Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 29 September 2015

‘Azab’ balik kampung berhari raya di Kelantan

Setiap kali menjelang musim perayaan, laluan Kuala Lipis-Gua Musang pasti sesak dengan puluhan ribu kenderaan memasuki Kelantan.
BUKAN merungut, namun itu ia hakikat apabila perantau di Kelantan yang tinggal di merata negeri berasa ‘azab’ apabila berhadapan dengan keadaan jalan sesak teruk semasa pulang ke kampung dan kembali semula ke tempat masing-masing.

Sepanjang jalan, dengan ratusan kenderaan berderet panjang, ia cukup menguji kesabaran bagi membolehkan perantau tiba ke destinasi, namun jika tidak bernasib baik, mereka boleh menghadapi malapetaka atau masalah.

Ada yang menempuhi keadaan perit, 12 jam hingga 16 jam untuk sampai ke destinasi, namun semuanya demi niat yang baik… pulang berhari raya bersama keluarga dan merasai ‘manisnya’ daging lembu yang disembelih segar.

Lebih mencabar apabila mereka pulang secara konvoi dengan bilangan ahli dalam kenderaan yang agak ramai, juga perlu melayani karenah anak kecil, buang air besar, buang kecil, mahu mandi dan makan.

Bagi perantau, Wan Mazlina Wan Mohamed, 36, dari Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, perjalanan balik kampung diambil hampir 12 jam agak menyeksakan dirinya, suami dan anak-anak.

“Kita perantau hanya bersandarkan pada semangat dan tekad untuk meraikan Hari Raya Korban dengan keluarga memandangkan suasana raya ini lebih meriah terutama jika keluarga sembelih lembu.

“Berlandaskan pengalaman seronok tersebut, biarpun perjalanan panjang, kami tempuhi dengan penuh cabaran,” katanya yang pulang ke Selayang, Selangor pada Ahad, 1.30 pagi lalu.

Kononnya bertolak seawal jam 1.30 pagi berniat untuk mengelak perjalanan sesak, namun jangkaan dia dan suami, Tengku Mohd Azian Raja Othman, 38, meleset apabila bertembung juga dengan kesesakan.

“Sebenarnya sudah dua tahun saya tidak sambut raya haji di kampung memandangkan tidak mendapat cuti berkerja, namun tahun ini saya agak teruja apabila diberi cuti, tambahan pula baru-baru ini sekali dengan cuti sekolah seminggu.

“Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pagi kelmarin agak perit kerana bukan sahaja ambil masa 12 jam, tetapi saya diduga dengan anak bengkak mulut (seperti ulser yang teruk) akibat bibir kering, seorang lagi demam, manakala yang kecil diriba sepanjang jalan,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Wan Mazlina berkata, pada mulanya kesesakan di Kuala Krai bermula dari Keroh hingga sampai ke simpang Sungai Durian, kemudian perjalanan ke Gua Musang.

“Simpang nak masuk Dabong (Kuala Krai) juga jem (sesak) teruk, tetapi apabila melepasi Gua Musang, jalan kembali seperti sedia kala.

“Rasa ngeri dengan 'jem' sebelumnya, menyebabkan kami ‘lari’ ke jalan alternatif iaitu dari Raub melalui Sungai Koyan, tidak mahu ikut jalan Bentong, kami lalu jalan Bentong Lama. Itupun selepas melihat jalan Raub dan Bentong dari awal lagi sudah sesak teruk,” katanya.


Segera bawa anak ke hospital sebaik tiba destinasi

Pengalaman tersebut mungkin lagi memberi makna kepada anak-anaknya, Tengku Muhammad Aqil Amsyar, 10, Tengku Muhammad Aisy Amsyar, 8, dan Tengku Muhammad Ariq Amsyar, 3.

“Mujurlah perjalanan ini biarpun awal pagi, namun suasana gelap menyebabkan mereka banyak tidur di dalam kereta, tambahan pula mereka sakit dan sebaik sampai di Selayang, saya terus bawa mereka ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya.

Berbeza pengalaman seorang lagi perantau, Roshazila Mat Daud, 36, dari Kampung Kukang, jalan Perol, Kota Bharu yang mengalami perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selama 13 jam.

“Biasanya perjalanan kami lapan jam sahaja dari Kota Bharu ke Kota Damansara, tetapi hari raya haji lepas, kami terkejut kerana jalan sesak merata tempat.

“Kali ini, dari Machang jalan sudah mulai sesak, kemudian ke jalan Kuala Krai agak sempit menyebabkan laluan perlahan dan ‘beratur’ untuk ke Gua Musang, memang terasa azab, tetapi kalau ingat keluarga, kami pujuk hati semasa bersesak tu,” katanya.

Dia dan suaminya, Shulhisham Mohd, 37, memulakan perjalanan malam kelmarin dari Mulong, Kota Bharu dari jam 12.30 pagi, namun akhirnya ‘tewas’ apabila terpaksa akur dengan kesesakan sebaik tiba di Machang.

“Kalau ada jalan lebih lebar, rasanya perkara ini boleh diatasi, sekurang-kurangnya masa perjalanan dipendekkan dan tidaklah memberi tekanan kepada pemandu,” katanya yang mempunyai dua anak.


Perantau mahu jalan disegerakan naik taraf

Pengalaman yang sama turut dikongsi Shafzool Salmi, 28 yang menempuh perjalanan lebih 10 jam walaupun menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) semata-mata untuk pulang beraya bersama keluarga di Kelantan.

Pengalaman sebagai anak perantau sebelum ini banyak membantu Shafzool untuk memilih jalan dan waktu yang sesuai, namun ramalan tidak sebagaimana yang berlaku apabila kesesakan luar biasa tetap berlaku di kawasan lebuh raya.

“Sebelum ini ramai yang mahu mengelak menggunakan laluan Bentong, Gua Musang dan laluan-laluan utama yang melibatkan kesesakan teruk. Paling kurang pun kebanyakan rakan-rakan dan saya sendiri akan memilih waktu yang sesuai, tidak kira lah jam tiga atau empat pagi pun, kami gagahkan juga konvoi pulang beramai-ramai.

“Saya berharap kerajaan akan menyediakan pelbagai alternatif lain kepada perantau supaya kami tidak berdepan masalah seperti ini lagi. Selain menghadapi masalah kenderaan, kebanyakan mereka yang mempunyai anak kecil juga berdepan pelbagai kesusahan,”katanya.

Perkara yang sama juga turut disokong Mohd Ihsan Che Ismail, 30 yang juga meredah kesesakan selama lebih 13 jam dari laluan Machang ke Kuala Lumpur dan ia merupakan pengalaman yang sukar dilupai beliau sekeluarga.

“Paling lama pun tujuh jam untuk perjalanan biasa, tapi kali ini, lebih 13 jam, dan yang paling teruk bermula di Kuala Krai. Banyak faktor yang menyebabkan kesesakan tersebut berlaku. Di antaranya ialah jalan sempit, berliku dan juga sikap pemanduan masyarakat yang masing-masing berlumba untuk memotong, walaupun keadaan kenderaan di depan masih tidak bergerak,” katanya.


Kerajaan negeri ambil tindakan

Berada dalam kenderaan selama hampir 15 jam adalah perkara biasa bagi perantauan Kelantan sama pulang atau kembali ke Kuala Lumpur, namun faktor itu dijangka berterusan pada masa hadapan memandangkan jajaran lebuh raya masih dalam perancangan

Sementara itu, mengulas mengenai situasi lazim yang dilalui perantau mahupun penduduk setempat setiap kali cuti perayaan, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa faktor berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa, Infrastruktur, Utiliti, dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, perkhidmatan kereta api yang terganggu kesan bah kuning yang membadai Kelantan baru-baru ini turut mempengaruhi kesesakan laluan musim perayaan.

Mengakui kesesakan kali ini dilihat lebih teruk berbanding kebiasaannya, Hanifa berkata, masing-masing memilih menggunakan kenderaan sendiri kerana laluan kereta api belum pulih sepenuhnya.

“Raya ini, kenderaan bertambah di jalan raya, sebab ada yang balik ke kampung menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Sept. 2015

Perjanjian migrasi air Kelantan ditunda dua bulan lagi

Hanifa (dua kanan) menyaksikan penyerahan Sijil Akreditasi MS ISO/ IEC 170205: 2005 Makmal Pusat Air Kelantan (MPAK), semalam.
KOTA BHARU: Perjanjian migrasi air Kelantan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijadualkan dimeterai bulan ini terpaksa ditangguhkan dua bulan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, itu berikutan terdapat beberapa perkara teknikal di peringkat akhir perlu diteliti.

Menurutnya, dijangkakan selewat-lewatnya hasrat Kelantan untuk menandatangani perjanjian migrasi antara Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan PAAB direalisasikan November nanti.

“Kita perlu ikut syarat patuh syariah, kita mahu pinjam duit perlu cagar harta. Harta AKSB ini banyak, sekarang kita dalam proses pindah aset AKSB kepada PAAB. Selesai semua sekali kita akan tandatangan,” katanya, semalam.

Terdahulu beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, menyaksikan penyerahan Sijil Akreditasi MS ISO/ IEC 170205: 2005 Makmal Pusat Air Kelantan (MPAK) oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Standard Malaysia, Wan Rukiman Wan Mamat kepada Pengurus Besar AKSB, Ir Hanafi Mahmood.

Hanifa berkata, kerajaan negeri sentiasa pantau perkara tersebut supaya ia dipercepatkan dan katanya, pihaknya sudah mempunyai senarai projek bakal dilaksanakan apabila perjanjian tersebut termeterai.

“Saya pantau setiap kali Mesyuarat Exco kerajaan negeri. Harta AKSB, ada lima lagi tanah yang akan diluluskan oleh Exco, maka berbaki lagi empat. Selagi kita tidak dapat serahkan tanah ini kepada PAAB, maka payah sikit,” katanya.

Mengenai penganugerahan pensijilan yang diterima AKSB itu, Hanifa bangga dengan kesungguhan dilakukan jawatankuasa kerja itu sejak tahun 2012 lagi untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Sept. 2015

Isnin, 28 September 2015

Budak hilang dilaporkan selamat

Abdul Salaam (kiri) berjaya ditemui semula selepas insiden rempuhan di Mina.
MAKKAH: Lebih 30 kanak-kanak yang hilang dalam tragedi rempuhan jemaah haji di Mina, Arab Saudi pada Khamis lalu telah ditemui semula.

Perkara itu diumumkan pusat sehenti bagi kanak-kanak hilang Makkah, semalam.

Ketua sukarelawan wanita, al-Anoud al-Huti berkata, seramai 24 kanak-kanak telah diserahkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Pusat ini menerima lebih 40 panggilan tentang kanak-kanak hilang dalam kejadian rempuhan di Mina," katanya.

Antara yang ditemui semula termasuk anak kepada jemaah haji Pakistan, Abdul Salaam Muhammad Hashim, 5, dari Ghazi Khan dan Yahya Shah, 3, dari Peshawar.

"Dengan pertolongan ALLAH kita berjaya menemukan mereka dengan ibu bapa masing-masing," kata koordinator media bagi kumpulan sukarelawan jemaah haji Pakistan, Wasim Shahid Bukhari, lapor Arab News.

Sumber: Sinar Harian | Global | 28 Sept. 2015

PPR Machang mula dibina Oktober ini

Ahmad Jazlan Yaakob (tengah) menimbus tanah dalam majlis perasmian tapak Projek Perumahan Rakyat selepas Majlis Solat Hajat di tapak pembinaan di Batu 25, di Machang, Kelantan semalam.
MACHANG: Kerajaan Pusat akan membina 1,000 unit rumah kos sederhana di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bermula Oktober ini di kawasan Parlimen Machang.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, projek yang melibatkan peruntukan RM160 juta itu akan melibatkan dua fasa di dua lokasi.

Beliau berkata, kesemua projek itu dibangunkan untuk memenuhi keperluan memiliki rumah terutama bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini.

“Ini merupakan projek kedua di negeri ini selepas PPR yang pertama di Kota Bharu dan untuk kali ini, dua lokasi yang dipilih adalah di Batu 25 (500 unit) dan Batu 23 (500 unit).

“Untuk fasa pertama di Batu 25, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada Oktober ini manakala fasa kedua di Batu 23 pula akan di­mulakan tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat PPR di tapak pembinaan Batu 25 di sini hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, projek PPR itu akan membabitkan pembinaan rumah jenis pangsapuri lima tingkat dengan keluasan tanah seluas 16 dan 15 hektar.

“Tempoh pembinaan PPR ini akan mengambil masa selama tiga tahun dan keluasan bagi seunit rumah ini adalah antara 65 hingga 75 meter persegi yang merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Selain itu, bangunan empat blok ini juga akan dilengkapi de­ngan pelbagai kemudahan seperti masjid, dewan, taman permainan kanak-kanak, lot kedai serta tadika Kemas,” katanya.

Tambahnya, rumah PPR yang khusus untuk warga Machang itu akan dijual dengan harga di bawah RM50,000 seunit.

“Kos sebenar pembinaan bagi rumah ini ialah sekitar RM150,000 seunit, namun demi kesejahteraan rakyat, kerajaan bersetuju untuk memberi subsidi lebih daripada RM100,000 seunit.

“Permintaan terhadap rumah PPR ini amat memberangsangkan kerana setakat ini kita telah mene­rima 4,000 permohonan.” kata­nya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 27 Sept. 2015 | Terbitan 28 Sept. 2015

Isnin, 21 September 2015

Pascabanjir: Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM77 Juta kepada Jabatan Kesihatan Kelantan

PASIR PUTEH: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM77 juta kepada Jabatan Kesihatan Kelantan bagi pemulihan infranstruktur dan peralatan perubatan yang rosak dalam kejadian banjir besar di Kelantan tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata jumlah berkenaan turut meliputi pembelian kenderaan seperti ambulans, lori, pacuan empat roda dan bas.

"Projek-projek berkenaan kini dalam proses sebut harga dan dijangka selesai serta dapat digunakan pada akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan 15 ambulans untuk digunakan oleh hospital dan klinik kesihatan di seluruh Kelantan.

Selain itu, Ahmad Razin berkata empat bas akan dijadikan klinik pergigian bergerak untuk memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau berkata pihaknya turut diarahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mencari beberapa lokasi yang lebih selamat bagi pembinaan 16 klinik kesihatan baharu bagi menggantikan pusat kesihatan yang musnah dalam bencana tahun lepas.

"Peruntukan sebanyak RM5.3 juta disediakan bagi pembinaan 16 klinik kesihatan baharu itu yang akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Dalam kejadian banjir luar biasa tahun lepas, kita turut kerugian lebih RM173 juta apabila banyak bangunan hospital, klinik kesihatan dan peralatan mengalami kerosakan," katanya.

Berikutan itu, katanya pihaknya lebih bersedia dan membuat persiapan awal untuk menghadapi banjir pada tahun ini.

"Ini termasuk memastikan segala keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan diesel sentiasa mencukupi terutama di kawasan berisiko tinggi seperti berhampiran dengan tebing Sungai Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 21 September 2015

Ahad, 20 September 2015

Gua batu kapur jadi tumpuan 'Mat Gian' - AADK Gua Musang

GUA MUSANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Gua Musang telah mengenal beberapa gua batu kapur di daerah ini sering dijadikan sebagai tempat menghisap dadah.

Pegawai AADK Gua Musang Mohd Asri Jaafar berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Skuad 1Malaysia dan Kelab Sukan dan Kecergasan 1Malaysia di daerah berkenaan untuk melakukan serbuan.

"Kami mengenal pasti beberapa gua batu kapur yang sering menjadi tumpuan mat gian dan serbuan akan dilakukan setiap masa," katanya ketika berucap pada pelancaran Program My Beautiful Malaysia di Gua Batu Kapur Pintu Gerbang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 60 anggota sukarela daripada kedua-dua NGO berkenaan turut diberi taklimat mengenai cara serbuan dan tindakan yang perlu diambil jika berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau berharap lebih banyak NGO tampil untuk membantu AADK dan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membendung aktiviti tidak sihat itu dalam usaha mencapai sifar penagihan dadah.

Sumber: Bernama | 20 September 2015

Empat kanak-kanak jantung berlubang terima sumbangan Paducare

KOTA BHARU: Empat pesakit kanak-kanak jantung berlubang di Kelantan hari ini menerima sumbangan berjumlah RM13,988 daripada Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADUCARE).

Bapa seorang daripada kanak-kanak itu, Wan Syukri Ibrahim, 54, dari Kampung Banggol, Kubang Kerian di sini, berkata beliau sekeluarga amat beryukur kerana anaknya Wan Nor Ain Shamira, 6, menerima sumbangan berjumlah RM5,194 daripada projek 'Hole in the Heart' anjuran universiti itu.

"Anak saya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir lagi dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), bagaimanapun pada 2013 Wan Nor Ain Shamira dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk menerima rawatan selanjutnya.

"Pada tahun itu juga, Wan Nor Ain Shamira menjalani pembedahan jantung berlubang menerusi rawatan PDA (Patent Ductus Arteriosus) iaitu alatan jantung yang dimasukkan melalui pembuluh darah di paha," katanya.

Beliau sebelum itu menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh anggota Lembaga Pengarah PADUCARE Prof Emeritus Datuk Dr Roslan Abdul Majid dan Pengerusi PADUCARE Kelantan Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah di Auditorium Jabatan Kecemasan HUSM Kubang Kerian.

Beliau berkata anak ketiga daripada empat orang beradik itu kini sangat ceria dan periang.

"Wan Nor Ain Shamira pergi ke tadika biasa dan tidak ada masalah dari segi pembelajaran cuma tidak boleh melakukan aktiviti lasak kerana sakit jantung itu," katanya.

Zalina Yusof, 40, dari Kampung Merkang, Pasir Puteh pula berkata anak bongsunya Nurul Fahrisha Mohammad, lima bulan, juga disahkan menghidap penyakit jantung sejak dilahirkan lagi.

"Pada mulanya, Nurul Fahrisha hanya demam panas biasa dan saya bawa ke klinik untuk rawatan sebelum doktor di klinik itu menyuruh saya merujuk anak ke HUSM kerana demamnya sering berlarutan.

"Selepas menjalani pemeriksaan doktor dapati Nurul Fahrisha yang ketika itu berusia tiga bulan mengalami bengkak jantung, manakala salur darah dalam jantung dia tak tertutup," katanya.

Beliau menerima sumbangan sebanyak RM5,194 untuk anaknya itu menjalani rawatan PDA secepat mungkin sama ada di HUSM ataupun Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Selain Wan Nor Ain Shamira dan Nurul Fahrisha, dua lagi kanak-kanak, Mohd Akhil Mohd Rafi, 9, turut menerima sumbangan sebanyak RM3,400 manakala Nabihah Karim, 9, pula sebanyak RM200.

Sementara itu, Dr Jafri Malin berkata sumbangan yang disampaikan pada hari ini adalah hasil kutipan derma menerusi tabung yang diletakkan di pasaraya MYDIN dan sumbangan daripada orang perseorangan.

"Projek 'Hole in The Heart' ini yang dilancarkan sejak awal tahun lepas merupakan kerjasama pertama antara PADUCARE dan pasaraya MYDIN, bertujuan mencari dana untuk pesakit jantung berlubang dalam kalangan kanak-kanak dan kita telah kutip derma sebanyak RM24,957.

"Dengan bantuan dana ini, pesakit dapat menerima rawatan segera dan berkualiti selain membantu kanak-kanak ini sama ada dalam bentuk ubat-ubatan, alatan atau pembedahan," katanya.

Sumber: Bernama | 20 September 2015

Orang ramai belum boleh makan kerang dari Sungai Geting

TUMPAT: Orang ramai dinasihat agar tidak memakan kerang yang diperoleh dari Sungai Geting di sini kerana dikhuatiri masih tercemar akibat fenomena alga atau 'ombak merah'.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata penjualannya juga dilarang sehingga mendapat pengesahan daripada Jabatan Perikanan Kelantan berhubung kandungan toksin air sungai berkenaan.

"Jika termakan toksin berkenaan, ia boleh menyebabkan keracunan," katanya ketika meninjau sungai berkenaan pada Ahad yang turut disertai Pengarah Perikanan Mat Zin Saad.

Beliau berkata kerang dari sungai lain adalah selamat untuk dimakan.

Notis larangan sudah dikeluarkan di premis penjualan hasil laut, sungai serta pangkalan sungai, katanya.

Sumber: Bernama | 20 September 2015

Rabu, 16 September 2015

Fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dilancar tahun depan - Najib

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fasa pertama pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 2,239 kilometer itu yang akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak adalah sebagai memenuhi komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Sabah.

"Baru minggu lepas Majlis Ekonomi telah meluluskan struktur orde baharu Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah," kata beliau semasa berucap di Seminar Integrasi Nasional anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini hari ini.

Najib berkata projek berkenaan, apabila siap kelak, akan merangsang perhubungan antara Sabah, Sarawak dan wilayah-wilayah di negara jiran seperti negara Brunei Darussalam dan Indonesia.

Lebuh Raya Pan Borneo merupakan salah satu projek yang dijanjikan Barisan Nasional dalam manifesto pilihan rayanya pada Pilihan Raya Umum 2013.

Sumber: Bernama | 16 September 2015

Mayat dipercayai Kevin Morais ditemui di dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya

PETALING JAYA: Mayat yang dipercayai Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais yang dilaporkan hilang sejak 4 Sept lepas ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini awal pagi Rabu.

Mayat ditemui kira-kira pukul 6 pagi di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah berhampiran Sungai Klang.

Pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat keluar masuk di kawasan penemuan sejak awal pagi dengan dan bau mayat turut dapat dihidu walaupun pihak media hanya dibenarkan berada kira-kira 100 meter daripada lokasi penemuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli turut kelihatan berada di lokasi.

Zainuddin ketika ditemui pemberita belum dapat mengesahkan sama ada mayat itu adalah milik Morais dengan satu sidang media dijangka diadakan di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya pada 1 tengah hari ini.

Morais kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Beliau dilapor memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Siasatan polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa hari kejadian menunjukkan kereta Morais telah dihalang oleh sebuah kereta lain sebelum beliau ditarik keluar dari kereta tersebut dan dibawa lari.

Sumber: Bernama | 16 September 2015

Selasa, 15 September 2015

Jeti Merang bakal jadi gerbang pelancongan ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah

SETIU: Pembinaan jeti Merang yang lengkap dengan segala prasarana di sini bakal menjadikannya gerbang pelancongan utama ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata ketika ini projek membina kemudahan asas jeti pelancongan bernilai RM3.83 juta giat dibangunkan dan sudah siap 37 peratus.

"Peruntukan dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPL) Malaysia akan digunakan untuk membina kompleks jualan yang dilengkapi lapan unit ruang perniagaan, 10 unit kaunter tiket dan 300 tempat duduk.

"Selain itu, kompleks jualan itu juga akan dilengkapi dengan tiga unit pejabat antaranya untuk premis Jabatan Taman Laut dan Majlis Daerah Setiu," katanya kepada Bernama hari ini.

Kemudahan lain yang disediakan di Jeti Merang ialah tandas, wakaf tempat berehat, kemudahan medan letak bas dan kereta serta replika menarik di Dataran Bangau dan Dataran Perahu.

Mohd Jidin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri berkata projek pembinaan yang bermula pada September tahun lalu itu dijangka siap pada akhir Mac tahun depan.

Menurutnya kemudahan prasarana yang lengkap di jeti Merang akan merancakkan ekonomi penduduk setempat melalui sektor perniagaan, industri perhotelan dan perkhidmatan pemandu pelancong.

Mengulas mengenai masalah muara sungai yang cetek, beliau berkata kerja membina benteng hakisan tebing di kawasan jeti muara Sungai Merang itu kini sudah siap 79 peratus.

"Projek ini yang menelan belanja RM12.25 juta itu dijangka siap pada akhir bulan depan," katanya.

Sumber: Bernama | 15 September 2015

RM10 bilion diperlukan bagi penyelesaian menyeluruh banjir di Kelantan - Hamim Samuri

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya RM10 bilion sehingga tahun 2025 bagi penyelesaian menyeluruh masalah banjir di negeri ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata peruntukan tersebut bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan dalam beberapa fasa.

"Bagi RMK11 sahaja, kita memohon RM1.75 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir di Sungai Kelantan, Sungai Golok serta hakisan pantai dan sungai.

"Kita masih menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan menerusi pembentangan dalam sesi Parlimen akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menyusuri Sungai Kelantan di sini Selasa.

Hadir sama Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan) JPS Ir Ab Qahar Osman dan Pengarah JPS Kelantan Ir Shahimi Sharif.

Pada program berkenaan, beliau meluangkan masa kira-kira dua jam untuk menyusuri Sungai Kelantan bermula di Tambatan Diraja di sini hingga Kuala Besar di Pantai Cahaya Bulan sejauh 10 kilometer bagi meninjau kemajuan beberapa projek tebatan banjir di bawah RMK10 yang dijalankan di sungai berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 13 projek di bawah RMK10 melibatkan peruntukan sebanyak RM165.8 juta di Kelantan telah 90 peratus siap.

Hamim berkata antara projek di bawah RMK10 ialah Rancangan Menstabilkan Tebing Sungai Golok (KESBAN) Fasa II, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kelantan dan Projek Mencegah Hakisan Pantai Sabak (Fasa 5).

Selain itu, katanya, 124 projek pemulihan pasca banjir melibatkan baik pulih sistem longkang dan parit berjumlah RM19.54 juta juga masih dalam proses dan dijangka siap pada November ini.

Ia jelas menunjukkan Kelantan sentiasa diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam pembangunan negara, katanya.

Sumber: Bernama | 15 September 2015

MKN kenal pasti sistem pembinaan tembok sempadan Malaysia - Thailand - TPM

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengkaji dan mengenal pasti sistem sesuai untuk digunakan bagi pembinaan tembok di sempadan Malaysia - Thailand bagi meningkatkan pengawasan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebanyak 15 cadangan telah dikemukakan yang terdiri daripada dua kaedah iaitu pembinaan tembok fizikal dan penggunaan teknologi pemantauan melalui drone, satelit, dan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi.

"Perkara ini belum diputuskan lagi oleh pihak kerajaan kerana ia melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

"Kita serahkan kepada MKN untuk menentukan apakah sistem yang akan diguna pakai untuk menentukan tidak berlakunya pemerdagangan manusia, (penyeludupan) senjata dan dadah antara Malaysia-Thailand," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan peserta ASEAN Ride di sini hari ini.

Semalam, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata Malaysia dan Thailand setuju membina tembok atau benteng sempadan dengan kos pembinaan dan penyelenggaraannya dibiayai secara bersama.

Zulkifeli berkata pembinaan tembok yang dijangka bermula tahun depan akan dibina atas garis sempadan kedua-dua negara dan beberapa lokasi sepanjang sempadan sudah dikenal pasti.

Sumber: Bernama | 15 September 2015

Kerajaan Kelantan tanggung kos tambang waris ke Makkah

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju menanggung kos tambang penerbangan ke Makkah bagi setiap seorang waris jemaah haji dari negeri ini, yang cedera atau terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, persetujuan itu dicapai selepas meneliti keperluan untuk menenangkan semua anggota keluarga jemaah haji yang terlibat dalam insiden itu.

"Kebetulan musibah di Makkah itu turut membabitkan rakyat Kelantan. Kami bersetuju hantar seorang wakil bagi setiap keluarga dengan kos tambang penerbangan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kita hantar seorang wakil untuk bertemu dan melihat sendiri anggota keluarga mereka di sana (Makkah) sama ada yang meninggal atau cedera untuk menenangkan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, keputusan itu juga tertakluk kepada kelulusan visa daripada pihak berkuasa Arab Saudi bagi menentukan wakil yang dihantar itu diberi status sebagai pelawat (pelancong) atau boleh mengerjakan ibadah haji.

"Sehingga kini tiga rakyat Kelantan dilaporkan terkorban dalam kejadian itu sementara tiga lagi cedera ringan. Kita akan kumpulkan semua maklumat berkaitan sebelum menghantar mereka (wakil keluarga) ke sana dalam masa terdekat," katanya.

Tiga jemaah dari Kelantan yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Dua lagi jemaah Malaysia yang terkorban ialah Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor dan Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.

Jemaah dari Kelantan yang cedera dalam kejadian itu pula ialah Abdul Razak Mahmood, 61, dari Tanah Merah serta Mat Deris Mohd Noor, 62, dan Faridah Mat Yacob, 46, kedua-duanya dari Bachok.

Anak Allahyarham Munah, Che Wil Che Muda, 41, berkata keputusan kerajaan negeri itu memberi kelegaan kepada dirinya dan keluarga yang lain kerana berpeluang menemui bapanya, Che Muda Che Tahir, 76, di Makkah, selain dapat menziarahi pusara ibunya.

"Semalam kami ada menghubungi ayah di Makkah. Walaupun ayah memberitahu dia sihat dan dapat menjalani ibadah seperti biasa, kami tetap dapat rasakan ayah masih dalam keadaan bersedih.

"Terima kasih atas keprihatinan ini. Rasanya lebih puas kalau dapat berjumpa sendiri dengan ayah dan mengetahui keadaan sebenar ayah di sana," katanya.

Sementara itu, tiga keluarga jemaah haji dari negeri ini yang terkorban, masing-masing menerima sumbangan RM3,000 daripada seorang dermawan.

Penderma, Gan Leong Piow berkata sumbangan itu tanda simpatinya kepada keluarga mangsa, yang diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka
ketika ini.

"Kita tolong ini atas dasar simpati dengan apa yang berlaku dan kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa.

"Ini masa yang sesuai untuk kita tampil menderma tanpa mengira bangsa dan fahaman," kata pemilik syarikat pengeluar minyak masak itu, di negeri ini.

Sumber: Bernama | 15 September 2015

Pembinaan 11 jeti di Pengkalan Kubor terlalu perlahan

Mustapa (tengah) bersama Mohd Rosdi (kiri) dan Mat Razi (kanan) meninjau tapak pembinaan jeti di Pantai Geting yang bernilai RM500,000.
TUMPAT: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak berpuas hati perkembangan pembinaan 11 jeti di Pengkalan Kubor kerana terlalu perlahan.

Mustapa berkata, sepatutnya pembinaan jeti tersebut yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta dapat disiapkan pada November ini.

“Nampaknya pembinaannya tidak serius apabila pembinaan jeti besar di Pantai Geting bernilai setengah juta itu hanya ada tiga pekerja.

“Saya cukup bimbang ia tidak dapat disiapkan tahun ini kerana November dan Disember, negeri ini akan dilanda banjir pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan di tapak pembinaan jeti di Pantai Geting, kelmarin.

Turut sama, Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Pembinaan jeti itu adalah antara janji pada PRK Dun Pengkalan Kubor tahun lalu untuk kemudahan nelayan di sini, seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokasi jeti yang akan dibina bermula dari Kampung Kebun hingga ke Pantai Geting.

10 jeti kecil (jeti tambat bot) dengan kos antara RM100,000 hingga RM150,000 dan satu jeti pendaratan ikan bernilai RM500,000.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 15 September 2015

Isnin, 14 September 2015

Penerbangan Firefly Subang - Kerteh dilencong ke Kuala Terengganu

Keadaan jerebu di Kuala Terengganu.
PUTRAJAYA: Penerbangan pesawat Firefly dari Subang ke Kerteh yang dijadualkan berlepas jam 5 petang tadi ditunda disebabkan keadaan jerebu di Terengganu. 

Menurut salah seorang penumpang pesawat terbabit, beliau dimaklumkan oleh pegawai syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang bahawa penerbangan itu dijadualkan semula untuk berlepas pada 7.15 malam. 

"Kami telah mendaftar masuk tetapi pegawai penerbangan membuat pengumuman kapal terbang tidak dapat berlepas ikut jadual," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata pengumuman itu juga memaklumkan bahawa pendaratan penerbangan itu akan dilencongkan ke Kuala Terengganu. 

"Dari sana (Kuala Terengganu) kami akan dibawa menaiki bas untuk ke Kerteh,"katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menjelaskan setakat ini hanya penerbangan ke Kerteh itu yang terjejas akibat masalah jerebu. 

"Kita terpaksa melencongkan penerbangan pesawat FY2006 dari Subang ke Kerteh kerana jarak ketampakan kurang dari 800 meter," katanya. 

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan Indeks Pencemaran Udara dikawasan berdekatan Kerteh iaitu Paka mencatatkan indeks tidak sihat iaitu 108 setakat 5 petang Isnin.

Sumber: mStar Online | 14 September 2015

Malaysia dan Thailand setuju bina tembok sempadan bersama tahun depan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand bersetuju membina tembok dan benteng sempadan bersama bagi meningkatkan pengawasan antara kedua-dua negara itu bermula tahun depan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin berkata persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan dan akan dibawa ke peringkat Parlimen untuk peruntukan bajet.

Beliau berkata beberapa kawasan sepanjang sempadan sudah dikenal pasti untuk pembinaan tembok atau pagar dengan kos pembinaan dan penyelenggaraannya dibiayai kedua-dua negara.

"Dulunya kalau kita buat tembok atau pagar kita buat sebelah Malaysia dan Thailand asing-asing...pada masa depan kita akan buat satu sahaja tembok di tengah antara kedua-dua sempadan negara.

"Dari segi rondaan, Thailand akan lakukan di sebelah mereka dan kita di sebelah kita...itu lebih sempurna dan menjimatkan kos bagi kedua-dua negara," katanya pada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Thailand Ke-32, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Thailand Jen Worapong Sanganetra.

Sumber: Bernama | 14 September 2015

Najib umum langkah pengalakkan pelancongan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa langkah penggalakkan untuk sektor pelancongan termasuk pengecualian visa kepada pelancong dari China dan rancangan membangunkan produk ikonik negara.

Najib, dalam sidang media khas berkaitan ekonomi di sini, mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah RM80 juta bagi memperhebatkan aktiviti promosi di pasaran terpilih, seperti negara ASEAN, China dan India.

Beliau turut mengumumkan pengecualian visa kepada pelancong dari China yang masuk secara berkumpulan bermula 1 Okt tahun ini sehingga 31 Mac tahun depan.

"Selanjutnya pemberian visa akan dipermudahkan kepada pelancong daripada negara pengunjung utama, dengan pengenalan sistem e-visa," katanya.

Najib juga mengumumkan pembangunan produk ikonik negara termasuk memberi nafas baharu kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana serta menambah baik ketersambungan dengan KL Sentral melibatkan kos RM1.1 bilion.

"Ini adalah untuk memenuhi potensi produk pelancongan berasaskan kebudayaan dan warisan yang akan dilaksanakan melalui kaedah Perkongsian Awam-Swasta bermula tahun depan dengan dana pemudah cara sebanyak RM220 juta," katanya

Najib turut mengumumkan pembangunan bersepadu Desaru Coast Destination Resort, yang merangkumi hotel, taman tema air, pusat persidangan serta pembangunan rumah percutian dan perkampungan membeli-belah dengan kos projek fasa 1 sebanyak RM4.5 bilion.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan industri pelancongan kesihatan yang banyak mendapat pengiktirafan antarabangsa akan diperhebatkan.

"Langkah-langkah yang terperinci akan diumumkan dalam Bajet 2016 kelak," katanya. Najib akan membentangkan Bajet 2016 pada 23 Okt ini.

Sumber: Bernama | 14 September 2015

Landasan kereta api antara Seremban dan Port Dickson akan dinaik taraf dalam RMK-11

SEREMBAN: Landasan kereta api yang sedia ada menghubungkan bandar Seremban dan Port Dickson akan dinaik taraf dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi menghidupkan semula perkhidmatan kereta api di antara kedua-dua bandar itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata langkah ini diambil bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dan perindustrian di kawasan berkenaan.

"Saya menyambut baik usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan Lembah Wawasan Malaysia (MVV). MVV akan menarik banyak pelabur ke Negeri Sembilan dan salah satu yang Kementerian Pengangkutan boleh bantu adalah untuk kita tingkatkan infrastruktur landasan kereta api di kedua-dua bandar itu.

"Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan telah pun berbincang dengan saya untuk kita sama-sama bergerak bagaimana kita bangunkan landasan kereta api ini dan tingkatkan tahapnya bagi membolehkan perkhidmatan kargo dan juga penumpang dapat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Lim Chin Fui.

Katanya pembangunan MVV ini perlu mempunyai infrastruktur yang cukup dan baik untuk menampung pembangunan yang pesat.

"Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) melibatkan kawasan seluas 108,000 hektar meliputi Seremban, Nilai dan Port Dickson," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, baru-baru ini mengumumkan kerajaan Pusat akan membangunkan sebuah lagi wilayah pembangunan ekonomi yang baru iaitu MVV di barat negeri ini.

Ia berikutan kepadatan di Lembah Klang hingga tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah selain kedudukan Negeri Sembilan yang bersebelahan memberi peluang untuk dijadikan sebahagian daripada Lembah Klang.

MVV adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat bagi mengalihkan tumpuan pelabur dan penduduk yang ketika ini hanya tertumpu di sekitar Lembah Klang.

Liow yang juga Presiden MCA berkata projek menaik taraf landasan kereta api Seremban-Port Dickson adalah dalam 'rancangan induk kereta api' kementeriannya.

"Projek ini akan dilaksanakan dalam RMK-11. Projek ini boleh dibangunkan dengan cepat kerana landasan sudah sedia ada, cuma perlu dinaik taraf," katanya.

Mengenai Bajet 2016, beliau berharap kerajaan dapat membentangkan bajet yang dapat meringankan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Kita (MCA) ada beberapa langkah dan cadangan yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diambil kira bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat ini. Contohnya dari segi cukai dan juga insentif yang boleh diberikan kepada golongan rakyat berpendapatan pertengahan yang kini banyak terjejas dengan kos sara hidup.

Kita juga harap pelaburan luar negara dapat ditingkatkan. Kita akan terus membantu kerajaan mentransformasikan ekonomi negara," katanya.

Sumber: Bernama | 13 September 2015

Ahad, 13 September 2015

JAHEIK adakan solat hajat doakan keselamatan jemaah haji

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) hari ini mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada semua umat Islam khususnya jemaah haji dari Kelantan yang sedang menunaikan ibadat haji di Makkah.

Pengarahnya Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata solat hajat yang disertai 70 kakitangan jabatan itu juga adalah tanda kasih sayang kepada saudara seagama di seluruh negara.

"Memandangkan jemaah haji kita ditimpa kemalangan di Makkah pada Jumaat lepas, kita harap semua umat Islam memberi kasih sayang dengan mendoakan keselamatan mereka sepanjang berada di Tanah Suci," katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat itu di Kompleks Islam Darul Naim di sini, hari ini.

Dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada Jumaat lepas, lebih 100 jemaah haji terkorban, manakala beratus lagi cedera.

Sepuluh jemaah haji Malaysia turut tercedera dalam tragedi berkenaan, manakala lapan lagi jemaah dilaporkan gagal dikesan sehingga hari ini.

Che Mohd Rahim berkata kejadian yang menimpa jemaah haji dan kesedihan anggota keluarga yang terlibat turut dirasai semua pihak.

"Kita doakan supaya mereka semua selamat, dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur," katanya.

Che Mohd Rahim turut mengharapkan anggota keluarga jemaah haji terbabit dapat bertenang dan menerima kejadian tersebut sebagai ujian Allah yang mengandungi hikmah tersendiri.

Beliau berharap semua masjid di seluruh negeri ini dapat sama-sama mengadakan solat hajat dan mendoakan keselamatan semua jemaah haji.

Sumber: Bernama | 13 September 2015

Penduduk di jajahan Gua Musang diminta bantu kesan tujuh murid Orang Asli yang hilang

TUMPAT: Semua pihak terutama penduduk di jajahan Gua Musang diminta membantu pasukan mencari dan menyelamat mengesan tujuh murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata operasi mencari perlu diperhebatkan memandangkan kehilangan mereka sudah melebihi tiga minggu.

"Ia sudah lama sangat dan kita risau keselamatan mereka. Saya berharap semua pihak bekerjasama dalam usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak Orang Asli ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Bencana Banjir Jajahan Tumpat Fasa II di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2 di sini, Ahad.

Mustapa berkata beliau sentiasa berhubung dengan pemimpin UMNO Bahagian Gua Musang dan pasukan keselamatan bagi mengetahui perkembangan operasi itu.

Pada 23 Ogos lepas, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut melibatkan polis, tentera, Jabatan Sukarelawan, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dukacita dengan tragedi kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas yang turut mencederakan 10 jemaah Malaysia manakala lapan lagi masih belum dapat dikesan.

Beliau berharap kesemua keluarga jemaah yang terlibat agar bersabar kerana kerajaan sedang membantu mereka yang terbabit.

Sumber: Bernama | 13 September 2015

Pemberian bantuan wang ihsan mangsa banjir di Kelantan dijangka selesai 23 Sept - Mustapa

TUMPAT: Kesemua baki 27,315 keluarga mangsa banjir di negeri ini yang belum menerima bantuan wang ihsan RM500 bagi setiap keluarga dijangka menerima bantuan itu selewat-lewatnya 23 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sejak banjir melanda negeri ini pada Disember tahun lepas, Kerajaan Persekutuan telah selesai mengagihkan bantuan itu kepada 144,638 keluarga daripada 171,953 keluarga yang layak menerima bantuan berkenaan.

"Mereka yang belum menerima bantuan tersebut adalah mangsa banjir yang nama mereka tercicir daripada senarai penerima bagi fasa pertama atau rumah mereka terkepung akibat laluan terputus akibat banjir yang dikira layak untuk menerima bantuan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Wang Ihsan Bencana Banjir Jajahan Tumpat Fasa II di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir dan berharap dengan bantuan wang ihsan itu dapat meringankan beban perbelanjaan mereka.

Mengenai pembinaan rumah kekal baharu kepada mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana alam itu, Mustapa berkata Kerajaan Persekutuan akan menggunakan tanah milik agensinya serta membeli tanah milik individu untuk dijadikan tapak pembinaan rumah kepada mangsa banjir.

Beliau berkata tanah milik kerajaan persekutuan itu terletak di jajahan Kuala Krai iaitu di Kuala Nal berkeluasan 3.2 hektar, Sungai Durian (5.2 hektar), dan Manjor (1.6 hektar) yang akan dibina sebanyak 214 unit rumah.

"Kerajaan Persekutuan akan membeli tanah milik individu dalam jajahan Kuala Krai iaitu di Kampung Peria (2.4 hektar) dan Kampung Stong (5.68 hektar) untuk pembinaan 190 unit rumah," katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membina 100 unit rumah di kawasan seluas 12 hektar di Telekong, Kuala Krai.

Kerajaan Persekutuan juga akan menaik taraf 400 unit rumah transit yang dibina pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan NGO kepada rumah kekal, jelas Mustapa.

Beliau berkata kelewatan untuk menyiapkan pembinaan 1,827 rumah kekal baharu kepada mangsa banjir disebabkan kerajaan negeri gagal menyediakan tanah yang diperlukan sebagai tapak rumah kepada mangsa yang tidak memiliki tanah sendiri.

Pada majlis itu, sebanyak 3,000 mangsa banjir di jajahan Tumpat menerima bantuan wang ihsan fasa II.

Sumber: Bernama | 13 September 2015

Khamis, 10 September 2015

Kes denggi di Kelantan turun 83 peratus

KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan penurunan kes denggi sebanyak 83 peratus kepada 1,746 kes bagi tempoh Januari hingga 5 September tahun ini berbanding 10,331 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Dr Ramli Mamat berkata perkembangan positif itu hasil langkah kawalan dan pencegahan secara rutin yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan selain pemerkasaan aktiviti pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

"Kes kematian akibat wabak denggi juga menurun kepada empat kes berbanding 16 kematian tahun lepas sepanjang tempoh sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Jajahan Kota Bharu di Pondok Terusan, Pasir Tumboh di sini, Khamis.

Beliau berkata bagaimanapun selepas musim perayaan terdapat peningkatan kes denggi mingguan yang direkodkan di beberapa jajahan termasuk Kota Bharu, Pasir Mas dan Gua Musang.

Sehubungan itu katanya, langkah kawalan dan pencegahan akan diperkasa di lokasi yang dikenal pasti terutama di Kota Bharu yang mencatat kes tertinggi iaitu 792 kes setakat ini.

Beliau berkata antara aktiviti kawalan itu termasuk Semburan Ruang Thermal (SRT), penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes dan semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua kawasan yang berisiko.

"Aktiviti penguatkuasaan juga telah dipergiat dan dilakukan di semua premis yang diperiksa bagi memastikan wabak denggi dapat dikawal," katanya.

Dr Ramli berkata hasil analisis tahun ini mendapati masih banyak tempat pembiakan nyamuk aedes dijumpai di luar kawasan rumah terutama dalam bekas plastik terbuang dan bahan terpakai.

Katanya, langkah pencegahan secara efektif perlu terus dilakukan oleh masyarakat melalui penjagaan kebersihan di sekitar kediaman bagi membasmi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Sumber: Bernama | 10 September 2015

Rabu, 9 September 2015

JKM Kelantan sedia 773 pusat pemindahan banjir tahun ini

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan menyediakan 733 pusat pemindahan banjir di seluruh jajahan sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini, berbanding 430 pusat tahun lepas.

Pengarahnya, Mohamad Hanafi Maulud berkata JKM Kelantan kini dalam proses mendapatkan pengesahan daripada setiap jajahan untuk menentukan lokasi strategik bagi menempatkan pusat pemindahan itu.

"Penambahan pusat pemindahan ini melalui kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan NGO selain meneliti keperluan mewujudkan lebih banyak pangkalan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Bengkel Audit Akses kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, Rabu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) JKM, Nik Omar Nik Abd Rahman.

Mohamad Hanafi berkata penambahan pusat pemindahan banjir itu wajar memandangkan pusat yang disediakan tahun lepas tidak mampu menampung keperluan mangsa banjir.

Beliau berkata JKM juga akan melantik seorang pengerusi jawatankuasa di setiap pusat pemindahan untuk menyelaras gerak kerja selain mengadakan simulasi peranan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan bagi membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Nik Omar berkata semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan NGO perlu meningkatkan kemudahan kepada OKU supaya golongan itu tidak terpinggir daripada masyarakat.

Nik Omar berkata PBT di Kelantan telah bersetuju membuat audit akses di pasaraya Mydin, Pasar Siti Khatijah, stesen bas dan Stadium Sultan Muhammad ke-IV supaya golongan OKU mendapat kemudahan di tempat berkenaan.

"Kita harap penyediaan kemudahan yang bakal dilakukan ini mampu memberi keselesaan kepada OKU untuk masuk ke dalam komuniti dan menikmati kemudahan seperti orang normal," katanya.

Sumber: Bernama | 9 September 2015

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai berjalan lancar

KOTA BHARU: Pembinaan Fasa 1B dan 2A projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai oleh Kerajaan Persekutuan berjalan lancar dengan prestasinya melebihi peratus yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaksanaan Fasa 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7 kilometer melibatkan kos RM168 juta telah mencapai 30.4 peratus siap berbanding 22.5 peratus yang ditetapkan oleh JKR.

Bagi pelaksanaan Fasa 2A dari Kadok ke Ketereh sepanjang 6.85 kilometer melibatkan kos RM137 juta sudah mencapai empat peratus siap berbanding 1.8 peratus yang ditetapkan oleh JKR, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di sini, Ahad.

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73.5 km dengan anggaran kos RM1.8 bilion itu melibatkan tiga fasa pembinaan dan majlis pecah tanah pelaksanaannya dilakukan pada April tahun lepas.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata pembinaan Fasa 1B dijangka siap pada 2017 manakala Fasa 2A pada 2018.

"Kita mohon dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) keseluruhan lebuh raya ini dilaksanakan pembinaannya dan kita berharap lebuh raya ini dapat disiapkan secepat mungkin kerana rakyat di negeri ini amat menanti-nantikan lebuh raya tersebut," katanya.

Mustapa berkata Kerajaan Persekutuan juga sedang melaksanakan beberapa projek menaik taraf jalan dan jambatan di negeri ini untuk kemudahan rakyat seperti menaik taraf jalan dan melebarkan jambatan yang merentangi Sungai Kelantan di Pasir Mas yang melibatkan kos RM157.4 juta.

Katanya sehingga Julai lepas, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM110.2 juta kepada kerajaan negeri Kelantan untuk penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan sebanyak RM185.6 juta sepanjang tahun lepas.

Mengenai pembinaan Rumah Kekal Baharu (RKB) kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bencana di negeri ini Disember tahun lepas, Mustapa berkata kerajaan persekutuan telah siap membina 143 RKB dan diserahkan kepada mangsa banjir manakala sebanyak 257 RKB lagi sedang dalam pembinaan yang dijangka siap sedikit masa lagi.

Beliau berkata kerajaan persekutuan dipertanggungjawabkan untuk membina sejumlah 1,255 RKB dan dijangka kesemuanya akan siap dibina sebelum akhir tahun ini.

Sumber: Bernama | 6 September 2015

Selasa, 8 September 2015

Pulau bebas cukai di Tasik Kenyir mula dibuka Januari 2016

KUALA TERENGGANU: Operasi perniagaan pulau bebas cukai di Tasik Kenyir akan mula dibuka pada Januari tahun depan, walaupun pembinaan keseluruhan projek berkenaan pada tempoh itu belum siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata projek pembangunan pulau bebas cukai itu mempunyai dua komponen iaitu di Pulau Bayas dan Pengkalan Gawi.

"Di Pulau Bayas, kita ada enam pakej dan sehingga kini sudah siap 65 peratus manakala di Pengkalan Gawi, terdapat lima pakej di mana sebahagiannya sudah siap 100 peratus seperti Kompleks Kastam.

"Ada beberapa pakej lagi akan siap pada Mac 2016 dan ada yang akan siap pada April 2016, namun atas permintaan banyak pihak, operasi perniagaan di zon bebas cukai itu akan dimulakan pada Januari depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini Selasa.

Menjawab soalan tambahan Syed Azman mengenai kerugian ditanggung kerajaan negeri berikutan kelewatan projek itu menyebabkan ia tidak dapat beroperasi mengikut jadual, Mohd Jidin berkata isu pembaziran tidak berbangkit kerana ia masih dalam pembinaan.

"Macam mana kita nak kata projek itu membazir, siap pun belum, jual pun belum...menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kejayaan projek ini untuk membantu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekali gus meningkatkan tahap ekonomi rakyat terutama penduduk di kawasan berkenaan.

"Setakat ini kos yang diperuntukkan di Taman Burung ialah RM5.5 juta, Taman Orkid (RM7.085 juta), Taman Rama-Rama (RM7.399 juta) dan Taman Tropika (RM7.399 juta)," katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) mengenai barangan yang akan dijual di pulau bebas cukai itu, Mohd Jidin berkata ia adalah berkonsepkan 'factory outlet' merangkumi pelbagai barangan seperti kelengkapan dapur, pakaian berjenama dan aksesori wanita.

Sumber: Bernama | 8 September 2015

Firefly tawar tambang serendah RM29 sempena merdeka

KUALA LUMPUR: Firefly menawarkan tambang serendah RM29 bagi semua penerbangan domestik untuk perjalanan antara 21 Sept 2015 hingga 26 Mac 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ignatius Ong berkata tempahan dibuka bermula hari ini sehingga 11.59 malam pada Jumaat bagi tiket promosi bersempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia itu.

"Ini merupakan peluang hebat untuk percutian dalam negara bagi keluarga semasa cuti sekolah yang bermula dari 19 hingga 27 Sept ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata Firefly juga akan melancarkan laluan baharu antara Kota Bharu dan Langkawi tiga kali seminggu (Selasa, Khamis dan Sabtu) pada 27 Oktober ini.

Laluan ini akan mempermudah mereka yang tinggal di Kelantan mengembara ke Langkawi, katanya dan menambah mereka juga boleh memanfaatkan promosi pakej RM29 itu.

Tiket boleh dibeli daripada ejen pelancongan dan menerusi laman sesawang Firefly serta pejabat tempahan.

Sumber: Bernama | 7 September 2015