Jambatan dekat Kampung Tasik Gual Sitok perlu diperbesarkan untuk kemudahan 2,000 penduduk dari 10 kampung. |
RANTAU PANJANG: Penduduk meminta jambatan dekat Kampung Tasik Gual Sitok diperbesarkan bagi memberi ruang kepada kenderaan berat melaluinya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga, Tarmizi Muhammad berkata, laluan sedia ada di Gertak Berombak hanya mempunyai satu lorong dan dapat dilalui kenderaan ringan.
Menurutnya, sekiranya berlaku kebakaran, jentera bomba dan penyelamat terpaksa melalui laluan alternatif yang lebih jauh kerana jalan di sini sempit.
“Pasukan penyelamat terpaksa menempuhi beberapa kampung sebelum tiba ke Kampung Tasik antaranya jalan Tasik Cina melalui Kubang Puyuh.
“Ini menyebabkan mereka lewat hampir 15 minit untuk penghantaran bantuan ke tempat kejadian sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya.
Jika lewat ,Tarmizi berkata, nyawa penduduk mungkin terancam malah meningkatkan kerugian yang ditanggung kelak.
Justeru, beliau berharap, jambatan itu diperbesarkan untuk kemudahan 2,000 penduduk dari 10 kampung kerana ia laluan utama penduduk ke bandar Rantau Panjang.
Katanya, antara kampung yang terlibat adalah dari Puyuh, Tasik Cina, Tasik Hulu, Bakat, Slor, Banggol Merbol, Banggol Nyior dan Kok Kiyeh.
“Sudah tiba masanya laluan ini diperbesarkan, kerana jambatan dibina sejak puluhan tahun lalu ini, digunakan oleh ribuan penduduk termasuklah pelajar,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Februari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan