Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 4 Disember 2016

BNM, FMC gariskan 6 inisiatif perkukuh ringgit

Adnan Zaylani Mohamad Zahid
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) akan melaksanakan enam inisiatif bagi memperkukuhkan kedudukan ringgit dalam pasaran kewangan tempatan mulai 5 Disember ini.

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, sebagai negara yang bergantung kepada aktiviti perdagangan, pengeksport boleh mengekalkan sehingga 25 peratus hasil eksport dalam mata wang asing dan selebih­nya dalam ringgit.

Jelas beliau, kemudahan deposit khusus untuk hasil ringgit tersebut akan ditawarkan kepada semua pengeksport melalui bank-bank komersial dengan kadar 3.25 peratus setahun dan kemudahan itu disediakan sehingga 31 Disember 2017.

Pengeksport boleh menge­kalkan sehingga 25 peratus daripada hasil eksport untuk bayaran import dan pinjaman, manakala 75 peratus mesti ditukar kepada ringgit. Mereka mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk melakukan tukaran ini.

“Berbanding sebelum ini, firma eksport perlu mengekalkan 100 pera­tus hasil eksport dalam mata wang asing bagi bayaran import dan pinjaman yang mana turut membantu memacu keseimbangan mata wang asing berbanding ringgit.

“Hasil daripada tukaran mata wang eksport ini akan digunakan untuk memastikan kecairan yang berterusan dalam pasaran kewa­ngan tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Langkah liberalisasi itu merupakan sebahagian daripada inisia­tif yang diambil oleh FMC bagi meningkatkan kecairan dalam pasaran mata wang asing dan membolehkan peserta pasaran menguruskan risiko pasaran de­ngan fleksibiliti lebih baik.

Menurut Adnan Zaylani, bagi menyelaraskan pelaburan aset dalam mata wang asing, residen dengan pinjaman dalam ringgit adalah bebas untuk melabur dalam pasaran tempatan dan luar pesisir dengan had RM50 juta bagi korporat dan RM1 juta untuk individu.

Katanya, residen yang tidak mempunyai pinjaman dalam ringgit boleh meneruskan fleksibiliti untuk melabur dalam aset mata wang asing untuk kedua-dua pasaran tanpa had.

Dalam pada itu, beliau menegaskan langkah yang diumumkan itu bukan satu bentuk kawalan modal yang dilaksanakan bank pusat itu sebaliknya inisiatif bagi membantu ringgit kembali kukuh berbanding mata wang lain.

“Saya ingin menekankan ini bukan satu langkah kawalan mo­dal kerana pelabur dan korporat masih boleh menguruskan pendedahan mereka kepada pasaran tukaran mata wang asing.

“Malah, dengan langkah ini, kami menjangkakan dapat me­ngurangkan ketidaktentuan dan kembali memberi keseimbangan kepada permintaan ringgit dan berharap ia dapat menunjukkan hasil yang berkesan dalam tempoh sehingga akhir 2018,” katanya.

Mengenai pasaran NDF, Adnan Zaylani berkata, setakat ini tujuh bank mengambil keputusan keluar daripada pasaran NDF dan berbincang dengan BNM untuk menguruskan kesan daripada portfolio pelaburan.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 2 Disember 2016 | Terbitan 3 Disember 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan