KOTA BHARU: Kerajaan Pusat akan terus 
melaksanakan projek pembangunan di negeri ini seperti yang dirancangkan 
dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) biarpun langkah penjimatan 
sedang dilaksanakan.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa 
Mohamed berkata, langkah tersebut membuktikan Kerajaan Pusat tidak 
pernah menganaktirikan negeri ini daripada aspek pembangunan walaupun 
berada di bawah pemerintahan pembangkang.
Beliau berkata, projek mega seperti Hospital Kuala Krai dan Bachok akan diteruskan seperti biasa mengikut jadual ditetapkan.
"Projek yang sudah ada ini kita akan teruskan. Umpamanya tahun ini 
projek pembinaan hospital baharu di Kuala Krai yang melibatkan kos lebih
 RM200 juta. Projek ini telah melalui proses pecah tanah dan kerja-kerja
 pelaksanaannya kini giat dijalankan. 
"Selain itu, pembinaan hospital di Bachok dan pembesaran hospital di 
Jeli serta kira-kira 20 projek lain juga dalam proses pelaksanaan," 
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan 
mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persekutuan Negeri Kelantan di sini hari 
ini. Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri 
berkata, selain itu, pihaknya juga sedang menimbang beberapa permohonan 
projek-projek pembangunan baharu di negeri ini untuk diluluskan.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya hari ini telah menerima 
cadangan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) supaya kawasan 
padi di negeri ini digazetkan.
"KADA meminta Kerajaan Pusat berbincang dengan kerajaan negeri agar 
keseluruhan 34,000 hektar kawasan padi di negeri ini digazetkan supaya 
tidak diubah syarat untuk kegunaan lain.
"Sejak 30 tahun lalu, sebanyak 8,220 hektar dengan purata setahun 200
 hektar kawasan padi di negeri ini telah berubah syarat kepada kawasan 
kediaman serta kegunaan lain," katanya. Katanya, langkah itu amat penting bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
"Jadi, kalau kawasan tanah padi ini semakin berkurangan, maka sudah 
pasti Kelantan tidak akan menyumbang kepada pertubuhan pengeluaran padi 
negara," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 9 Februari 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan