Penduduk siap sedia dengan tetuan, tin susu dan kayu untuk memulakan Pesta Menghalau Tupai yang diadakan di Banggol Perdana. |
PASIR MAS: Sekali setahun Kampung Banggol Perdana pasti riuh rendah
dengan bunyi bising yang dihasilkan dari alat tetuan sempena Pesta
Menghalau Tupai.
Penduduk, Ya Daud, 69, berkata, tetuan adalah sejenis alat muzik yang diperbuat dari tanduk kerbau akan ditiup sebagai simbolik kepada permulaan pesta berkenaan.
“Pesta menghalau dan menangkap tupai pada zaman dulu cukup meriah berikutan ia disertai oleh seluruh penduduk kampung kerana binatang tersebut merosakkan tanaman milik mereka.
“Sebaik sahaja tetuan tersebut ditiup, penduduk yang terlibat dalam pesta ini akan berlari sambil menggoncangkan tin bagi menghadirkan rasa gerun kepada tupai,” katanya ketika ditemui di pesta tersebut di sini.
Menurutnya, penduduk kemudian akan memukul batang pokok menggunakan penukul kayu bagi menghalau haiwan berkenaan keluar dari sarangnya.
Ya berkata, kebiasaannya, tradisi itu berlangsung dalam suasana meriah dengan jeritan orang kampung yang menyertai pesta berkenaan.
Katanya, walaupun sudah 50 tahun berlalu tetapi pesta tersebut masih lagi diamalkan oleh penduduk di kampung itu.
“Saya gembira apabila masih ada pihak yang sudi melakukan amalan ini kerana bagi saya sudah tiba masanya generasi muda didedahkan dengan tradisi ini sekaligus mengelakkan ia pupus,” katanya.
Sementara itu, penganjur pesta tersebut, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banggol Perdana, Noor Alam Majid berkata, langkah berkenaan bertujuan untuk menghidupkan tradisi tersebut yang merupakan platform penyatuan masyarakat satu ketika dahulu.
Menurutnya, tradisi menghalau tupai itu merupakan acara tahunan penduduk kampung berkenaan satu ketika dahulu setiap kali tibanya musim buah.
“Tradisi ini perlu dipertahankan kerana ia merupakan salah satu warisan budaya yang diamalkan oleh nenek moyang kita sebelum ini,” katanya.
Pihaknya berhasrat mempopularkan semula tradisi berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan di kampung berkenaan.
Katanya, keunikan pesta tersebut dilihat mampu menarik pelancong luar untuk melihat secara lebih dekat tradisi tersebut yang merupakan warisan penduduk di Kampung Banggol Chicha.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Februari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan