Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 24 April 2016

Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bakal bawa impak besar - Najib

PAPAR: Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan membawa impak yang besar kepada bumi Sabah dan rakyatnya termasuk dari segi pembangunan sosioekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun banyak projek telah dilaksanakan di negeri ini namun jika dibuat perbandingan tidak dinafikan apabila projek lebuh raya itu siap kelak, ia bakal menjadi projek yang membawa kesan dan impak paling besar di negeri ini.

Katanya ini kerana impak pembangunan yang bakal dibawa Lebuh Raya Pan Borneo Sabah kelak bersifat lonjakan berganda serta berterusan, tidak seperti projek biasa yang lain.

"Ya, kita telah buat banyak projek di Sabah. Kita telah buat Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT), Lahad Datu Palm Oil Industrial Cluster (POIC), kita wujudkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kita bina jalan raya luar bandar, laksanakan projek bekalan elektrik, air, projek perumahan rakyat dan pelbagai lagi sejak Sabah bersama membentuk Malaysia.

"Tapi kalau kita nilai dalam banyak projek tersebut, dalam membuat perbandingan mana satu projek yang bawa impak paling besar, saya berani kata bahawa projek Lebuh Raya Pan Borneo untuk Sabah merupakan projek yang paling besar kesan dan impaknya kepada bumi Sabah," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di Kampung Andus, Papar yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri persekutuan dan negeri Sabah.

Najib berkata pelancaran projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah juga membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janjinya dalam manifesto pilihan raya umum 2013 bahawa dalam tempoh lima tahun projek Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,300 kilometer dari Semantan, Sarawak ke Serudong, Sabah akan dilaksanakan.

"Janji BN pasti kita tunaikan kerana BN bukan parti yang mengamalkan politik melahirkan rasa benci, bukan parti adu domba rakyat, bukan parti yang mengelirukan perasaan dan pemikiran rakyat. Itu adalah parti pembangkang.

"BN adalah sebuah parti yang punya visi masa depan. BN adalah sebuah parti yang mempunyai pelan pembangunan sosio ekonomi mentransformasikan bumi Malaysia ini," katanya.

Perdana Menteri berkata BN ialah sebuah parti yang mampu melaksanakan projek pembangunan demi faedah rakyat.

"Inilah yang kita mesti bezakan dengan orang yang tabur janji, dengan orang tabur fitnah dan orang kelirukan rakyat. Kita tidak boleh bergantung kepada mereka, kita tidak boleh mengharapkan mereka (penabur fitnah). Kita cuma boleh bergantung dan berteduh di bawah payung BN," katanya.

Najib juga menyifatkan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sebagai pencetus perubahan sebenar kerana projek itu akan membentuk rangkaian jalan raya empat lorong bermula dari Sindumin ke Tuaran, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Tawau dan kemudian Tawau ke Kimanis dan Kota Kinabalu dalam tempoh 20 tahun.

Katanya meskipun kerajaan kini kekurangan pendapatan ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa namun fasa pertama projek lebuh raya tanpa tol bernilai RM12.86 bilion dan dijangka siap menjelang 2021 itu tetap diteruskan demi pembangunan Sabah yang lebih hebat.

Beliau berkata tiga pakej permulaan yang merupakan sebahagian fasa pertama projek sepanjang 706km itu akan ditawarkan pada bulan hadapan iaitu Pakej Papar-Donggongon sepanjang 11.7 kilometer, Jalan Tawau-Semporna (5km) dan Lahad Datu Bypass (7km).

Perdana Menteri berkata beliau mahu projek Lebuh Raya Pan Borneo dilaksanakan sebagai projek "paling demokratik dan inklusif" dengan semua pihak diberi hak yang adil dan saksama dalam pelbagai aspek pelaksanaannya.

"Saya nak projek ini bukan syarikat besar sahaja dapat. Kita beri syarikat orang Sabah dengan syarat mereka mampu buat. Jangan jual projek, jangan songlap duit. Buat betul-betul, siapkan mengikut masa, sebab janji kita kepada rakyat. Kita senarai hitam syarikat begitu, kita beri syarikat tulen Sabah yang berkemampuan," katanya.

Menurut Najib beliau juga tidak mahu projek lebuh raya berkenaan diberikan kepada kontraktor besar sahaja sebaliknya kontraktor kelas F juga perlu mendapat bahagian dalam projek berkenaan.

"Orang Sabah sudah cukup bersemangat. Kita merangsang minda orang Sabah supaya orang Sabah juga boleh maju dengan lebih hebat lagi. Inilah falsafah di sebalik (projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah). Tak tersurat tetapi tersirat dalam hasrat saya sebagai perdana menteri.

"Saya mahu Sabah lebih maju, lebih ke hadapan lagi sampai ke peringkat lebih tinggi dalam beberapa tahun akan datang ... berbaloilah Sabah bersama Malaysia," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Apr. 2016

Kerajaan adakan rundingan damai di Selatan Thai - PM Thai

BANGKOK: Perdana Menteri General Prayut Chan-ocha menegaskan kerajaan beliau telah memulakan rundingan damai di wilayah Selatan Thailand yang dilanda pergolakan, lapor agensi berita Thai (TNA).

Turut dibincangan mengenai projek pembangunan tempatan dan penguatkuasaan undang-undang, katanya kepada wartawan di Rumah Kerajaan di sini pada Khamis.

Beliau berkata menteri yang berkaitan juga telah mengadakan lawatan ke Selatan Thailand itu secara mingguan.

Menurut Perdana Menteri Thailand itu pergolakan yang berlaku di wilayah berkenaan disebabkan banyak faktor termasuk konflik, perbalahan dan percanggahan pendapat.

"Pihak kerajaan cuba mewujudkan pengajaran dua-kurikulum dan ia dilihat boleh diterima kebanyakan pihak namun ada segelintir masih berpegang teguh kepada pendidikan secara konvensional dan masalah itu terus berlarutan," katanya.

Beliau berkata langkah menyelesaikan masalah keganasan di kawasan yang bergolak oleh pihak kerajaan turut diterima oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sumber: Bernama | 22 Apr. 2016

El Nino: Kada yakin pengeluaran beras tidak terjejas di Kelantan

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yakin pengeluaran beras di negeri ini tidak terjejas teruk walaupun berdepan fenomena El Nino ketika ini.

Anggota Lembaga Pengarahnya Datuk Hanapi Mamat berkata pihaknya telah membuat beberapa perancangan agar aktiviti penanaman padi seluas 19,000 hektar di negeri ini tidak terbantut dengan fenomena cuaca itu.

"Antara perancangan yang disusun termasuklah pelan mitigasi di mana kita melepaskan air secara berjadual ke kawasan penanaman padi bagi mengelak bendang kering.

Kawasan terbabit pelan mitigasi tersebut merangkumi Bahagian Tebing Timur iaitu Kubang Kerian dan Ketereh membabitkan 6,000 petani," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Program Kecemerlangan dan Kecerdasan Kada 2016 di Kompleks Belia dan Sukan Panji di sini, hari ini.

Hanapi berkata di Bahagian Tebing Barat merangkumi Pasir Mas dan Tumpat melibatkan 3,000 penanam padi tidak bermasalah kerana pembinaan empangan rendah kini hampir siap.

Beliau berkata empangan berkenaan yang dimulakan pembinaannya sejak dua tahun lepas berjaya meningkatkan paras air Sungai Kelantan kepada 1.8 meter sehingga membolehkan Rumah Pam Kada di Lemal, Pasir Mas beroperasi dengan baik.

Sumber: Bernama | 24 Apr. 2016

SPRM Kelantan tahan lelaki Bangladesh cuba rasuah pegawai polis

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas cuba menyogok seorang pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Jumaat lepas.

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu menawarkan sejumlah RM400 kepada pegawai polis berkenaan bagi membebaskan dua rakannya yang ditahan pasukan keselamatan pada hari sama.

"Berikutan itu, pegawai polis berkenaan kemudiannya menangkap lelaki warga asing tersebut sebelum menyerahkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

"Suspek akan didakwa di mahkamah selepas SPRM menyiapkan kertas pertuduhan terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Moh Shamsudin turut memuji tindakan pegawai polis berkenaan dan wajar dijadikan contoh oleh semua kakitangan kerajaan.

"Moga tindakan murni ini menjadi pengajaran kepada kita semua bagi memastikan tiada gejala rasuah dalam kalangan kita semua," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dua kontraktor yang ditahan SPRM baru-baru ini yang dipercayai terlibat dalam tuntutan palsu berjumlah antara RM170,000 hingga RM380,000, dibebaskan dengan jaminan agensi itu, Khamis lalu.

Katanya SPRM sedang melengkapkan siasatan dengan beberapa lagi saksi mungkin akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Selasa lepas, Moh Shamsudin berkata agensi itu menahan dua lelaki berumur lingkungan 30-an kerana disyaki mengemukakan laporan tawaran kerja palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan.

Sumber: Bernama | 24 Apr. 2016

Rangkaian hotel patuh syariah PNB

Ismail Hisham. 
TAPAH: Operasi rangkaian hotel mi­lik Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang kini memenuhi keperluan patuh syariah semakin mendapat perhatian pelawat dalam dan luar negara.

Pengurus Besar PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur (dahulunya dikenali sebagai PNB Darby Park), Ismail Hisham berkata, malah sejak hotel-hotel tersebut mempraktikkan ama­lan patuh syariah, pihaknya menerima banyak tempahan daripada pelancong asing terutama negara-negara Islam.

Katanya, malah ada an­tara pengunjung PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur yang menghabiskan masa menginap di hotel tersebut sehingga enam bulan kerana yakin dengan tahap keselamatan yang ditawarkan.

“Bila kita sebut hotel patuh syariah, ia secara tidak langsung mencipta satu persekitaran selamat kepada pengunjung hotel.

“Ini adalah satu daripada faktor mengapa kita amat mengutamakan pematuhan syariah dalam pengurusan rangkaian hotel milik firma pelaburan ini,” katanya ketika ditemui pada pameran Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 (MSAM 2016) di sini hari ini.

Selain itu, katanya, kesemua hotel PNB termasuk Lanjut Golden Beach & Golf Resort di Endau-Rompin dan Hotel Sri Petaling di Petaling Jaya yang diuruskan oleh anak syarikatnya, PNB Commercial juga mempunyai persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Sirim.

MSAM 2015 yang bermula 20 April dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sepanjang sembilan hari acara tersebut berlangsung sehingga 28 April, pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai 50 peserta terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen ASNB, badan kawal selia serta agensi kerajaan dan swasta.

Sepanjang MSAM itu juga, rangkaian hotel PNB menyediakan pakej menarik khusus buat pengunjung ke pameran tersebut. Setiap pakej istimewa tersebut sah selama setahun daripada tempoh pembelian.

Selain PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur, terdapat dua lagi hotel di bawah PNB Management Services Sdn. Bhd. iaitu Hotel Perdana Kota Bharu (Hotel Perdana) dan PNB Ilham Resort.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana, Muhammad Taha Zainal berkata, sempena Ramadan yang bakal tiba, Hotel Perdana turut menawarkan Bufet Ramadan pada harga promosi RM60 seorang.

“Setiap RM1 daripada bufet Ramadan akan disalurkan kepada anak-anak yatim,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 21 Apr. 2016 | 22 Apr. 2016

Kerajaan Kelantan perlu audit hutan simpan kekal - Mustapa

JELI: Kerajaan Negeri Kelantan perlu mengaudit jumlah keluasan hutan simpan kekal yang masih ada dan yang telah diteroka secara haram di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penerokaan kawasan hutan simpan kekal adalah perbuatan serius sama ada dilakukan oleh individu mahu pun sindiket.

"Kita nak ketelusan, kita nak tahu setiap jajahan hutan simpan kekal berapa masih tinggal, berapa telah diteroka secara haram dan keluasannya yang sudah ditanam semula," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan ladang tanaman kontan di Bukit Perawas, Ayer Lanas di sini, hari ini.

Mustapa mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda.

Sindiket itu memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata penerokaan secara haram itu menunjukkan kelemahan dari segi penguatkuasaan dan ia perlu diatasi dengan segera.

Beliau berkata kemusnahan hutan akan memberi banyak kesan kepada alam sekitar dan semua pihak perlu memelihara khazanah alam tersebut.

Sumber: Bernama | 23 Apr. 2016

Sabtu, 23 April 2016

Batal lesen Rayani Air jika DCA tidak puas hati penjelasan - Liow

ALOR GAJAH: Lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara syarikat penerbangan Rayani Air akan dibatalkan jika Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai operasi syarikat itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tindakan berkenaan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebolehan atau keupayaan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu untuk meneruskan operasi mereka.

"Kita masih memberi peluang kepada Rayani Air memberi penjelasan kepada DCA berhubung isu yang timbul sepanjang operasinya bagi tempoh tiga bulan ini sebelum tindakan lanjut diambil.

"Ketika ini kita masih lagi mengadakan perbincangan dengan Rayani Air dan setakat ini kita belum mendapat maklumat lanjut untuk sebarang tindakan terhadap syarikat itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Karnival Teguh Bersama' di Machap Baru di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan penggantungan sementara Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April lepas.

Penggantungan sementara tersebut dikeluarkan DCA selepas syarikat yang baharu beroperasi pada Disember lepas itu mengumumkan menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA pada 8 April lepas.

Mengulas kegagalan Rayani Air menjelaskan tunggakan gaji pekerjanya, Liow berkata aduan itu boleh disalurkan kepada pihak berkuasa yang diwujudkan kerajaan bagi melindungi hak pekerja antaranya Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Beliau berkata pekerja syarikat berkenaan juga berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia adalah jalan penyelesaian terhadap kegagalan majikan menjelaskan tunggakan gaji mereka.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata Malaysia, Australia serta China komited meneruskan operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sehingga meliputi keseluruhan 120,000 kilometer persegi kawasan selatan Lautan Hindi.

"Saya telah mengarahkan jawatankuasa teknikal terus mengadakan mesyuarat dengan dua negara ini untuk mempercepat pencarian MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi dan operasi berkenaan juga akan mendapat sokongan dan bantuan Mozambique dan Afrika Selatan," katanya.

Dilaporkan operasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi telah meliputi lebih 100,000 kilometer persegi dan dijangka berakhir pada Jun atau Julai ini.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Sumber: Bernama | 23 Apr. 2016

Selasa, 19 April 2016

Customers frustrated over Rayani Air reimbursements


Customers flood Rayani Air office in Shah Alam yesterday to get refunds for their tickets after the airline was suspended on April 12.
SHAH ALAM: A plan to have a perfect family get-together was dashed for photographer Ahmad Zamzahuri Abas, 30, when his trip with 23 other family members was cancelled due to Rayani Air’s suspension earlier this month.

Zamzahuri, who had planned a four-day trip to Sabah since last year, was supposed to leave with his wife, daughter, uncle, siblings, nephews and nieces in August.

“I was frustrated when I found out about its suspension. We were looking forward to the trip as all my nephews, nieces and 70-year-old uncle had never travelled by plane before. They were all excited because they wanted to experience their first flight.

“It is difficult now to reschedule the trip as the rest have their own commitments like work and school,” he said, adding that his family spent over RM4,000 for their tickets.

Zamzahuri has filed for an reimbursement from the county’s first syariah compliant airline and was told it would be made within 60-90 days.

“This is ridiculous. I understand there are procedures to go through but making us wait for up to three months for our money is just unacceptable,” he said.

The family was considering cancelling their trip altogether even though they had paid RM6,000 to their Sabahan tour guide.

"It's impossible to get tickets from other airlines for the same dates and same rates.

“The RM6,000 cannot be refunded but there is nothing we can do. We might be driving to Johor instead but it would just be like every other road trip,” he said, adding that his older sister and her seven children would not join them for the Johor trip.

Another passenger Siti Nor Dulimani Tan Aton, 32, said she was to have gone to Sarawak with her husband and two children.

Dulimani, or better known as Nani, said her husband had to take a day off from work yesterday to drive from Klang to Rayani Air office here to file for reimbursements.

“I had to come here because my calls went unanswered. They said the reimbursement will take at least 30 days.”

Nani said her husband had to buy new tickets to Sarawak from a different airline and it cost them more than RM900 extra.

Retiree Shaa’ri Embong, 64, and wife Zanifah Zain, 66, were among the distressed passengers who flooded Rayani Air office yesterday.

The duo originally planned to visit their only granddaughter who lives in Kota Bharu next month.

“As senior citizens, we tend to get confused when such things happen. At one point, I thought we were cheated.

“We did not even know that the airline was suspended until our son, who resides in Indonesia, called us last week and told us to demand for a refund,” he said.

Shaa’ri said he was contemplating buying tickets from other airlines “but the fares get higher as the flight date approaches”.

“Now it is too late to get affordable airfares. My wife still wants to go but I don’t know,” he said.

The airline refused to disclose the number of passengers who had filed for refunds, saying no statement would be made during the suspension period.

Its spokesperson, however, said the airline will continue to accept reimbursement requests.

On April 11, the Department of Civil Aviation (DCA) suspended Rayani Air for three months after the airline failed to meet various requirements.

Source: The Malay Mail Online | 19 Apr. 2016

Ahad, 17 April 2016

Histeria terus berlaku di SMK Pengkalan Chepa II

KOTA BHARU: Semua pintu pagar SMK Pengkalan Chepa II ditutup kepada pemberita pada Ahad, tetapi suara jeritan kedengaran dari arah bilik darjah, di mana pelajar-pelajar sekolah itu sebelum ini telah diserang histeria.

Sekolah ini telah ditutup selama tiga hari sejak Khamis lalu untuk membenarkan bomoh, ustaz dan pengamal tradisional Islam 'membersihkan' tempat itu daripada roh-roh jahat. Bagaimanapun ia nampaknya tidak berhasil.

Wartawan dan jurugambar, yang 'berkampung' di hadapan sekolah itu terkejut apabila mendengar jeritan dan laungan yang datang dari kawasan sekolah.

Pentadbiran sekolah telah mengadakan sesi membaca al-Quran selama dua jam dan mengadakan solat jemaah dengan pelajar.

Difahamkan seorang bomoh Cina dari Perak dan pasukannya telah memasuki kawasan sekolah untuk membantu dalam situasi ini.

Kira-kira pukul 11.30 pagi, lebih banyak jeritan dan teriakan kedengaran dan percubaan pihak media untuk masuk ke sekolah tidak berjaya.

Pada Isnin hingga Rabu lepas, lebih daripada 100 pelajar perempuan dan lelaki serta guru didakwa terkena histeria sehingga sekolah ini terpaksa ditutup pada Khamis untuk mengelakkan lebih ramai pelajar dirasuk.

Pengetua sekolah Siti Hawa Mat dan pegawai pendidikan daerah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Sumber: mStar Online | 17 Apr. 2016

Rayani Air: Pengajaran untuk semua pihak

Kenyataan umum SAMM bertarikh 13 April 2016

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memandang serius kemelut yang dihadapi oleh Rayani Air. Sebelum ini beberapa isu telah melanda syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia itu seperti kelewatan penerbangan, pembatalan penerbangan, pas masuk bertulis tangan dan cermin kokpit yang pecah. Akan tetapi, kemelut ketika ini lebih besar kerana ia melibatkan nasib pekerja-pekerjanya.

Kemelut ini juga sepatutnya dijadikan iktibar oleh semua pihak. Episod Rayani Air ini hanya menunjukkan betapa ceteknya pemahaman Muslim di Malaysia mengenai konsep patuh syariah. Malah, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan juga gagal untuk memahami dengan jelas konsep patuh syariah.

Muslim Malaysia dan pihak berkuasa hanya membiarkan sahaja Rayani memanipulasi terma patuh syariah hanya bersandarkan kepada tidak menghidangkan alkohol, FA yang menutup aurat dan membaca doa sebelum penerbangan. Apabila timbul pelbagai isu seperti ketepatan masa, pembayaran gaji juruterbang dan sebagainya, ia hanya menambah buruk imej agama itu sendiri.

Pihak berkuasa perlu belajar dari episod Rayani, jangan mudah-mudah membenarkan penggunaan status patuh syariah. Ia perlu melalui proses yang panjang sebelum diberikan penarafan patuh syariah dengan penekanan bukan sahaja kepada aspek larangan dalam Islam tetapi juga perlu merangkumi aspek pengurusan dan pentadbiran syarikat serta kebajikan pekerja. Sesebuah syarikat perlulah melalui tempoh percubaan sebelum diberikan penarafan penuh.

SAMM ingin menyatakan sokongan dan solidariti kami bersama-sama dengan seluruh pekerja-pekerja Rayani Air pelbagai peringkat yang tertindas. SAMM menyeru agar pihak Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia untuk segera tampil membantu pekerja berhadapan dengan kemelut pembayaran gaji ini. Ini adalah satu bentuk penindasan terhadap pekerja. Dakwaan pekerja, seperti yang dilaporkan media, bahawa pemilik Rayani Air mensabotaj pekerja bukanlah satu dakwaan kecil. Hak pekerja tidak patut dinafikan apalagi disabotaj.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Sumber: SAMM | http://anakmudamalaysia.com | 13 Apr. 2016

Lima kali ditipu bayar gaji, 40 kakitangan Rayani Air lapor polis

SEPANG: Selepas majikan lima kali gagal menunaikan janji untuk membayar gaji bulan lalu, 40 kakitangan Rayani Air semalam tampil membuat laporan polis.

Wakil kakitangan yang mahu dikenali sebagai Orkid Ahmad berkata kegagalan pihak pengurusan membayar gaji menyebabkan kesemua 417 kakitangan berdepan masalah kewangan.

“Hari ini sudah masuk 18 hari gaji tidak masuk, kami hendak makan apa kalau duit sudah tiada?

“Apatah lagi bagi kakitangan yang sudah mempunyai keluarga dan anak-anak, mereka sudah tentu terbeban,” katanya seperti dilaporkan akhbar Kosmo hari ini.

Orkid, 24, ditemui media selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang yang turut ditemani peguam Zaflee Pakwanteh.

Beliau yang mewakili 40 kakitangan berkenaan berkata tindakan seterusnya adalah membuat aduan kepada Jabatan Buruh.

Rayani Air pada minggu lalu menghentikan semua perkhidmatan serta merta selepas tiga bulan syarikat penerbangan patuh syariah itu mula beroperasi.

Pengasas Rayani Air Ravi Alagendrran memaklumkan bahawa keputusan tersebut diambil selepas mogok juruterbang dan hal “teknikal”, namun tidak mengulas lanjut.

“Kami mohon maaf kepada semua penumpang. Kami akan menggunakan masa ini untuk menyelesaikan isu operasi dan teknikal yang timbul,” kata Ravi.

Rayani Air sebelum ini berdepan pelbagai masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan, mengundang rungutan daripada para pengguna sehingga diberi amaran oleh Kementerian Pengangkutan.

Sumber: Malay Mail Online | 15 Apr. 2016

Sabtu, 16 April 2016

Ahmad Zahid lawat MB Kelantan di HUSM

KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang sedang menerima rawatan selepas menjalani pembedahan kecil akibat pendarahan di bahagian kiri kepalanya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid yang tiba di hospital itu pada 5.50 petang, meluangkan masa lebih 10 minit untuk berbual dengan Ahmad yang semakin sembuh.

"Saya doakan agar Yang Amat Berhormat cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Ahmad.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Datuk Hanafi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian Datuk Mohamad Abdul Ghani dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Ahmad Zahid berkata doktor pakar yang merawat Menteri Besar Kelantan itu juga memaklumkan tahap kesihatan Ahmad bertambah baik.

Ahmad dimasukkan ke HUSM pada Rabu lepas setelah rasa sakit di bahagian kepala sejak seminggu lalu dan pihak hospital memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.

Sumber: Bernama | 16 Apr. 2016

Jumaat, 15 April 2016

RMK11: Projek pembinaan Hospital Bachok bermula Mei ini

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan  sebuah hospital daerah di Kampung Bator, Jelawat, Bachok, Kelantan akan bermula pada bulan Mei ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr. Hilmi Hj. Yahya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka dapat mengeluarkan surat setuju terima dalam bulan April ini selepas tawaran tender bagi pembinaan Hospital Bachok (HB) ditutup pada 21 Januari lalu. 

Kontraktor yang terpilih dijangka akan mula memasuki tapak pembinaan pada bulan Mei ini. Beliau menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat pada 23 Mac 2016. 

Projek pembinaan hospital tanpa pakar dengan 76 katil ini melibatkan kos kira-kira RM141 juta dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 36 bulan, iaitu pada Mei 2019. 

HB merupakan salah satu projek yang sebenarnya tersenarai di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9: 2006 - 2010) tetapi dalam tempoh rancangan Malaysia tersebut ia hanya melibatkan proses pengambilan balik tanah. Namun, projek ini disenaraikan semula untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11: 2016 - 2020). 

Bachok merupakan satu-satunya jajahan utama di Kelantan yang masih belum dilengkapi dengan kemudahan hospital daerah. 

Sumber: KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Khamis, 14 April 2016

MB Kelantan alami pendarahan kepala, dibedah hari ini

Ahmad Yakob.
PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat pendarahaan di kepala.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Asri Mat Daud berkata, berikutan itu, Ahmad yang kini berada dalam pemantauan doktor pakar HUSM dijangka menjalani pembedahan kecil pada Khamis.

"Beliau kini sedar sepenuhnya dan berada dalam keadaan stabil.

"Pihak Pejabat Menteri Besar Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kesihatan Ustaz Datuk Menteri Besar.

"Sama-samalah berdoa agar beliau pulih seperti sediakala dan dapat berkhidmat seperti biasa," katanya.
 
Sumber: mStar Online | 13 Apr. 2016

Rabu, 13 April 2016

Indonesia pelawa syarikat Malaysia kongsi kepakaran kejuruteraan

KOTA BHARU: Indonesia hari ini mempelawa syarikat dari Malaysia untuk berkongsi kepakaran dalam bidang kejuruteraan dengan negara itu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berkata republik tersebut memerlukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, terutama dalam pembinaan lebuh raya dan lapangan terbang.

"Hasrat ini selari dengan dasar Presiden Republik Indonesia Joko Widodo yang mahukan ekonomi perdagangan menjadi lebih murah menerusi penambahbaikan infrastruktur," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat cawangan Pusat Perdagangan dan Budaya Malindo (MBCC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden MBCC Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, Bupati (Datuk Bandar) Belitung Datuk Seri Sahani Saleh, Timbalan Bupati Bangka Tengah Datuk Ir Ibnu Saleh dan penasihat walikota Palembang Datuk Toni Panggarbesi.

Herman berkata selain perkongsian kejuruteraan, Indonesia turut menawarkan pelbagai pelaburan dalam sektor seperti pelancongan, perladangan, galian dan produk makanan.

"Tahun lepas, pelaburan antara kedua-dua negara mencecah US$20 bilion (kira-kira RM77.55 bilion) dan kita jangka ia akan meningkat kepada US$30 bilion (kira-kira RM116.32 bilion tahun ini).

Malaysia ialah negara pelabur kedua terbesar Indonesia selepas Singapura," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pembukaan MBCC di Kelantan adalah yang ketiga di negara ini selepas Selangor dan Negeri Sembilan, dalam tempoh lapan tahun MBCC beroperasi di Malaysia.

"Pembukaan MBCC di Kelantan, yang pertama di pantai timur, sangat signifikan memandangkan penduduk di negeri ini suka berniaga.

"Diharap pembukaan pusat ini akan lebih mengembangkan sektor pelaburan dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara selepas ini," katanya.

Sumber: Bernama | 13 Apr. 2016

El Nino: Ikan air masin masuk Sungai Kelantan

Dua sahabat, Mohd Syahrin Azmi, 20, (kiri) dan Mohd Naza Mohamad, 36, menunjukkan ikan selar yang dipancing di rakit bot Kampung Pasir Pekan. Lebih 50 penduduk Kampung Pasir Pekan mengambil peluang memancing di Sungai Kelantan selepas mendapati ikan laut mula memasuki sungai itu sejak tiga minggu lepas. Lebih 50 ekor ikan laut seperti gelama, cencaru dan selar berjaya dipancing dalam masa dua jam sahaja. Fenomena el Nino sejak Januari lepas menyebabkan air Sungai Kelantan cetek dan air laut memasuki sungai melalui Kuala Besar.
TUMPAT: Berikutan paras sungai yang rendah ekoran cuaca panas dan kering sekarang, air laut didapati mula memasuki aliran Sungai Kelantan di sini.

Fenomena itu dikesan apabila pemancing turut memproleh pelbagai spesis ikan laut seperti cencaru, gelama, siakap dan selar sejak tiga minggu lepas.

Lebih menarik apabila kebanyakan pemancing mampu mendapat lebih 50 ekor ikan dalam tempoh tidak sampai tiga jam memancing.

Mohd Syahrin Azmi Ibrahim, 20, berkata beliau berjaya mendapat lebih 150 ekor ikan gelama dalam tempoh dua jam kira-kira dua minggu lepas ketika memancing di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra.

"Ia pengalaman yang amat menyeronokkan kerana inilah kali pertama ikan laut terutama cencaru ada di sini," katanya.

Syahrin Azmi yang ditemui di Pasir Pakan berkata air sungai di sepanjang Sungai Kelantan sejauh lebih 20 kilometer yang bermula dari Kuala Besar di Pantai Cahaya Bulan hingga Kampung Kota di Kota Baharu juga menjadi masin.

"Ia satu keadaan luar biasa malah kami juga turut mengesan ada garam di jaring udang yang dipasang sekitar rakit di sini (Pasir Pekan)," katanya.

Beliau berkata berikutan itu lokasi berkenaan kini dikunjungi lebih ramai pemancing bermula waktu petang hingga larut malam.

Wartawan Bernama turut berkongsi pengalaman dan berjaya mendapat ikan cencaru hanya selepas lima minit memancing bahkan turut merasai air sungai yang masin.

Mohd Naza Mohamad, 36, pula berkata lokasi memancing itu kini menjadi rumah keduanya sejak beberapa minggu lepas.

"Saya pasti datang ke sini setiap hari selepas habis berniaga kuih di Pasar Siti Khadijah sekitar pukul 9 pagi. Ikan mudah makan umpan pada masa itu. Malah saya pernah dapat 50 ekor gelama dengan hanya memancing kira-kira 20 meter dari tebing sungai di Pasir Pekan selain mendapat udang laut," katanya.

Beliau berkata tebing sungai sepanjang Sungai Kelantan itu menjadi lebih meriah dengan kunjungan orang ramai pada waktu malam untuk menikmati cuaca sejuk.

Katanya lokasi tersebut menjadi tempat penduduk bermandi-manda terutama kanak-kanak yang mengambil peluang bersantai bersama keluarga di hujung minggu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Shahimi Sharif berkata kemasukan air laut ke dalam Sungai Kelantan sedikit luar biasa berbanding tahun sebelum ini kerana air laut telah mengalir sehingga Kampung Kota di sini yang terletak lebih 20 kilometer dari kawasan laut.

"Kemasukan air laut ke dalam sistem aliran Sungai Kelantan adalah perkara biasa setiap kali musim kering kerana air sungai menjadi cetek. Namun kali ini air laut mengalir lebih jauh ke dalam sungai," katanya.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan keadaan akan kembali normal secara perlahan menjelang akhir bulan depan apabila fenomena El Nino tidak lagi dominan.

Menyentuh mengenai kesan kemasukan air masin pada benteng konkrit simen dan Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Baharu dengan Tumpat, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan struktur sedia ada.

"Sebarang pembinaan di sepanjang Sungai Kelantan telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemungkinan kemasukan air masin. Kita jangkakan kemasukan air masin yang bersifat sementara ini tidak akan menjejaskan struktur sedia ada," katanya.

Sementara itu Shahimi berkata hasil perbincangan bersama Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelantan memutuskan jadual penanaman padi di sekitar Empangan Bukit Kwong di Pasir Mas mungkin ditangguhkan jika kemarau berterusan.

Beliau berkata bagaimanapun ketika ini bekalan air ke kawasan pertanian daripada Empangan Bukit Kwong tidak menjadi isu utama kerana kebanyakan kawasan penanaman padi sedang dituai.

Dalam pada itu katanya kemarau yang menyebabkan paras empangan serta sungai di Kelantan menjadi cetek juga tidak menjejaskan bekalan air untuk kegunaan domestik kerana kebanyakan penduduk menggunakan bekalan air Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dari sumber air bawah tanah.
 
Sumber: mStar Online | 13 Apr. 2016

Staf Rayani Air berang, dakwa disabotaj


Pembeli tiket penerbangan hadir ke pejabat Rayani Air di Seksyen 15 untuk menuntut kembali wang mereka di Shah Alam, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR: Kakitangan syarikat penerbangan patuh syariah, Rayani Air bakal mengambil tindakan mahkamah jika pihak pengurusan syarikat penerbangan tersebut tidak memberi kata putus berkenaan gaji yang masih tertunggak, esok.

Seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, tindakan tersebut akan diambil atas alasan pemilik syarikat, A Ravi yang didakwa mensabotaj pekerja.

“Kita sudah melaporkan hal ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan esok satu lagi perjumpaan akan kami lakukan. Jika tiada maklum balas daripada pihak Ravi, kami terpaksa membuat tindakan susulan untuk saman.

“Gaji bulan Mac yang sepatutnya masuk pada 28 Mac masih belum dapat dan ini bukan kali pertama mereka lambat membayar gaji kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggantung sementara operasi syarikat penerba­ngan, Rayani Air selama tiga bulan dan syarikat tersebut diminta memperbaiki operasinya dalam tempoh yang diberikan.

Tambah kakitangan itu, sifat tidak profesional Ravi yang tidak mahu bersemuka dan menyalahkan kakitangan atas masalah teknikal amat dikesali.

Masalah berlaku apabila beliau yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini membuat peraturan sendiri dan banyak me­langgar undang-undang penerbangan yang ditetapkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Beliau menolak untuk mende­ngar nasihat kakitangan yang sudah lama dalam bidang pener­bangan dan akhirnya banyak pe­ner­bangan terganggu,” katanya.

Kakitangan tersebut juga men­dakwa mempunyai bukti rakaman suara, video serta menyimpan perbualan Ravi dengan salah seorang kakitangan di aplikasi WhatsApp yang menunjukkan beliau menya­lahkan pekerja atas segala kesulitan.

Sementara itu di SHAH ALAM, pejabat pengurusan Rayani Air di sini diserbu para penumpang yang menuntut semula bayaran tiket ekoran tindakan syarikat itu menggantung operasinya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati para penumpang yang terlibat dilihat tidak putus-putus mengunjungi kaunter tuntutan bayaran balik tiket yang telah dibuka oleh syarikat terbabit setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang.

Seorang penumpang, Wan Mahani Wan Idris, 61, ketika ditemui melahirkan kekecewaan kerana telah menempah dua tiket penerbangan untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan pada Mei ini dan membayar RM159 untuk tujuan itu.

Selain tidak menyangka perkara sedemikian akan berlaku, pesara guru itu bagaimanapun akan tetap meneruskan niatnya pulang ke kampung dengan membeli tiket dari syarikat penerbangan lain yang dirasakannya mampu menawarkan harga berpatutan.

“Saya sudah membuat tempahan tiket awal untuk pulang pada Mei ini. Saya tidak ada masalah untuk menukar penerbangan yang lain selepas ini manakala pihak pengurusan Rayani Air pun telah menyelesaikan proses tuntutan semula bayaran tiket,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pensyarah, Baiti Yahya, 30, berkata, beliau terpaksa mendapatkan tiket penerbangan lain untuk menghadiri majlis perkahwinan di Sabah selepas dimaklumkan mengenai penggantungan operasi Rayani Air.

Menurutnya, walaupun tuntutan bayaran balik tiket tidak dibuat secara terus dengan tunai, namun syarikat penerbangan itu memberi jaminan bayaran tersebut akan dimasukkan ke akaun bank dalam tempoh tujuh hingga 30 hari bekerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, A. Ravi ketika ditemui memberi jaminan proses bayaran balik tiket para penumpang yang terlibat akan dapat diselesaikan paling awal dalam bulan ini.

Malah, beliau turut yakin akan meneruskan semula operasi Rayani Air sebelum tempoh penggantungan DCA selesai selain melaksanakan penstrukturan semula pengurusan serta operasi syarikat itu.

“Kita yakin orang ramai akan kembali menyokong Rayani Air. Kita akui tindakan menggantung operasi Rayani Air pada Jumaat lalu disebabkan mogok oleh juruterbang akibat kelewatan bayar gaji dan saya sebelum ini telah pun merayu kepada mereka untuk menerbangkan pesawat, namun ia tidak berlaku seperti yang saya harapkan, kita tiada pilihan lain,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 12 Apr. 2016 | Terbitan 13 Apr. 2016