Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 22 Februari 2014

Penduduk sertai gotong-royong cegah denggi

Sebahagian penduduk yang menyertai program gotong-royong keselamatan bagi mengawal dan mencegah demam denggi di Kampung Aman, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Lebih 300 penduduk Kampung Aman di sini keluar beramai-ramai menjayakan program gotong-royong keselamatan bagi mengawal dan mencegah demam denggi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Kelantan di kampung itu hari ini.

Program yang bermula dari pukul 8 hingga 10.30 pagi itu telah dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuklah Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu serta disokong penglibatan tenaga sukarela Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Penerangan.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir, penduduk terutamanya di kawasan yang dikesan merupakan lokaliti panas wabak demam denggi seharusnya mengambil inisiatif menjaga kebersihan kawasan rumah dan kejiranan mereka.

"Kita seharusnya mengambil masa sekurang-kuranya 10 minit setiap hari untuk memeriksa kawasan di dalam dan luar rumah yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes terutamanya bekas yang dibuang merata-rata dan menjadi tempat takungan air.

"Usaha gotong-royong mengutip sampah seperti tin dan botol terbuang bukan sahaja boleh membersihkan kawasan kampung bahkan menambah sumber pendapatan apabila dijual semula," katanya semasa berucap merasmikan program itu di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Keselamatan daerah Kota Bharu MKN Kelantan, Mohd Rizal Hasmarli berkata, pihaknya berharap program itu dapat mencetuskan kesedaran masyarakat akan bahaya demam denggi selain menjalin silaturrahim antara penduduk.

Beliau berkata, kampung-kampung di pinggir bandar ini didapati menjadi antara kawasan panas dan pihaknya akan menjalankan aktiviti serupa di Kampung Peradang dan Kampung Telok Panji pada hari Sabtu ini.

"Pihak MKN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu melalui Jawatankuasa Wabak Denggi Jajahan ini akan mengadakan beberapa lagi siri program gotong royong di lokaliti-lokaliti panas wabak denggi lain setiap minggu berikutan meningkatnya kes demam denggi sekarang ini," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Penduduk Kampung Aman, Mazlan Mohd Noor berkata, pihaknya berbesar hati dengan penganjuran program gotong royong itu setelah lebih 10 tahun program sebegitu tidak dilaksanakan di kampung tersebut sehingga berjaya mengumpulkan lebih lapan tan sampah.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak tujuh kes demam denggi dilaporkan di kampung itu tahun ini dan keadaan tersebut amat membimbangkan para penduduk.

"Sebab itu ramai yang turun hari ini daripada semua golongan sama ada profesional atau peringkat bawahan bersama-sama membersihkan kawasan kampung bagi mencegah demam denggi daripada menular," katanya.

Seorang lagi penduduk, Che Hassan Che Wil, 54, pula berkata, pengalaman mengidap demam denggi pada tahun 2007 menjadi peristiwa hitam yang dia tidak akan dilupakan dan berharap kejadian serupa tidak dialami orang lain. 

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 21 Februari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan