PASIR PUTEH: Kerajaan Persekutuan memperuntuk RM15 juta bagi membaik pulih 1,050 masjid dan surau yang rosak akibat banjir besar di Kelantan pada 2014.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata peruntukan itu disalurkan kepada 300 masjid dan 750 surau secara berperingkat, dengan Masjid Bukit Abal di sini merupakan masjid terbaharu menerima peruntukan tersebut.
"Masjid berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaik pulih beberapa kerosakan yang berlaku.
"Kerajaan beri peruntukan untuk baik pulih tempat ibadat ini kerana sedar amat sukar bagi penduduk untuk memulihkannya dalam masa yang singkat kerana kekurangan dana terutamanya jika ia terletak di kawasan pedalaman," katanya kepada pemberita pada Majlis Santai Pemimpin Bersama Penternak dan Nelayan Semerak di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Nurul Hizam Zakaria.
Asyraf berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara dan membangunkan institusi Islam ke tahap tertinggi selagi diberi mandat memimpin negara.
Sumber: Bernama | 6 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan