Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 31 Julai 2018

Cadangan wujud sekolah seni di Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan dicadang mewujudkan sekolah seni di Kelantan bagi memartabatkan pelbagai seni budaya di negeri ini, seperti dikir barat, mak yong dan wayang kulit.

Penggiat Seni Dikir Barat, Abdul Ariff Ariffin berkata sekolah tersebut diharap mampu memberikan suntikan baharu kepada penggiat seni terutama generasi muda untuk mengekalkan seni budaya tempatan.

"Kelantan kaya dengan pelbagai seni dan warisan yang tidak dilihat sebagai satu cabang ekonomi negeri yang boleh memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi rakyat," katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mahu lebih banyak kesenian dari Kelantan mendapat pengiktirafan tinggi di persada dunia sebagai antara destinasi pilihan pelancong untuk melihat keunikan seni budaya Malaysia.

Abdul Ariff atau dikenali Aris Kappila berkata melalui sekolah seni itu aspek persembahan mungkin dapat dipertingkatkan mengikut perkembangan semasa dan dikenali di seluruh dunia.

Sumber: Bernama | 31 Julai 2018


Jabatan Perikanan Kelantan labuhkan tukun tiruan di Kuala Tak Bai

TUMPAT: Jabatan Perikanan Kelantan melabuhkan sebanyak 15 tukun tiruan bernilai RM300,000 berhampiran Kuala Tak Bai di sini, bertujuan meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan pesisiran pantai.

Pengarahnya, Anuar Salam Sulaiman berkata tukun tiruan itu dikenali sebagai Tukun Tiruan Rekreasi atau tukun tiruan kuboid dasar lembut penghalang pukat tunda yang ditempatkan di kawasan lima batu nautika dari pantai Pengkalan Kubor di sini.

"Selain Tumpat, pihak jabatan ini turut melabuhkan tukun tiruan di kawasan Kuala Kemasin dan Pantai Irama, Bachok serta Kuala Besar dan Kuala Sabak di Kota Bharu," katanya kepada pemberita selepas Program Melabuhkan Tukun Tiruan Rekreasi berhampiran Kuala Tak Bai di sini, hari ini.

Anuar Salam berkata tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Kelantan adalah jenis konservasi untuk pemuliharaan dan bukan tangkapan ikan, dan tukun jenis rekreasi untuk tangkapan ikan secara memancing.

Tukun tiruan itu bertujuan mewujudkan satu ekosistem yang berfungsi sebagai satu santuari pembiakan bagi hidupan marin selain memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam, katanya.

Beliau berkata tukun tiruan itu juga bertindak sebagai benteng penahan ombak bagi mengawal hakisan pantai, mengawal aktiviti pukat tunda di pesisir pantai serta sesuai untuk diwujudkan kawasan agro tourism untuk selaman skuba.

"Untuk mengelakkan hidupan laut pupus, Jabatan Perikanan Kelantan mengambil inisiatif membangunkan tukun tiruan yang dilihat mampu menarik perhatian ikan dan mempercepatkan proses pertumbuhan plankton," katanya.

Beliau berkata pemasangan tukun tiruan itu juga dapat membendung pencerobohan nelayan bot pukat tunda di kawasan persisir pantai.

Dalam perkembangan sama, Anuar Salam berkata kerajaan negeri Kelantan juga turut memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi Program Unjam Gergasi yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya lokasi pemasangan unjam gergasi itu akan ditentukan oleh kumpulan nelayan sendiri yang lebih arif mengenai sesuatu kawasan tangkapan ikan.

Sumber: Bernama | 30 Julai 2018

Rabu, 25 Julai 2018

Sungai Nenggiri makin terancam

Air sungai sudah bertukar warna merah dipercayai kesan daripada percemaran berpunca dari aktiviti perlombongan.
GUA MUSANG: Beberapa hari lalu, Sinar Harian melaporkan Sungai Nenggiri sudah hilang auranya apabila aliran ini dicemari sehingga berubah warna.

Inilah hakikat yang perlu ditelan penduduk di sepanjang sungai ini dimana mereka hanya mampu melihat sungai yang menjadi sumber harian mereka tercemar.

Untuk diminum secara terus, ia adalah satu perkara yang mustahil malah, penduduk yang sebelum ini menjalankan aktiviti memukat dan memancing ikan mula menghentikan hobi mereka.

Semalam, ia menunjukkan kesan yang semakin terancam apabila warna sungai ini menjadi semakin pekat dan dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Menurut sumber, ada aktiviti perlombongan di kawasan Pos Kelaid, namun tidak pasti apakah kerja-kerja berkenaan berkaitan dengan pencemaran tersebut.

Hasil daripada tinjauan, ia kemungkinan kesan aliran bauksit iaitu sejenis bijih utama untuk menghasilkan aluminium.

Penduduk Kampung Bertam, Nik Mohd Ariffin Nik Abdul Kadir berkata, keadaan sungai itu berubah dari keadaan asal sejak awal tahun lalu.

Keadaan Sungai Nenggeri yang tercemar.
"Kami tidak tahu punca sebenar keadaan sungai ini semakin teruk, mungkin perlombongan atau aktiviti yang tidak diketahui.

"Apa yang pasti, ia bukan kerana faktor hujan kerana apabila hujan, air hanya keruh dan warnanya bukanlah merah seperti ini.

"Ia mungkin memberi kesan kepada penduduk di pinggiran walaupun kami tidak mendapatkan sumber air sungai secara terus kerana adanya loji rawatan air," katanya.

Bagi penduduk, Daud Mamat, sejak Bah Kuning 2014, keadaan sungai itu mula berubah menjadi keruh.

"Sebelum ini, jika kemarau, sungai akan jernih. Namun selepas banjir, ia tidak pernah jernih. Paling membimbangkan bila tahun ini, ia berubah menjadi merah. 
"Di kampung ini, kami mempunyai loji rawatan air yang disediakan sejak lebih 30 tahun lagi. Namun, bila keadaan ini berpanjangan dan makin teruk, kebimbangan itu tetap ada," katanya.

Sumber: Sinar Harian | 25 Julai 2018

Hala tuju baharu RMK11 dibentang di Parlimen Oktober ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka hala tuju baharu Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata hala tuju baharu pelan pembangunan itu akan mengandungi pelaksanaan dasar baharu serta dasar sedia ada yang ditambah baik berpandukan keperluan ekonomi semasa.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang ingin tahu bentuk program yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup orang Melayu seperti mana yang dinyatakan Perdana Menteri sebelum ini.

Mohamed Azmin berkata dasar dan program untuk mengangkat martabat dan memperkukuhkan tahap sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera akan diteruskan demi memberdayakan kumpulan sasar ini.

"Namun sebagai kerajaan yang peduli rakyat, pengagihan ekonomi mesti dilakukan secara adil kepada semua rakyat mengikut keperluan masing-masing dalam memelihara hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.

"Dalam langkah kerajaan untuk meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuklah Dasar Ekonomi Baharu dan Model Ekonomi Baharu, pembangunan sosioekonomi orang Melayu dan Bumiputera akan tetap menjadi agenda kerajaan," katanya.

Dalam hal ini, Mohamed Azmin menjelaskan pelbagai dasar baharu dan sedia ada sedang dikaji dan akan ditambahbaik berpandukan kepada keperluan semasa dan cabaran ekonomi dunia serta mengambil kira janji-janji di dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Beliau berkata ia bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera yang lebih mampan dan lestari dapat diwujudkan sekali gus meningkat keupayaan skala ekonomi orang Melayu dan Bumiputera untuk lebih berdaya saing.

"Kerajaan juga komited untuk meneruskan usaha peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat Malaysia yang lain", katanya.

RMK11 merupakan rancangan pembangunan lima tahun (2016-2020) terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

Sumber: Bernama | 24 Julai 2018

Selasa, 24 Julai 2018

Masalah bekalan air, kebersihan antara fokus sidang DUN

KOTA BHARU: Isu bekalan air dan kebersihan antara fokus utama akan dibahaskan oleh Kerajaan Negeri pada persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Kerajaan Negeri kini menunggu tindakan selanjutnya daripada Kerajaan Persekutuan berhubung Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan selepas ia dimuktamadkan pada 2016.

"Cuma kerana dekat sangat (baharu lepas) dengan pilihan raya jadi mungkin pelaksanaan itu memerlukan sedikit masa dan kerajaan yang baharu ini mungkin dia pun kena 'study' dulu (apa yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan lama)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN Kelantan ke-14 tahun 2018 di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas mengenai isu kebersihan pula, Mohd Amar berkata kerajaan negeri akan mengenakan kompaun terhadap mana-mana individu yang ditangkap membuang sampah sesuka hati.

"Undang-undang berkaitan pembuangan sampah ini dah ada dalam Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran tapi kita tak pernah kuatkuasakannya.

"Kita bukan nak ambil duit daripada mereka tapi nak menanam kesedaran kepada mereka mengenai kebersihan. Orang Kelantan bukan pengotor cuma dia tak cakna dengan keadaan sekeliling dia. Kalau ke rumah mereka bersih sahaja tapi di luar rumah dia jadi tak kisah (dengan kebersihan)," katanya.

Sumber: Bernama | 23 Julai 2018

Tanaman padi di Kota Bharu Utara terbantut

Nik Roslan Nik Idris (hadapan, empat kiri) beramah mesra dengan sebahagian pesawah di Ibu Pejabat KADA di Lundang di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Kira-kira 3,000 hektar sawah terutamanya di kawasan Kota Bharu Utara mengalami masalah bekalan air yang disalirkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sehingga membantutkan proses tanaman padi bagi Musim 1/2018 yang sepatutnya bermula pada Jun lalu.

Ini melibatkan lebih 30 pesawah yang dijangka mengalami kerugian sekiranya padi tidak dapat ditanam selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini kerana berhadapan dengan musim banjir.

Salah seorang pesawah, Abas Sheikh Brahim, 53, berkata, dia tidak dapat mengalirkan air ke kawasan sawahnya seluas 28 hektar di Dewan Beta di sini yang sepatutnya menerima bekalan air bermula 1 Jun mengikut jadual penggiliran KADA.

“Saya membelanjakan ribuan ringgit untuk upah membajak serta membeli racun dan benih padi namun sekarang semuanya tergendala kerana air tidak masuk mengikut jadual.

“Jika saya tidak dapat menanam pada musim ini, benih padi yang saya beli tidak dapat saya gunakan untuk musim lain dan perlu membeli yang baharu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat KADA di Lundang di sini hari ini.

Abas bersama 30 pesawah lain hadir untuk membangkitkan masalah mereka kepada pihak pengurusan KADA.

Yang turut hadir pada pertemuan itu adalah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, Nik Roslan Nik Idris dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Awam KADA, Baharuddin Ali.

Sementara itu, Nik Roslan berkata, pihaknya sedang mengatasi masalah yang dialami pesawah tersebut dengan memastikan proses penggiliran air berjalan dengan lebih baik.

“Kita menyalurkan air ke enam kawasan iaitu Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat.

“Catuan bekalan air terpaksa dibuat kerana paras air di Rumah Pam Kemubu yang terjejas selepas bekalan elektrik terputus akibat menara talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chetok, Pasir Mas yang tumbang disebabkan hakisan sungai hujung tahun lalu.

“Pihak TNB memberitahu pembinaan menara baharu dijangka akan selesai pada pertengahan bulan Ogos ini,” katanya.

Untuk rekod, menara talian voltan tinggi 33 kilovolt (kV) TNB tumbang di tebing Sungai Kelantan akibat hakisan sungai pada Disember tahun lalu dan pihak TNB kini dalam fasa akhir pembinaan dua buah menara baharu.

Sumber: Utusan Online | 23 Julai 2018

Pemangku Raja tegur tahap kebersihan negeri Kelantan

Ketibaan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra sempena perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Pertana Dewan Negeri Kelantan ke 14 tahun 2018 di sini hari ini.
KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra menegur tahap kebersihan di negeri ini yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki.

Baginda bertitah, saban tahun masalah kebersihan dan keceriaan di Kelantan sentiasa menjadi isu utama paling hangat diperkatakan di media sosial.

“Kurangnya kecaknaan masyarakat berhubung kepentingan penjagaan kebersihan dan alam sekitar menjadi faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan tersebut.

“Justeru beta mengesyorkan agar pendekatan kempen pembudayaan kebersihan dalam kalangan masyarakat di samping penguatkuasaan yang berterusan menjadi fokus utama pihak berkuasa tempatan di negeri ini,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Negeri Kelantan ke 14 tahun 2018 di Komplkes Kota Darul Naim hari ini.

Dalam hal itu juga baginda turut bertitah agar bantuan kewangan serta prasarana kebersihan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan amatlah perlu bagi membolehkan segala usaha merealisasikan pelaksanaan program Kelantan Bersih berjaya.

Sementara itu, Baginda juga yakin dengan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membawa banyak perubahan dan penambahbaik demi kepentingan rakyat sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

“Beta juga amat berbesar hati di atas keputusan Kerajaan Persekutuan di dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersetuju memberi royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

“Sesuai dengan perkembangan ini, beta menyokong penuh hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Perbadanan Petroleum bagi meneroka, mengusaha hasil dan mengurus petroleum di Kelantan,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, di dalam usaha untuk mengeratkan perhubungan baik antara Kerajaan Kelantan dan Persekutuan, amat besar harapannya agar projek yang telah diluluskan perlu diteruskan oleh Kerajaan Pusat.

Antara projek terbabit titah baginda adalah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) pakej Kota Bharu - Kuala Krai dan Kuala Krai - Mentara/ Pahang; projek Laluan Rel Pantai Timur, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga dan cadangan pembinaan jambatan Kampung Cina - Palekbang, Tumpat.

Sumber: Sinar Harian | 23 Julai 2018

MAHB peruntuk RM17 juta untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan RM17 juta untuk mengalakkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Peruntukan itu bertujuan membantu aktiviti pemasaran destinasi yang dijalankan oleh kerajaan negeri Sabah dan syarikat penerbangan untuk mempromosikan lagi laluan baharu, termasuk Wuhan, Guangzhou, Hangzhou, Shenzen, Taipei dan Singapura, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan hari ini.

MAHB berkata, pada separuh pertama 2018, KKIA mencatatkan pertumbuhan trafik penumpang pada tujuh peratus berbanding tempoh yang sama 2017.

"Pertumbuhan yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh peningkatan pergerakan trafik penumpang antarabangsa, sekali gus menunjukkan Sabah merekodkan jumlah pelancong yang tinggi sejak beberapa tahun ini," menurut MAHB.

Pergerakan trafik penumpang antarabangsa meningkat daripada 1.6 juta pada 2014 dan 2015 kepada 2.1 juta pada 2016, iaitu kenaikan 27 peratus.

Tahun lepas, angka itu meningkat 22 peratus kepada 2.5 juta.

Sementara itu, MAHB berkata langkah untuk menggabungkan semua operasi lapangan terbang dan penerbangan di bawah satu bumbung di Terminal 1 (T1) KKIA telah memberi manfaat yang amat besar kepada pelancongan negara, khususnya bagi Sabah.

Selain kemudahan yang lebih baik, T1 juga memiliki kelebihan dari segi kesalinghubungan lebih luas dan menawarkan peluang pertumbuhan lebih tinggi untuk syarikat penerbangan.

"Enam syarikat penerbangan antarabangsa baharu telah mula beroperasi di KKIA dengan membawa pelancong dari Korea Selatan, China, Taiwan dan Jepun," menurut MAHB, dan menambah, setakat ini 25 syarikat penerbangan beroperasi di lapangan terbang itu.

Sumber: Bernama | 23 Julai 2018

Khamis, 19 Julai 2018

Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu lewat, LPT3 masih dalam pertimbangan dan kajian

KUALA TERENGGANU: Projek pembinaan Jalan Pintasan Kuala Terengganu (KT Bypass) yang sepatutnya siap pada Januari lalu dijangka mengalami kelewatan berikutan keengganan penduduk berpindah daripada bangunan kediaman dan perniagaan mereka yang terletak dalam laluan itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata dengan kelewatan itu, Jalan Pintasan Kuala Terengganu dijangka hanya dapat beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun depan sekiranya rundingan dengan penduduk di 21 lot tanah sekitar Kampung Durian Burung itu berjalan lancar.

"Jadi, kita akan teruskan rundingan dengan mereka supaya projek ini tidak akan terus lewat kerana ia akan memberi impak kepada kedudukan kewangan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Saya percaya mereka faham dengan kepentingan projek ini kerana ia akan memberi manfaat kepada 70,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu, saya merayu semua pihak (penduduk) agar memberi kerjasama dalam hal ini agar pembangunan dirancang tidak terlewat daripada jangkaan asal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan perkembangan projek itu di sini, hari ini. 

Kos keseluruhan projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu yang bermula daripada persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis di sini hingga ke Kampung Durian Burung adalah RM321.9 juta termasuk pemberian pampasan sebanyak RM116 juta kepada pemilik 171 lot tanah.

Antara skop projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu adalah membina jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875km, empat jambatan dan naik taraf serta pembinaan persimpangan di Jalan Tok Adis, Jalan Kampung Durian Burung dan Kampung Tok Molor.

Apabila siap kelak, ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Kuala Terengganu dan mempercepatkan tempoh perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu, Kelantan dengan penjimatan masa 30 minit.

Ditanya mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dari Pengkalan Kubur di Tumpat, Kelantan ke Gemuroh di Kuala Terengganu pula, Mohd Anuar berkata ia masih dalam pertimbangan dan kajian sama ada ia wajar dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Ini adalah lawatan kerja pertama Mohd Anuar ke Terengganu selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya. Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan status terkini projek-projek yang dilaksanakan kementeriannya di negeri ini. 

Sumber: Bernama | 19 Julai 2018

Jabatan Perhutanan Kelantan perluaskan konsep Hutan Bandar

JELI: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan memperluaskan konsep Hutan Bandar di negeri itu bagi menjaga kelestarian bandar menjelang tahun 2020.

Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim berkata inisiatif tersebut mempunyai nilai tinggi kepada arus pembangunan sesebuah bandar untuk manfaat masyarakat terhadap suasana alam semulajadi.

"Walaupun sesebuah bandar itu sedang dan telah mengalami pembangunan, namun kita lihat konsep tersebut amat penting kepada masyarakat untuk menikmati alam semula jadi walaupun hidup dalam suasana arus pembangunan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini. 

Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut. Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Zahari berkata sehingga kini konsep hutan itu telah diwujudkan di Bandar Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok.

"Di bandar terbabit ia lebih kepada kosep taman dan hutan persisiran sungai namun di bandar Jeli ini kita lebih kepada hutan semula jadi yang mana tumbuhan hijau yang ada di hutan akan dibawa untuk ditanam di kawasan bandar. 

"Projek hutan bandar itu akan dirancangkan secara sistematik agar inisiatif tersebut memberikan lebih banyak manfaat kepada masyarakat," katanya. 

Katanya pokok-pokok hutan yang ditanam di kawasan bandar adalah untuk membantu mengurangkan kesan 'pulau panas' di kawasan bandar akibat arus pembangunan.

"Ia dijangka memberikan tarikan pelacongan baharu kepada sesebuah bandar sekali gus dapat menjana pembangunan ekonomi masyarakat setempat," katanya. 

Sumber: Bernama | 19 Julai 2018