ariffin, 43, dan tiga pekerja, mereka turut menyediakan menu istimewa seperti jus buah-buahan dan mi goreng udang.

Sumber: Bernama | 5 Jul. 2014

Jumaat, 4 Julai 2014

Tiket bas ekspres ke Pantai Timur dari Bandar Raya Melaka Bersejarah laris

Kaunter tiket di Terminal Bas Melaka Sentral. Gambar kecil: Sebahagian kaunter memaklumkan kepada orang ramai mengenai kehabisan tiket ke Pantai Timur.
BANDAR RAYA MELAKA: Tiket perkhidmatan bas ekspres untuk perjalanan ke destinasi negeri-negeri di Pantai Timur paling laris dijual di Terminal Bas Melaka Sentral, di sini sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kaunter tiket membabitkan beberapa syarikat perkhidmatan bas utama mendapati kebanyakan tiket untuk perjalanan cuti perayaan itu yang bermula 23 Julai sudah habis dijual, manakala perjalanan ke Utara dan Selatan masih ada.

Kerani tiket syarikat perkhidmatan bas Ekspress Mayang Sari, Suhadah Salehuddin berkata, kesemua tiket untuk perjalanan ke Pantai Timur sudah habis sebaik ia mula dijual kepada orang ramai sehari sebelum Ramadan lalu.

“Setakat ini, hanya perkhidmatan bas untuk ke Utara dan Selatan masih ada sementara untuk ke negeri Pantai Timur sudah habis.

“Setiap tahun keadaan sebegini memang biasa apabila kebanyakan tiket untuk perjalanan ke Pantai Timur paling laris,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, tinjauan ke kaunter tiket perkhidmatan syarikat Bas Ekspres Mara Liner yang dibuka sejak 1 Julai lalu, mendapati perjalanan ke Pantai Timur masih ada.

Menurut kerani bertugas, Ibrahim Mansor, kebanyakan perjalanan untuk cuti Aidilfitri bermula 24, 25 dan 26 Julai banyak dijual.

“Setakat ini, tiket-tiket bas untuk perjalanan ke negeri Pantai Timur masih ada lagi dan kami berharap orang ramai boleh mendapatkan segera sebelum kehabisan.

“Cuma tiket untuk tarikh 25 Julai paling laris dan tidak banyak lagi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Melaka & Negeri Sembilan | 4 Jul. 2014

40% peniaga Pasar Siti Fatimah Rantau Panjang sudah mula berniaga

Kira-kira 40 peratus peniaga telah memulakan perniagaan di Pasar Siti Fatimah Rantau Panjang, bermula awal Ramadan lalu
RANTAU PANJANG: Seramai 70 peratus peniaga sudah mengambil kunci premis di pasar baharu Rantau Panjang (Pasar Siti Fatimah), manakala 40 peratus daripadanya sudah memulakan perniagaan ketika Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Ahmad Robert Abdul Rahim berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai akan memulakan perniagaan di pasar berkenaan menjelang dua minggu sebelum Syawal.

Menurutnya, sekiranya lebih ramai peniaga membuka premis perniagaan, suasana akan lebih menarik, sekali gus pengunjung akan lebih berminat untuk membeli belah di situ.

Beliau berkata, terdapat sebahagian peniaga menunggu beberapa hari selepas ketibaan Ramadan sebelum membuka premis perniagaan baharu.

"Sebelum ini ada peniaga merungut mengenai bekalan elektrik. Namun selepas pemantauan, sebahagian besar premis perniagaan sudah mendapat bekalan elektrik beberapa hari sebelum umat Islam mula berpuasa.

"Masalah bekalan elektrik terletak di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Lebih cepat peniaga melunaskan kos penyambungan elektrik, lebih cepat mereka akan menerima kemudahan berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ditemui, Mariam Abdul Rahman, 62 berkata, dia mengambil kesempatan memulakan perniagaan pada bulan Ramadan sebagai persediaan awal menghadapi Aidilfitri.

Menurutnya, langkah itu akan menarik lebih ramai pengunjung dan ia juga merupakan promosi awal menjelang Syawal, sekali gus salah satu langkah memperkenalkan premis perniagaan baharu kepada pelanggan-pelanggan tetapnya.

"Walaupun hasil yang diterima tidak sebanyak ketika berniaga di pasar lama, namun masih terlalu awal untuk berputus asa. Peniaga lain juga turut bersemangat mencari rezeki di tapak baharu ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 4 Jul. 2014

MPK minta peniaga pasar malam tutup perniagaan seketika apabila masuk waktu Maghrib

KUANTAN: Bermula 1 Ogos ini, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan meminta peniaga pasar malam yang beragama Islam supaya menutup perniagaan mereka buat seketika apabila masuk waktu solat Maghrib.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaakob berkata, penutupan sementara itu bukan terlalu lama iaitu hanyalah untuk tempoh masa 20 minit bagi menunaikan solat.

"Apa yang penting bagi kita umat Islam adalah mendahulukan solat dari segalanya, jadi kita berharap kepada mana-mana peniaga umat Islam di daerah ini supaya dapat menutup perniagaan mereka sementara bagi menunaikan solat.

"Kita (MPK) percaya perniagaan mereka selepas itu pasti akan mendapat lebih berkat kerana mendahulukan solat yang merupakan fardu bagi umat Islam," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pelaksanaan itu akan dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

"Kita akan laksanakan untuk peniaga pasar malam sahaja yang mana ada antara mereka berniaga berdekatan dengan masjid dan surau yang pastinya menuntut untuk peniaga itu menunaikan solat terlebih dahulu.

"Selain keuntungan, perkara utama yang ingin kita capai adalah keberkatan dari Allah SWT untuk kita berniaga," katanya.

Sementara itu, katanya, MPK telah menyampaikan sumbangan kepada 195 masjid dan surau di daerah ini sempena menyambut Ramadan kali ini.

"Selain itu, kita juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa di 15 masjid yang terpilih di daerah ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jul. 2014 | Terbitan 3 Jul. 2014

Bazar Ramadan di Kelantan lebih bersih

Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua dari kanan) memberi nasihat kepada peniaga ketika membuat lawatan ke Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan setakat ini berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, keadaan itu menunjukkan tahap kesedaran peniaga dalam menjaga aspek kebersihan adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

"Bila kita membuat kajian terhadap sampel makanan yang diambil di bazar-bazar Ramadan sebelum ini, kita menemui mikro organisma dan bahan kimia dalam juadah-juadah tertentu dalam kuih-muih yang menggunakan kelapa parut.

"Kita berharap untuk Ramadan pada kali ini, para peniaga akan terus menitik-beratkan penjagaan kebersihan bagi mengelakkan mereka didenda kerana gagal mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Pemantauan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Sultan Mohamad IV, di sini, semalam.

Yang turut serta dalam program tersebut adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Kelantan.

Ahmad Razin memberitahu, rata-rata peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memakai apron dan menutup makanan.

"Melalui tinjauan yang dibuat di seluruh bazar di Kelantan, kita mendapati kebanyakan peniaga dan pembantu mereka mempunyai kad akuan kesihatan.

"Bagaimanapun masih terdapat sebilangan kecil yang gagal berbuat demikian, kita telah membuat teguran dan peringatan supaya mereka mematuhi Peraturan Makanan 1985," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan laporan kepada Kementerian Kesihatan berhubung perkembangan terkini kes denggi di negeri ini.

Ujarnya, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama Majlis Keselamatan Negara bagi menangani isu denggi. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kerjasama tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 3 Jul. 2014 | Terbitan 4 Jul. 2014

Maybank antara 20 bank paling kukuh di dunia

Menara Maybank di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) sekali lagi mengukuhkan reputasinya dalam landskap kewangan global yang semakin berdaya saing dengan mengekalkan kedudukannya sebagai antara 20 bank paling kukuh di dunia pada tahun ini.

Maybank menjadi satu-satunya bank Malaysia dalam senarai 20 Bank Paling Kukuh Di Dunia, suatu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi negara dan bank tersebut, menurut majalah 'Bloomberg Markets' keluaran Julai/Ogos 2014.

Hang Seng Bank Ltd, satu daripada institusi kewangan terulung di China Hong Kong dan dimiliki oleh HSBC Holdings Plc, merupakan bank paling kukuh di dunia, menurut ranking tahunan oleh 'Bloomberg Markets.'

Isu ini menyenaraikan bahawa Maybank sekali lagi dalam senarai antara 20 bank terkukuh dunia untuk tahun kedua berturut-turut. Sebanyak 97 bank dinilai di peringkat global.

Maybank merupakan bank keempat terbesar di Asia Tenggara dengan jumlah aset lebih RM578 bilion setakat 31 Mac 2014. Jumlah depositnya sebanyak RM396 bilion.

Bank-bank Asia menerajui dalam senarai itu berdasarkan laporan dengan lapan daripada 21 bank paling kukuh merupakan bank Asia.

Bagi mengenal pasti bank-bank terkukuh dunia, penerbitan itu menggunakan fungsi Saringan Ekuiti (EQS) di Bloomberg Professional Service untuk mendapatkan senarai bank-bank awam dan swasta dengan jumlah aset US$100 bilion atau lebih sehingga 1 Mei. 

Kriterianya termasuk Tahap 1 kepada aset berwajaran risiko, aset tidak memberi keuntungan kepada jumlah aset, rizab kerugian pinjaman kepada aset tidak memberi keuntungan, deposit kepada pembiayaan dan kecekapan apabila kos berbanding hasil diambil kira. 

Sumber: mStar Online | 3 Jul. 2014

Khamis, 3 Julai 2014

RM100 juta bina tiga sekolah baharu di Gua Musang

Sekolah Menengah Sains Gua Musang yang bernilai RM40 juta telah mencapai 80 peratus pembinaan di Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM100 juta untuk membina tiga sekolah bagi meningkatkan taraf pendidikan di kawasan Parlimen Gua Musang.

Tiga sekolah yang terlibat itu ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Gua Musang menelan belanja lebih RM40 juta, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Betis (RM50 juta) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulai sebanyak RM2.5 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, pelbagai projek yang dibangunkan di bandar itu adalah sebagai balasan terhadap sokongan rakyat Gua Musang yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap kerajaan selama ini.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mungkir janji dan sentiasa melaksanakan pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.

"Diharapkan dengan selesainya pembinaan sekolah ini dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus maju dalam pelajaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada masa sama, Ab. Aziz berkata, pihaknya turut memberi jaminan pembinaan ketiga-tiga sekolah tersebut akan berjalan dengan lancar.

"Bagi SM Sains Gua Musang, saya difahamkan pembinaannya telah mencapai 80 peratus setelah pembinaan tertangguh beberapa kali dan dijangkakan pengambilan pelajar akan dibuat pada tahun hadapan.

"Selain itu, pembinaan bangunan baharu SJKC Pulai juga hampir siap dan tapak pembinaan SMK Kuala Betis juga telah dikenal pasti iaitu di Kampung Panggung Lalat," ujarnya.

Katanya, pembinaan SJKC itu juga membuktikan kerajaan memberikan perhatian kepada semua kaum terutama dalam bidang pendidikan.

"Bagi SJKC Pulai, kita membina bangunan baharu bagi menggantikan bangunan kayu yang tidak lagi selamat untuk digunakan dan SMK Kuala Betis merupakan sekolah menengah pertama bagi kaum Orang Asli yang bermatlamat untuk mengatasi tahap keciciran pelajar yang tinggi setiap tahun.

"Pemilihan tapak sekolah menengah Orang Asli di Kampung Panggung Lalat dipilih kerana kawasan tersebut berhampiran dengan perkampungan mereka," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jul. 2014 | Terbitan 3 Jul. 2014

Larangan berpuasa oleh Kerajaan China timbul kemarahan umat Islam Xinjiang

Umat Islam di wilayah bergolak Xinjiang gagal mengawal perasaan berikutan larangan berpuasa yang dikeluarkan Kerajaan China.
BEIJING: Keputusan Kerajaan China melarang kakitangan awam, guru dan pelajar di wilayah Xinjiang berpuasa menimbulkan kemarahan umat Islam negara itu.

Notis berhubung perkara itu dimuatnaik menerusi laman sesawang kerajaan, sejak bermulanya Ramadan, hujung minggu lalu.

Malah, ada juga stesen radio dan televisyen memaklumkan keputusan kerajaan itu terhadap penduduk wilayah bergolak itu.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Raxit menyelar tindakan itu sebagai menyekat kebebasan beragama.

"Larangan menyekat orang Islam melaksanakan Rukun Islam itu hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan penindasan seumpama ini terutamanya ketika Ramadan," tegasnya.

Memetik laporan AFP, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pimpinan Parti Komunis mengenakan larangan berpuasa di Xinjiang yang didiami etnik minoriti Uighur.

Sementara itu, sebuah jabatan kaji cuaca di barat Xinjiang pula berkata di laman sesawangnya: “Sejajar dengan arahan pihak atasan, semua kakitangan sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara diingatkan supaya tidak berpuasa pada Ramadan ini.”

Selain itu, pejabat kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan Sungai Tarim pula memuat naik gambar pekerjanya yang memakai topi tradisional Uighur sedang makan.

“Walaupun gambar ini diambil pada bulan Ramadan, mereka yang digambarkan ini bersikap positif dan tidak berpuasa,” katanya.

China sebelum ini mendakwa larangan terhadap puasa adalah untuk memastikan kesihatan kakitangan kerajaan terjamin.

Sumber: mStar Online | 3 Jul. 2014

Budak 5 tahun hafaz 29 juzuk al-Quran

Juri, Abi Amir mengucup tangan Musa kerana kagum dengan kebolehannya pada usia muda.

JAKARTA: Seorang juri program hafaz al-Quran, Hafiz Indonesia sebak dan kagum melihat bakat seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mampu menghafaz 29 juzuk kitab suci itu.

Mengakui keistimewaan kanak-kanak lelaki itu, juri berkenaan, Abi Amir Faisol Fath pergi kepada peserta yang dikenali sebagai Musa itu dan mencium tangan kanak-kanak berkenaan bagi mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafalnya.

Musa yang berasal dari Bangka membuat penonton rancangan itu menitiskan air mata apabila mampu menjawab soalan yang diberikan juri serta penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI, malah turut dimuat naik ke YouTube, manakala episod membabitkan Musa dimuat naik pada 29 Jun lalu.

Ketika ditemui, Abi Amir berkata, kanak-kanak itu membuatnya kagum kerana menganggap Allah sendiri memuliakannya walaupun usianya masih muda.

“Tiada perkataan yang boleh saya ucapkan... Subhanallah. Ayah bonda semua, inilah buktinya bahawa sekali pun anak kecil masih sangat lemah kemahuannya, namun kita tunduk dengan kemuliaannya kerana al-Quran maka kerana Allah memuliakannya,” katanya.

Menurutnya, wang kertas tetap bernilai biarpun dipijak kerana manusia telah menetapkan nilai untuk wang kertas.

“Bagi Musa, Allah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran pada usia muda,” katanya.


Sumber: mStar Online | 3 Jul. 2014

Alam Flora sumbang tong sisa mudah alih kepada MPKB-BRI

KOTA BHARU: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyerahkan 320 unit tong sisa mudah alih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai suatu sumbangan khidmat sosial syarikat itu kepada penduduk setempat.

Pengurus Besar Operasi Alam Flora Darwishah Osman berkata inisiatif itu diambil bagi memastikan penduduk Kota Bharu dapat meraikan sambutan bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana alam sekitar yang lebih bersih.

"Sebanyak 70 unit tong sisa mudah alih berkapasiti 660 liter dan 250 unit berkapasiti 120 liter diserahkan untuk kegunaan dan keselesaan penduduk sekitar Kota Bharu," katanya di majlis penyerahan tong sampah dan peralatan kebersihan kepada MPKB-BRI di sini, Rabu malam.

Katanya tong sisa mudah alih itu mempunyai penutup yang mampu menghalang cairan daripada keluar sekali gus boleh mengurangkan bau busuk.

Tong berkenaan juga diperbuat daripada bahan yang kekal lama, tahan cuaca dikenali sebagai polietelina padat (HDPE) selain mempunyai jangka hayat sehingga tujuh tahun, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood menerima baik inisiatif Alam Flora itu bagi merealisasikan kempen Kelantan Bersih tahun ini.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan persetujuan menyerahkan pengurusan sisa pepejal di negeri ini yang sebelum ini dilakukan pihak berkuasa tempatan kepada Alam Flora.

Sumber: Bernama | 3 Jul. 2014

Kelantan serah kepada Alam Flora urus sisa pepejal

KOTA BHARU: Alam Flora Sdn Bhd diberi tanggungjawab menguruskan sisa pepejal di Kelantan berikutan kerajaan negeri itu menerima pakai pelaksanaan Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata syarikat itu akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal yang sebelum ini dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT).
  
"Alam Flora akan mengambil alih semua pengurusan berkaitan kutipan sampah dan pembersihan awam di kawasan yang telah dipersetujui bersama dengan pihak berkuasa tempatan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (Exco) di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
  
Abdul Fattah berkata peringkat pertama pelaksanaan akan melibatkan kawasan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Bachok.
  
Berdasarkan kajian dan keperluan semasa, syarikat berkenaan memerlukan lebih 800 kakitangan dalam pengurusan sisa pepejal di Kelantan dan dengan perkembangan itu, Syarikat Alam Flora dijangka menggaji lebih ramai petugas kerana kakitangan MPKB-BRI kini, hanya 500 orang, katanya.

Abdul Fattah berkata bagaimanapun Syarikat Alam Flora akan memberi pilihan kepada kakitangan MPKB-BRI sama ada mereka mahu kekal bersama majlis perbandaran itu atau berkerja dengan syarikat berkenaan.
  
"Mengikut perbincangan awal, Alam Flora akan memulakan kerja-kerja pengurusan sisa pepejal seminggu sebelum Aidilfitri hujung bulan ini.
  
"Bagaimanapun berikutan peningkatan jumlah sisa pepejal tiga kali ganda sejak tiga hari lalu, kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat itu untuk memulakan kerja lebih awal," katanya.
  
Sementara itu, kerajaan negeri turut bersetuju untuk meluluskan permohonan MPKB-BRI bagi membina sebuah masjid baharu bernilai RM5.5 juta di tapak seluas 0.72 hektar berhampiran Terminal Bas Lembah Sireh di sini.
  
Pembinaan masjid terbabit yang boleh menampung lebih 1,000 jemaah pada satu masa adalah bagi memenuhi keperluan di kawasan itu, katanya.

Sumber: Bernama | 2 Jul. 2014

Pengurusan sisa pepejal: Kelantan terima pakai Akta 672

Abdul Fattah menunjukkan gambaran sebuah masjid yang akan dibina di Lembah Sireh berhampiran Terminal Bas Kota Bharu dengan kos RM5.5 juta.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju menerima pakai Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 bagi meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kajian mengenainya sebelum ini dibuat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Katanya, kerajaan negeri menerima cadangan daripada UPEN dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Alam Flora Sdn Bhd.

“Kerajaan negeri akan membuat keputusan muktamad sebelum majlis menandatangani perjanjian dibuat,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Akta 672 digubal bagi memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawal seliaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Semenanjung Malaysia.

Akta itu juga memberikan kuasa untuk kerajaan Persekutuan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT di seluruh Semenanjung Malaysia.

Abdul Fattah berkata, penyerahan pengurusan sisa pepejal kepada Alam Flora akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Ia akan dimulakan di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam.

Alam Flora hanya akan ambil alih soal kutipan dan kebersihan awam. Misalnya di pasar Alam Flora yang akan membersihkan parit, taman, pemotongan rumput dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau juga memberitahu MPKB-BRI belum membuat sebarang keputusan untuk menjadikan Bulatan Jam sebagai tempat pelancongan baharu memandangkan terdapat pokok kurma yang menjadi tumpuan ramai.

Katanya, MPKB BRI tidak menghalang orang ramai untuk melihat pokok kurma berbuah dari dekat. “Bagaimanapun diharap orang ramai tidak mengambil buah tamar sesuka hati kerana ia belum lagi masak,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain MPKB-BRI akan membina sebuah masjid dua tingkat di Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh yang bernilai RM5.5 juta. Katanya lokasinya terletak bersebelahan tapak terminal bas ekspress yang ada sekarang.

Menurutnya masjid berkenaan akan dibina di kawasan seluas 1.8 ekar dan apabila siap dapat mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah. 

Sumber: Harakah Daily | 2 Jul. 2014

Royalti: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Kelantan

Kompleks Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Putrajaya, Wilayah Persekutuan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Rabu memutuskan tiada keperluan untuk memanggil saksi-saksi dalam saman pelanggaran kontrak yang dibawa kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung royalti minyak.
 
Oleh itu, saman itu akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk diselesaikan dengan cara menentukan daripada sudut undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Julai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.
Dalam keputusan itu, lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes ini yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

Bernama melaporkan Hakim Abdull Hamid yang mempengerusikan panel itu dengan Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali berkata mahkamah mendapati rayuan dalam saman itu adalah komprehensif dan mencukupi bagi mengecualikan mengadakan keterangan lisan dan saksi-saksi.

"Tafsiran perjanjian itu (royalti minyak)) tidak memerlukan testimoni saksi-saksi dan tidak ada keperluan untuk memanggil saksi memberi keterangan," katanya.

Hakim Abdull Hamid juga berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Jan, 2012 yang membenarkan permohonan Petronas dan kerajaan persekutuan supaya saman itu dilupuskan.

"Kami dapati tiada kesilapan salah arah di pihak hakim Mahkamah Tinggi dan oleh itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah (Mahkamah Persekutuan)," kata Hakim Abdull Hamid.

Oleh itu, beliau menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April, 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan kerajaan negeri membayar RM150,000 sebagai kos kepada Petronas. Mahkamah juga menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan berhubung penemuan dokumen berhubung saman itu. 

Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap Petronas menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Kerajaan negeri Kelantan turut menuntut ganti rugi dan kos. Bagaimanapun, ia tidak meletakkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.

Dalam saman itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei, 1975, jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.

Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 Sept.

Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan defendan kedua dalam saman itu.

Peguam Tommy Thomas mewakili kerajaan negeri Kelantan manakala Tan Sri Cecil Abraham mewakili Petronas dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan persekutuan.

Sumber: Bernama | 2 Jul. 2014