KOTA BHARU: Polis Kelantan merangka 
strategi khusus bagi membanteras pengambilan dadah jenis methamphetamine
 atau pil kuda dalam kalangan remaja yang semakin serius di negeri ini.
Hal ini kerana peningkatan pengambilan pil tersebut dikenal pasti antara 
punca utama golongan remaja terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah 
seperti curi motosikal dan seksual.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya
 kini mahu mengambil langkah mendekati pelajar sekolah bagi membendung 
penularan penggunaan pil kuda pada usia muda.
Beliau berkata, polis akan mengambil inisiatif baharu bagi membentuk 
jati diri remaja di negeri ini kerana tindakan menangkap pengedar dadah 
jenis itu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah.
"Secara purata, pihak polis menangkap kira-kira 60 orang setiap hari 
berhubung pengambilan pil kuda dan 90 peratus daripada jumlah itu 
melibatkan golongan remaja. Dianggarkan lebih 1,500 remaja terjebak 
dengan pengambilan pil kuda setiap bulan.
"Oleh itu, pihak polis mengatur strategi khusus seperti mengadakan 
seminar dan kempen besar-besaran bagi menghebahkan tentang bahaya 
penggunaan pil kuda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 
Penutup Seminar Kecemerlangan Pelajar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota 
Bharu, di sini hari ini.
Seminar yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan 
itu disertai kira-kira 200 pelajar dari 20 buah sekolah di seluruh Kota 
Bharu.
Sementara itu, seorang pelajar yang ingin dikenali sebagai Syafiq, 
17, berkata, gara-gara terpengaruh dengan rakan sebaya, dia mula 
berjinak-jinak dengan pil kuda sejak dari tingkatan satu lagi.
"Saya mencuba pil kuda sekadar suka-suka tetapi lama-kelamaan saya 
mula ketagih sehingga sanggup bekerja secara sambilan untuk mendapatkan 
wang bagi membeli dadah tersebut yang berharga RM15 sebiji.
"Ibu tidak pernah syak tentang aktiviti ini sehingga saya ditahan polis pada tahun lalu," katanya.
Selepas kejadian itu, tambah Syafiq, dia berasa serik dan mula 
menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang masih mengambil pil tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 27 Februari 2014 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan