Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 20 Februari 2014

Sekolah menengah untuk pelajar Orang Asli akan dibina di Hulu Kelantan

GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan hampir RM50 juta untuk membina sebuah sekolah menengah bagi pelajar Orang Asli yang tinggal di kampung pedalaman Hulu Kelantan tidak lama lagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Galas Ab Aziz Yusof berkata tapak untuk pembinaan sekolah menengah pertama bagi kaum Orang Asli itu sudah dikenal pasti di Kampung Panggung Lalat, berhampiran Kampung Kuala Betis di sini.

"Sekarang ini dalam proses mengeluarkan tender oleh Kementerian Pendidikan dan jika tidak ada halangan kemungkinan ia dapat dilaksanakan tahun ini juga.

"Kita telah lama merancang untuk membina sekolah menengah untuk menempatkan pelajar Orang Asli bagi mengatasi masalah keciciran yang masih tinggi setiap tahun," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan kepada pelajar Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Balar di sini, Khamis.

Ab Aziz, yang juga Naib Ketua Umno bahagian Gua Musang, berkata ketika ini kebanyakan pelajar kaum itu terpaksa ditempatkan di SMK Seri Wangi, SMK Bandar Chiku, SMK Sungai Asap dan SMK Chiku 2.

Katanya berikutan itu, kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi mengangkut mereka dan ada juga di kalangan pelajar terbabit yang enggan terus belajar selepas cuti panjang akhir tahun.

"Apabila sekolah menengah dibina berhampiran kampung mereka sudah tentu akan dapat mengatasi banyak masalah dan kemungkinan dapat melahirkan lebih ramai pelajar kaum itu yang berjaya dalam pelajaran.

"Perkara yang lebih penting kesungguhan ibu bapa Orang Asli untuk mendidik anak-anak mereka dan rajin hantar ke sekolah," kata Ab Aziz.

Katanya kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi pelbagai kemajuan dan kemudahan untuk kaum berkenaan asalkan mereka sedia menerima kemajuan demi masa depan.

Sumber: BERNAMA | 20 Februari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan