KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan mulut, tangan dan kakinya terikat dengan tali, dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai awal pagi ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata mayat Rohani Musa, 60, ditemui anak tunggalnya, Roseli Ab Rashid, 35 tahun pada pukul 1.30 pagi.
"Sebelum kejadian, anak Allahyarhamah dikatakan keluar rumah untuk menonton perlawanan bola sepak di kedai makan berhampiran, pada pukul 12.30 malam sebelum pulang ke rumah kira-kira satu jam kemudian.
"Sebaik tiba di rumahnya, Roseli mendapati pintu belakang rumahnya terbuka sebelum menemui ibunya terbaring di lantai ruang tamu rumah mereka dalam keadaan mulut, tangan dan kaki diikat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Ab Rahman berkata Roseli kemudian memaklumkan kejadian itu kepada jirannya sebelum membuat laporan polis.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah motosikal Yamaha RXZ yang diletakkan di ruang tamu, barang kemas dan dompet mangsa turut hilang dalam kejadian itu.
"Jiran mangsa turut memaklumkan ada ternampak kelibat dua individu menaiki sebuah motosikal berhampiran rumah mangsa sebelum kejadian berlaku," katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat dan pihaknya masih menunggu laporan.
Sementara itu, Roseli ketika ditemui berkata allahyarhamah sedang membaca Al-Quran ketika dia keluar dari rumah untuk menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan.
Sumber: Bernama | 19 Disember 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan