KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.5 juta sempena Pesta Orkid, Flora dan Herba 2018 pada tahun ini.
Pengarahnya Mohd Ariffin Awang berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi penjualan kira-kira 10,000 jenis bunga orkid yang ditawarkan pada pesta 10 hari itu yang bermula semalam.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai varieti bunga orkid yang dijual dengan harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, katanya yang ditemui selepas Pertandingan Gubahan Bunga Bersama Media Sempena Pesta Orkid, Flora dan Herba di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Bandar Baharu Tunjung di sini, hari ini.
Katanya selain bunga orkid, flora dan herba, hasil kraf tangan masyarakat Orang Asli dari Gua Musang dan Jeli juga boleh didapati di pesta tersebut.
Pesta yang bertema Segalanya Wanita ini menyajikan 20 acara kepada pengunjung seperti persembahan dikir barat, pertandingan nasyid, pertandingan suara emas dan lain-lain serta dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam, katanya.
Sumber: Bernama | Berita Timur | 23 Mac 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan