KUANTAN: Rapid Bus Sdn Bhd, ahli kumpulan Syarikat Prasarana Negara 
Berhad (Prasarana) bakal mengembangkan perkhidmatan bas Rapid ke Kota 
Bharu, Kelantan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zohari Sulaiman berkata, pada masa 
ini pihaknya sedang mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya 
Pengangkutan Darat (SPAD) untuk memulakan operasi di sana seawal-awalnya
 pada pertengahan tahun ini.
“Selepas Kota Bharu kita juga berharap dapat mengembangkan operasi 
bas Rapid ke sembilan ibu negeri lain di Semenanjung,” katanya kepada 
pemberita selepas majlis penyerahan 60 buah bas Scania kepada Rapid 
Kuantan di depoh bas syarikat itu di sini hari ini.
Dalam pada itu Zohari berkata penyerahan 60 buah bas baharu bernilai 
RM65,000 sebuah hari ini adalah bagi menggantikan bas-bas yang dipinjam 
daripada Rapid KL ketika Rapid Kuantan memulakan operasi tahun lepas.
Sejak beroperasi Januari tahun lepas, Rapid Kuantan kini mempunyai 80
 buah bas dan beroperasi di 47 laluan di sekitar Kuantan iaitu Teluk 
Cempedak, Gambang, Sungai Lembing dan Pekan.
Zohari berkata sebanyak 65 pemandu baharu diperlukan berikutan Rapid 
Kuantan akan memulakan operasi di laluan baharu iaitu di kawasan Beserah
 pada April depan.
Katanya, kaum wanita yang layak juga dialu-alukan untuk mengisi 
kekosongan jawatan pemandu bas sementara Rapid Kuantan juga dalam 
perancangan memperkenalkan perkhidmatan bas khusus untuk wanita.
Turut hadir Pengerusi Rapid Bus Sdn Bhd Datuk Ruhaizah Mohamed 
Rashid, Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara James Armstrong dan Ketua 
Pegawai Operasi Rapid Kuantan Zainurul Hakim Mohamad. 
Sumber: BERNAMA | 17 Februari 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan