Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 6 Julai 2014

Ahli Parlimen Tanah Merah rancang bangunkan Tanah Merah

Ikmal Hisham (dua, kanan) diiringi Hussain (kanan) menunjukkan sumbangan untuk guru kepada Ab Aziz pada Majlis Apresiasi Sejambak Budi di Tanah Merah, semalam.
TANAH MERAH: Pelbagai perancangan dirangka untuk dilaksanakan di Parlimen Tanah Merah dalam tempoh beberapa tahun akan datang ke arah menjadikan daerah ini sebuah kawasan maju dan membangun bagi kesejahteraan rakyat.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, selepas beberapa kemudahan infrastruktur diluluskan dalam tempoh setahun lalu, pelan masa depan itu diharap membawa lebih banyak perubahan di Parlimen ini sekiranya dapat dilaksanakan.

Katanya, pelan perancangan pembangunan itu termasuk berusaha mendapatkan kelulusan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Misi saya dan Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha sekarang adalah untuk memastikan dahulu projek pembangunan dan kemudahan yang telah diluluskan dalam tempoh setahun lalu dilaksanakan.

Antara projek tersebut ialah pembinaan jejantas, pemasangan lampu isyarat di simpang empat Bechah Laut, naik taraf Pasar Besar Tanah Merah, pembinaan pasar baharu Gual Ipoh dan taman rekreasi,” katanya, semalam.

Ikmal Hisham yang juga Ketua Umno Bahagian Tanah Merah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada guru dan kakitangan sokongan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri, semalam.

Sempena Majlis Apresiasi Sejambak Budi itu, kira-kira 2,200 guru dan kakitangan sokongan PPD seluruh Kelantan yang mengundi di Parlimen Tanah Merah menerima sumbangan berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussain Awang; Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Ab Aziz Abdullah dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah, Che Abdullah Mohd.

Ikmal Hisham berkata, beliau menjadikan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berjaya membawa pembangunan pesat di Parlimen Jeli sebagai inspirasi dan akan cuba melakukan perkara sama di Parlimen ini.

“Sebab itu, saya perlukan sokongan semua pihak termasuk warga pendidik untuk membuat perubahan dan membangunkan Tanah Merah,” katanya.

Mengulas majlis penyampaian itu pula, Ikmal Hisham berkata, ia sebagai menghargai jasa warga PPD dalam kalangan pengundi di Parlimen Tanah Merah atas sokongan mereka sehingga beliau dan Mohd Bakri menang pada PRU13 lalu.

“Majlis ini adalah yang kedua diadakan selepas tahun lalu sebagai tanda kecaknaan Umno Tanah Merah yang sentiasa menghargai guru dan kita akan jadikan majlis ini sebagai amalan tradisi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Jul. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan