![]()  | 
| Sebahagian seksyen baharu laluan Jalan Utama Tengah (CSR) yang telah dibuka sejak 10 Januari 2014. Foto ihsan: Amir SSC | 
KUALA LUMPUR: Pembukaan dua bahagian jalan di bawah Pakej Tiga 
Projek Jalan Utama Tengah (Central Spine Road [CSR]) yang dibuka 10 Januari lepas, memendekkan 
perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang dengan 
jarak perjalanan kini enam kilometer (km) dan mengambil masa 10 minit sahaja.
Sebelum ini jarak perjalanan asal 19.1km dan bahagian baharu jalan 
itu dipendekkan 13.1km manakala tempoh perjalanan sebelum ini ialah 45 
minit.
Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata pembukaan seksyen 
baharu itu adalah sambungan daripada seksyen 3F2 dari Kampung Sungai Yu 
ke Felda Chegar Perah 2 sepanjang 6.1km yang dibuka kepada laluan trafik
 pada 5 Julai 2013.
Fadillah dalam kenyataan di sini hari ini berkata laluan baharu itu 
menambahkan keselesaan pengguna jalan raya di samping mengurangkan 
risiko kemalangan.
Projek jalan raya itu dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya R5 
iaitu jalan empat lorong dua hala dengan ciri-ciri keselamatan yang 
tinggi.
“Walaupun dibina di kawasan yang sensitif terhadap unsur ekologi 
iaitu berdekatan Taman Negara, aspek alam sekitar tetap diutamakan. Tiga
 jambatan ‘eco-bridge’ juga dibina mengikut reka bentuk khusus bagi 
laluan hidupan liar di kawasan itu,” katanya.
Fadillah berkata pembukaan jalan baharu itu juga dapat merancakkan 
aktiviti ekonomi khususnya bagi penduduk di kawasan pantai timur 
berkenaan.
Projek membina dan menaik taraf Jalan Persekutuan CSR bagi 
laluan Kuala Krai – Gua Musang – Lipis – Raub – Bentong – Simpang 
Pelangi telah diluluskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Skop projek ini ialah membina jalan baharu dan menaik taraf jalan 
sedia ada kepada empat lorong dua hala dari Kuala Krai, Kelantan ke 
Simpang Pelangi, Pahang sepanjang 390km.
Projek dengan anggaran kos RM6 bilion ini dibahagikan kepada enam 
pakej reka bentuk dan dilaksanakan secara berfasa bermula 2008.
Sumber: BERNAMA | 23 Januari 2014 

maksudnya jumlah yang telah dibuka ialah 12.1 km ke?
BalasPadam