Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 21 Februari 2014

Pagar dawai keselamatan di sempadan Malaysia - Thailand akan diganti

Dua anggota PGA menunjukkan pagar sempadan yang dipotong oleh penyeludup - Gambar Arkib Bernama
PADANG BESAR: Pagar dawai keselamatan yang uzur di sempadan Malaysia-Thailand bakal digantikan dengan jenis bermutu tinggi dalam usaha mengawal dan mencegah pencerobohan.

Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Datuk Ab Rahim Ismail berkata perkara itu diberi keutamaan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar keselamatan di kawasan sempadan lebih terjamin.

Beliau berkata jenis pagar dawai tersebut perlu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh KDN agar sukar dirosakkan manakala sempadan sepanjang 464 kilometer dari Padang Besar ke Kelantan yang mudah dibolosi telah dikenal pasti.

"Tindakan sewajarnya sedang diambil termasuk meningkatkan kawalan bagi mencegah penyeludupan di kawasan tersebut," kata Ab Rahim kepada pemberita sempena lawatan kerjanya ke pos-pos UPP di Perlis Jumaat.

Beliau berkata UPP juga telah membuat permohonan kepada kerajaan untuk memiliki alat pengimbas bergerak bagi meningkatkan keupayaan unit tersebut melaksanakan tanggungjawab.

Mengenai permohonan menjadikan UPP sebuah jabatan termasuk memperluaskan kawasan operasinya di Johor serta Sabah dan Sarawak, Ab Rahim berkata perkara itu masih di peringkat kajian KDN.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata UPP Padang Besar berjaya membanteras satu sindiket penyeludupan petrol dengan penangkapan tiga lelaki hasil serbuan di dua gudang di Jalan Sekolah Cina dan Kampung Melayu di sini, semalam.

Katanya serbuan antara pukul 8.30 pagi dan 12.30 tengah hari itu dibuat hasil maklumat orang awam dan 2,180 liter petrol yang diisi dalam 20 tong dram serta tiga pam elektrik, semuanya bernilai lebih RM7,000 dirampas.

Tiga lelaki tempatan kesemuanya berumur 56 tahun yang diberkas dipercayai bekerja untuk sebuah sindiket penyeludupan dipercayai mengumpul petrol di gudang tersebut sebelum diseludup ke negara jiran, katanya.

Ab Rahim berkata kes itu diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis untuk tindakan lanjut.


Sumber: BERNAMA | 21 Februari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan