Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 17 Julai 2014

Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM227,800 sekitar Kota Bharu

Azham (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan sekitar Kota Bharu.
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya merampas dadah bernilai RM227,800 dalam tempoh tiga minggu lalu, termasuk syabu seberat 81.8 gram di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sembilan lelaki ditahan dalam lima serbuan sejak 29 Jun lalu.

“Dalam serbuan pertama di Kampung Khatib Ali, di sini, pada 29 Jun lalu, kita menemui 91 botol cerah berisi heroin bernilai RM182,000 dan lima paket syabu dengan nilai RM14,500 serta menahan tiga lelaki tempatan.

“Pada 6 Julai lalu, kita turut menahan seorang lelaki di Kampung Binjai Limbat, Kubang Kerian, di sini kerana memiliki heroin bernilai RM900 dan 50 biji pil kuda,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Azham berkata, serbuan ketiga pada 8 Julai lalu di Kampung Pengkalan Datu, Sering, di sini, polis turut menangkap dua lelaki kerana mengedar 50 gram syabu bernilai RM11,500.

Terbaharu katanya, polis turut menahan dua lelaki di Kampung Hutan Buloh, Melor, kerana memiliki tiga botol heroin yang dianggarkan bernilai RM1,350.

Dalam kes berasingan, menurutnya, seorang pekerja kilang plastik berjaya ditahan di balai pelepasan LTSIP kerana memiliki syabu bernilai RM16,800.

Semasa pemeriksaan tubuh di balai pelepasan, didapati sesuatu yang diselitkan pada bahagian pinggang lelaki terbabit. Dia bertindak melarikan diri ke tingkat atas sebelum ditangkap.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai dua bungkus plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 81.8 gram dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Azham, hasil ujian air kencing mendapati suspek berusia 36 tahun itu positif methamphetamine dan kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 Jul. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan