Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 Ogos 2015

Ekspres Senandung Timuran dijenamakan semula kepada Tren Rakyat Timuran

KOTA BHARU: Perkhidmatan kereta api Ekspres Senandung Timuran kini dijenamakan semula (rebranding) sebagai Tren Rakyat Timuran. 

Tren Rakyat Timuran ini merupakan salah satu rangkaian kereta api Aliran Pantai Timur (East Coast Line) yang menghubungkan bandar raya Johor Bahru, Johor dengan bandar Gua Musang di selatan negeri Kelantan. 

Perkhidmatan tren ini dijangka dapat dilanjutkan sehingga ke bandar Tumpat di sebelah utara negeri Kelantan pada awal tahun depan setelah kerja-kerja baikpulih dan pembinaan jambatan kereta api di Kemubu, Kelantan siap sepenuhnya nanti. 

Tren Rakyat Timuran bernombor 26 dari Johor Bahru ke Gua Musang dijadualkan berlepas pada jam 20:30 dari Stesen Kereta Api JB Sentral di pusat bandar raya Johor Bahru dan dijangka tiba di Stesen Kereta Api Gua Musang pada keesokan harinya pada jam 08:45, manakala tren bernombor 27 dari Gua Musang ke Johor Bahru dijadualkan berlepas pada jam 22:30 dan dijadualkan tiba di Johor Bahru pada jam 11:20 keesokan harinya. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.ktmb.com.my.

Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com 

Jumaat, 28 Ogos 2015

Perkhidmatan kereta api Tumpat - Kemubu kembali beroperasi mulai 31 Ogos ini

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren ulang-alik Keretapi Tanah Melayu (KTM) antarabandar sektor Pantai Timur bagi laluan Krai - Tumpat - Krai akan kembali beroperasi pada 31 Ogos ini.

KTM Berhad berkata ini bermakna, perkhidmatan tren ulang-alik sedia ada di sektor Krai-Kemubu-Krai yang beroperasi semula pada 12 Julai lepas, dipanjangkan sehingga ke Tumpat.

Tren itu menyediakan lapan perkhidmatan yang akan bermula seawal 3 pagi dengan harga tiket minimum bermula pada RM1, kata KTM Berhad dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Sempena pembukaan semula sektor Krai - Tumpat - Krai, KTM Berhad mengharapkan perkhidmatan itu dapat membantu kehidupan seharian warga tempatan khususnya di Kelantan.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu boleh diperoleh di laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.

Pada Disember tahun lepas, sebanyak 10 stesen KTM Berhad di Pantai Timur tidak dapat beroperasi akibat banjir besar.

Sumber: Bernama | 28 Ogos 2015

Selasa, 25 Ogos 2015

Tarikh kutipan tol di LPT2 belum ditetapkan - LLM

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) belum menetapkan tarikh kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Md Salleh juga berkata laporan akhbar bahawa tarikh kutipan tol ditangguhkan adalah tidak benar.

"Pada masa kini, kerajaan pusat dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian konsesi bagi pengswastaan LPT2 dan masih belum menentukan tarikh kutipan tolnya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada lagi kerja menaik taraf dilakukan bagi laluan di sepanjang lebuh raya berkenaan kerana pembinaannya telah siap sepenuhnya.

Menurut Ismail, LLM akan menguatkuasakan undang-undang jalan raya di lebuh raya berkenaan.

Sumber: Bernama | 25 Ogos 2015

172 sekolah pondok tidak terlibat kegiatan ekstremisme - Asyraf

KOTA BHARU: Pemantauan terhadap 172 institusi pengajian Islam berteraskan pondok di negara ini mendapati mereka tidak terlibat dengan kegiatan ekstremisme mahupun militan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) membuat pemantauan itu selepas terdapat ancaman Kumpulan Islamic State (IS) turut menyasarkan Malaysia untuk melaksanakan agenda mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Multaqa Guru-Guru sekolah Pondok Zon Timur 2015 di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM15.67 juta kepada 72 institusi pendidikan Islam berteraskan pondok di pantai timur.

Sumbangan berkenaan merupakan agihan peruntukan RM25 juta kepada sekolah-sekolah pondok yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2015 Oktober tahun lepas.

Sumber: Bernama | 25 Ogos 2015

Jangan perbodohkan rakyat - Sultan Johor

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan kerajaan supaya tidak memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap didengar bagi menutup keadaan sebenar.

Baginda menggesa kerajaan untuk menyelesaikan segera masalah negara terutamanya kejatuhan nilai ringgit yang semakin teruk.

"Sebagai Sultan, saya tidak boleh mencampuri urusan politik tetapi sebagai Sultan, saya bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat dalam keadaan baik, maju dan makmur," katanya pada Selasa.

Sultan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-50 di Kem Iskandar di sini.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan kepada pemimpin pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggung jawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan jangan mengutamakan kepentingan peribadi.

Baginda juga menegur pemimpin yang memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.

“Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.

"Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera,” titah baginda.

Sumber: mStar Online | 25 Ogos 2015

Isnin, 24 Ogos 2015

KBS sedia anjur Maraton Antarabangsa Kelantan mulai tahun depan - Khairy

Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ahmad Jazlan (dua, kiri) dan Rosmadi (dua, kanan) melakukan senaman pada perasmian Fit Malaysia peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menganjurkan Maraton Antarabangsa Kelantan buat julung kalinya, bermula tahun depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penganjuran acara sukan yang akan digerakkan oleh KBS dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan itu bakal melengkapkan program Fit Malaysia yang berlangsung di negeri berkenaan.

“Saya telah bincang dengan Pengerusi MSN Kelantan, Datuk Rosmadi Ismail, kita hendak bawa satu acara bertaraf antarabangsa ke Kelantan.

Kita sudah ada (Standard Chartered Maraton Kuala Lumpur), di Pantai Timur saya tengok tak ada, jadi saya rasa sangat sesuailah diadakan di sini.

Saya harap ia boleh menjadi acara tahunan, bukan setakat untuk rakyat Kelantan tetapi juga dapat meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat Asia Tenggara dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Md Sulji Zakaria.

Menurutnya, kementeriannya bersikap terbuka dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi memastikan acara sukan berskala besar itu dapat dilangsungkan di negeri berkenaan.

Mengulas mengenai Fit Malaysia yang memasuki siri penjelajahannya ke-10 tahun ini, Khairy Jamaluddin memberitahu, beliau amat gembira dengan sambutan menggalakkan daripada pelbagai masyarakat di Kelantan.

“Hari ini kita terima lebih 15,000 peserta, larian sahaja mencecah 11,000 orang, selain beberapa aktiviti lain seperti kayuhan basikal, seni mempertahankan diri dan kecergasan. Ini adalah satu angka cukup besar dan pencapaian hebat di Kelantan.

“Saya percaya program sukan seperti ini begitu dinantikan rakyat negeri ini. Sambutan Fit Malaysia sangat baik, mana-mana kita pergi penglibatannya mencecah puluhan ribu peserta, ini menunjukkan kesedaran untuk bersukan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Ogos 2015

MyBAS bakal beroperasi di empat lokasi lagi

Syed Hamid Albar
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas henti-henti MyBAS dijangka beroperasi di empat lagi lokasi baharu iaitu Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching pada hujung tahun ini.

Awal bulan ini, perkhidmatan yang menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar sudah beroperasi di Perlis.

Kerajaan mempuntukan dana sebanyak RM100 juta bagi perkhidmatan MyBAS di lima negeri berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, MyBAS diperkenalkan sebagai penyelesaian jangka panjang untuk meningkatkan tahap perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara.

"Operasi MyBAS bermula di Perlis sejak 1 Ogos lalu dan akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Ogos ini. Kita menyasarkan MyBAS akan beroperasi di Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching pada hujung tahun ini.

"Buat masa ini, bagi operasi di Seremban kira-kira 70 peratus sudah di peringkat akhir untuk dilaksanakan dan dijangka beroperasi bulan depan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pembayaran dana sokongan sementara bas henti-henti kepada syarikat-syarikat pengendali bas (ISBSF) di Ibu Pejabat SPAD di sini, Jumaat.

Seramai 11 wakil pengendali menerima dana ISBSF berjumlah RM10.3 juta untuk membantu pengendali bas henti-henti yang terjejas akibat peningkatan kos operasi.

Syed Hamid berkata, sehingga bulan ini sebanyak RM386.16 juta sudah dibayar kepada pengendali bas henti-henti sejak dana ISBSF diperkenalkan tiga tahun lalu.

"Sehingga Ogos ini, sejumlah RM28 juta dibayar kepada pengendali dibawah dana sementara ini (ISBSF)," katanya.

Menurut beliau, dana ISBSF bersifat sementara dan akan digantikan Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) dengan pelancaran MyBAS di negeri lain.

"Ia akan diagihkan sehingga Jun tahun depan. Saya tengok ada keperluan untuk dana ini diteruskan sebelum kita laksanakan skim kekal iaitu SBST, kita tak mahu syarikat ini berhenti (beroperasi)," katanya.

Dana tersebut memberi manfaat kepada 332,232 penumpang sehari yang merentasi 656 laluan di seluruh tanah air.

Ia melibatkan perjalanan terkumpul sejauh 38.65 juta kilometer yang dikendalikan 1,704 bas sebulan.

Sumber: mStar Online | 21 Ogos 2015

Penyanyi Stacy akhirnya peluk Islam

Gambar Stacy melafazkan syahadah tersebar di laman sosial.
PETALING JAYA: Setelah sekian lama meluahkan rasa cinta terhadap Islam penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 6 (AF 6) Stacy akhirnya bergelar seorang muslim.

Majlis lafaz syahadah dilakukan pada petang Isnin.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 25, dilaporkan hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam ditemani Akim dan ibu serta bapa kekasihnya itu bagi tujuan berkenaan di Johor Bahru.

Stacy yang berasal dari Sabah sebelum ini beragama Kristian.

Sehubungan itu pihak Astro akan mengadakan satu sidang media pada petang Selasa bersama Stacy bagi berkongsi berita baik berkenaan.

Sumber: mStar Online | 24 Ogos 2015

Sabtu, 22 Ogos 2015

Perdana menteri beri jaminan Kelantan tidak dianaktirikan

PASIR MAS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan Persekutuan tidak akan menganaktirikan rakyat dan negeri Kelantan dalam program pembangunan yang dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata rakyat negeri ini tidak perlu bimbang kerana melalui kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Kelantan tetap akan mendapat pertimbangan yang adil dan saksama.

"Kelantan akan mendapat pertimbangan yang adil dan saksama selagi saya menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya semasa berucap pada majlis "Pemimpin Bersama Rakyat" dan perasmian persidangan perwakilan UMNO bahagian Rantau Panjang di sini hari ini.

Kira-kira 20,000 masyarakat tempatan dan perwakilan UMNO bahagian hadir pada majlis itu, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata kerajaan pimpinan UMNO dan BN akan berlaku adil kepada semua negeri apatah lagi Kelantan yang memerlukan pertolongan kerana ketidakmampuan kerajaan negeri pimpinan PAS.

"Kerajaan negeri kemampuannya terbatas. Lagi pun banyak juga yang belawok (tipu), tapi bab hak baik, kita kata baik juga sebab kita fikir soal masa depan umat Islam," katanya.

"Ambo nak kata PAS dengan UMNO ini ada juga bab (perkara) yang boleh kita kerjasama tapi bab dia belawok, dia belawok juga tetapi ada bab yang dia boleh kerjasama.

"Ada juga pemimpin PAS yang membela ambo, baru-baru ini dalam masa fitnah dilemparkan hari-hari, ada pemimpin PAS kata Datuk Najib tidak boleh dianggap salah melainkan seseorang itu terbukti salahnya, ini prinsip Islam," katanya.

Najib meminta anggota UMNO menjadi penyokong 'berani mati' demi perjuangan parti untuk agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata dalam politik ini ada beberapa jenis penyokong iaitu penyokong lemah, tegar dan berani mati namun UMNO memerlukan penyokong 'berani mati' yang sanggup berjuang untuk parti.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan jalan persekutuan empat lorong sepanjang 16 kilometer dari pekan Rantau Panjang ke bandar Pasir Mas yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.

Sumber: Bernama | 22 Ogos 2015

Kerajaan Pusat lulus RM8 juta projek tebatan cegah banjir Hospital Raja Perempuan Zainab II - Najib

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM8 juta bagi pembinaan projek tebatan banjir untuk mengatasi masalah banjir di kawasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek itu penting bagi mengelakkan perkhidmatan di hospital berkenaan terjejas apabila berlaku banjir seperti Disember tahun lepas.

"Saya ambil maklum hospital ini terletak dalam kawasan banjir, oleh itu cadangan untuk membina "flood mitigation gates" amat wajar dan patut diberi pertimbangan, dengan kos RM8 juta, boleh saya luluskan dalam majlis ini," katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Rawatan Harian dan Hemodialisis HRPZII pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedia menimbangkan cadangan membina Kompleks Ibu dan Kanak-Kanak di hospital berkenaan berdasarkan kemampuan kerajaan memandangkan kosnya agak besar.

Cadangan projek tebatan banjir dan Kompleks Ibu dan Kanak-Kanak itu dikemukakan Subramaniam semasa berucap pada majlis berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan pusat berlaku adil kepada semua negeri dan rakyat Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai program bagi menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik kepada rakyat.

"Antaranya, kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk membantu menangani isu kos sara hidup dalam jangka masa panjang di bawah Program Transformasi Kerajaan atau GTP 1.0 untuk membantu rakyat membiayai keperluan asas dan perkhidmatan.

"Kerajaan memperkenalkan Klinik 1Malaysia bagi menyediakan rawatan yang mampu dan murah dengan bayaran RM1," katanya.

Kompleks setinggi lima tingkat melibatkan kos RM177.8 juta yang dirasmikan Najib hari ini dilengkapi 82 bilik perundingan, ruang kerja dan ruang menunggu yang lebih luas untuk pesakit serta enam dewan bedah.

Sumber: Bernama | 22 Ogos 2015

LPT3 bergantung kemampuan kerajaan - Najib

KUALA NERUS: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sedang mengkaji dan meneliti projek pembinaan jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang menghubungkan Gemuruh, Terengganu ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Perdana Menteri, bagaimanapun, berkata kelulusan projek tersebut bergantung kepada kemampuan kerajaan pusat.

"Saya tahu bila orang balik raya sehingga 14 jam...jadi LPT3 ini perlu," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, di sini Sabtu.

Dalam pada itu, berhubung gesaan kerajaan negeri untuk memohon sejumlah peratusan saham pengurusan LPT2 daripada syarikat konsesi, Projek Lebuh Raya Utara - (PLUS), Najib berkata kerajaan negeri boleh meneruskan rundingan dengan syarikat konsesi itu.

Kerajaan Negeri Terengganu sebelum ini meminta 40 peratus saham LPT2 daripada syarikat konsesi tersebut yang mengambil alih pengurusan lebuh raya berkenaan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

LPT2 sepanjang 184 kilometer itu dibuka sepenuhnya pada 31 Dis tahun lepas, yang membolehkan perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, dipendekkan kepada empat jam berbanding enam jam sebelum ini.

Selain itu, pada majlis itu Najib meluluskan peruntukan RM3.5 juta bagi membina dewan masyarakat Tok Jiring serta menaiktaraf kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring, SK Kompleks Wakaf Tembesu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Wakaf Tembesu.

Dewan masyarakat itu mampu memuatkan sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa.

Sumber: Bernama | 22 Ogos 2015

Jumaat, 21 Ogos 2015

10,000 dijangka sertai ‘Pakat Fit Sokmo!’ esok


Md. Sulji Zakaria bersama banner program Fit Malaysia Kelantan 2015 yang akan diadakan di Kota Bharu, Sabtu ini.
KOTA BHARU:  Lebih 10,000 anggota masya­rakat pelbagai lapisan di negeri ini dijangka menyertai program Fit Malaysia Kelantan 2015 di Kompleks Belia dan Sukan, Panji dekat sini pada Sabtu ini.

Program kelolaan Kementerian Belia dan Sukan yang diadakan seawal pukul 6.30 pagi sehingga 6 petang itu melibatkan empat aktiviti utama iaitu senamrobik, larian, berbasikal, berjalan kaki serta pameran dan jualan.

Lebih menarik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bukan sahaja bakal merasmikan program tersebut malah akan turut menyertai beberapa aktiviti yang diadakan bersama orang ramai.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Md. Sulji Zakaria berkata, Fit Malaysia Kelantan 2015 diadakan bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam aktiviti kecergasan.

Katanya, program itu membolehkan lapisan masyarakat di seluruh negeri ini berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan yang membawa manfaat dari aspek kesihatan dan perpaduan.

“Saya berharap orang ramai hadir memeriahkan lagi program ini sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas.

“Program ini juga dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat berbudaya sukan ke arah sebuah negara bersukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, program itu dipilih berdasarkan kepada minat dan populariti dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia dan remaja tanpa mengenal batas umur, bangsa, agama serta latar belakang.

Sumber: Utusan Malaysia | 20 Ogos 2015

Tiga sekeluarga mangsa letupan bom di Bangkok gembira dapat pulang ke Kelantan, Malaysia

Mangsa yang terselamat daripad letupan bom di Bangkok, Tan Kim Siok (dua, kiri) bersama menantunya Tan Ri Hiun (berkerusi roda} dan isteri beliau Teo Khaei Ling (kiri) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu.
KOTA BHARU: Tiga sekeluarga mangsa letupan bom di Bangkok, Thailand pada Isnin lepas, melahirkan rasa gembira dapat pulang dengan selamat ke Malaysia walaupun mengalami kecederaan akibat insiden itu.

Tan Rui Hun, 29, bersama isterinya Teo Khaei Ling, 27, dan ibu mertua (Rui Hun) Tan Kim Siok, 52, yang berasal dari Pasir Mas, tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini pada 11.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami amat gembira selamat pulang," kata Teo kepada pemberita sebaik tiba di LTSIP di sini, Khamis malam.

Mereka berlepas dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada 5 petang (6 petang waktu Malaysia), sebelum menaiki pesawat ke Kota Bharu.

Rui Hun yang berkerusi roda, cedera akibat insiden tersebut dan menjalani pembedahan selama empat jam untuk mengeluarkan serpihan bom daripada tangan kiri, bahu serta kakinya di Hospital Hua Chiew, Bangkok.

Teo dan Kim Siok hanya cedera ringan. Difahamkan, kesemua mangsa meninggalkan lapangan terbang itu menuju ke rumah mereka di Pasir Mas.

Rui Hun bersama keluarganya itu ke Bangkok pada 15 Ogos lepas untuk bercuti.

Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, lima rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.

Mereka antara 20 orang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.
 
Sumber: Bernama | 20 Ogos 2015

Khamis, 20 Ogos 2015

PM rasmi Pusat Rawatan Harian HRPZ II Sabtu ini

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan merasmikan Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Sabtu ini.

Sehubungan itu, bagi melancarkan program berkaitan, laluan jalan utama ke HRPZ II akan ditutup bermula hari ini.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, orang ramai yang akan berurusan dengan HRPZ II boleh melalui pintu masuk laluan ambulans dan menurunkan penumpang di kawasan Jabatan Kecemasan kemudian keluar melalui laluan Jabatan Forensik.

“Semua kenderaan orang awam boleh diparkir di kawasan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, ‎dalam kawasan Wisma Persekutuan dan di Kolej Kejururawatan.

“Penutupan ini mengambil masa tiga hari dari Khamis sehingga Sabtu sebelum dibuka semula pada A‎had ini dan akan diawasi anggota polis bagi memudahkan urusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ghazali berkata, ‎penutupan jalan berkenaan bagi mengelak kesesakan sepanjang program berlangsung selain melancarkan urusan di hospital.‎

Tarikh kutipan tol LPT2 ditunda

KUALA TERENGGANU: Kutipan tol di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijadual bermula September ini terpaksa ditunda atas beberapa faktor termasuk kerja-kerja penyelenggaraan masih berjalan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman berkata kemungkinan sistem kutipan tol di lebuh raya sepanjang 184 km itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu tarikh pelaksanaan sistem kutipan tol daripada Kementerian Kerja Raya.

LPT2 yang dibina dengan harga RM3.7 bilion itu dibuka secara percuma kepada lalu lintas sejak 31 Dis tahun lepas.

"Memandangkan kerja-kerja menaiktaraf beberapa laluan di sepanjang lebuh raya itu sedang berjalan, maka berkemungkinan besar sistem kutipan tol akan berjalan akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Terengganu yang dirasmikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong.

Mengenai pencerobohan ternakan yang sering berlaku di LPT2, beliau berkata kerja-kerja membaiki pagar yang rosak telah dijalankan dari semasa ke semasa.

"Bagi menghalang pencerobohan binatang di kawasan LPT2, kita akan tambah pagar kawat berduri selain meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berdekatan seperti PBT Marang dan Hulu Terengganu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap binatang ternakan yang berkeliaran memasuki kawasan LPT2 itu," katanya.

Mengenai dakwaan kemalangan yang sering berlaku di LPT2, Rosli berkata ia bukan disebabkan jalan yang tidak rata atau rosak.

"LPT2 merupakan lebuh raya baharu dan kebanyakan pemandu belum biasa dengan jalan berkenaan, ada pemandu yang memandu terlalu laju dan ada juga mengantuk semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Sumber: Bernama | 20 Ogos 2015

Khamis, 13 Ogos 2015

ECER tarik pelaburan RM78 bilion, 76,120 peluang pekerjaan dari 2007 hingga Jun 2015

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM78 bilion dan mewujudkan 76,120 peluang pekerjaan antara 2007 dan akhir Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata pelaburan itu -- dari dalam dan luar negara -- mewakili 71 peratus daripada sasaran pelaburan ECER bernilai RM110 bilion menjelang 2020.

Daripada jumlah pelaburan komited, katanya kluster pembuatan menjadi penyumbang terbesar dengan RM44.35 bilion, diikuti pelancongan (RM13.56 bilion), bio-ekonomi (RM5.62 bilion) serta minyak, gas dan petrokimia (RM4.8 bilion).

"ECER mencatatkan pelaburan sebanyak RM6.3 bilion pada suku kedua 2015. Ini lebih daripada separuh sasaran pelaburannya sebanyak RM12 bilion bagi tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Kedua Majlis ECERDC 2015 di sini Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi ECERDC.

Jebasingam berkata ECER dijangka mencapai sasaran yang ditetapkan pada akhir tahun ini berikutan ia telah menunjukkan keputusan positif, seperti yang ditunjukkan dalam pelaburan yang meningkat dan kumpulan modal insan dan usahawan yang kukuh.

Mengenai Suku Kedua 2015 ECER, beliau berkata ECERDC berjaya menarik lapan pelaburan baharu dalam ECER berjumlah RM2.59 bilion, mewakili 21.6 peratus daripada sasaran pelaburan tahun ini.

"Pelaburan itu akan mewujudkan 4,832 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata taman perindustrian ECER seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China, Taman Automotif Pekan, Taman Halal Gambang dan Taman Halal Pasir Mas telah menarik komitmen pelaburan sebanyak RM24.7 bilion setakat ini, yang akan mewujudkan 14,809 peluang pekerjaan baharu.

"Pelaburan awam ternyata membuahkan hasil dan ini dicerminkan dalam pembangunan tenaga kerja tempatan dalam ECER melalui program seperti 'empower ECER', usahawan ECER, Program Peningkatan Tenaga Kerja ECER dan TERAJU@ECER," katanya.

Beliau berkata program pembangunan usahawan dan modal insan ECERDC telah memberi manfaat kepada lebih 48,000 rakyat tempatan dalam ECER dan mewujudkan lebih 9,000 usahawan, 80 peratus daripadanya adalah wanita.

Selepas mesyuarat tersebut, Najib turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen kerjasama ECERDC dengan empat buah universiti -- Universiti Malaysia Pahang (UMP), Swansea University dari United Kingdom, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu (Unisza) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Di bawah MoU itu, UMP dan Swansea University akan membuka laluan kepada kerjasama ahli akademik-industri dalam ECER, selain menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti.

Dalam kenyataan, ECERDC berkata Unisza, UMK dan UMP akan dilantik sebagai penyedia latihan untuk Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan 'empower ECER' di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"empower ECER dirangka khusus untuk graduan menganggur, golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal, dengan latihan kemahiran dan maklumat pembangunan keusahawanan, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran dan peluang mendapat pekerjaan," katanya.

ECERDC berkata skim empower ECER telah dilaksanakan di 20 buah lokasi dan memberi manfaat kepada lebih 33,400 pelajar luar bandar melalui Program Latihan Akademik dan lebih 11,600 golongan dewasa di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan.

Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen antara ECERDC dan lapan pelabur baharu.

Sumber: Bernama | 13 Ogos 2015

Operasi bas ekspres di Pudu Sentral berpindah ke TBS awal tahun depan - SPAD

Terminal Bersepadu Selatan yang terletak di Bandar Tasik Selatan di selatan bandar raya Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas ekspres jarak jauh yang beroperasi di Pudu Sentral akan dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) awal tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pemindahan itu bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di tengah-tengah ibu kota.

"Semua perkhidmatan bas ekspres ke negeri-negeri luar daripada Lembah Klang akan berpindah ke TBS.

"Bagaimanapun, perkhidmatan bas antara bandar dan di sekitar Lembah Klang akan terus beroperasi di Pudu Sentral," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka SPAD di sini, hari ini.

Perkhidmatan bas ekspres akan tamat hujung tahun ini di Pudu Sentral atau dahulunya dikenali sebagai Hentian Puduraya setelah 39 tahun menyediakan perkhidmatan itu kepada umum.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata pihaknya sedang merancang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua jenis bas di seluruh negara.

Katanya setakat ini hanya perkhidmatan bas Go KL sahaja yang dipasang dengan alat CCTV.

"Sekiranya semua jenis bas dipasang CCTV, kita tidak jamin kadar tambangnya akan naik dan ia bergantung kepada syarikat pengusaha bas itu. Hal ini kerana jika mereka mahukan perkhidmatan terbaik maka tambang itu wajar diselaraskan," katanya.

Syed Hamid juga menasihati penumpang teksi membuat aduan kepada pihaknya sekiranya terdapat mana-mana pemandu yang didapati memandu teksi secara haram.

"Sekiranya mereka meragui kad identiti pemandu teksi yang tertera, mereka boleh membuat aduan kepada pihak SPAD dengan aplikasi 'meter go' yang boleh dimuat turun di Apps Store atau Google Play," katanya.

Katanya, penumpang-penumpang juga boleh membuat aduan dari segi tingkah laku pemandu dan memberi komen tentang perkhidmatan teksi mereka melalui aplikasi berkenaan.

Sumber: Bernama | 13 Ogos 2015

Operasi bas ekspres di Pudu Sentral akan ditamatkan akhir tahun ini

Tempat menunggu bas ekspres di Jalan Hang Tuah yang akan ditutup bermula awal tahun depan.
PETALING JAYA: Belumpun selesai kemelut kadar tambang bas ekspres baharu, pengusaha perkhidmatan itu kini berdepan satu lagi tamparan hebat.

Kali ini operasi bas ekspres di Pudu Sentral atau dahulunya dikenali sebagai Hentian Puduraya yang beroperasi sejak 39 tahun akan ditamatkan hujung tahun ini.

Menurut sumber, semua penyewa di premis berkenaan difahamkan akan memulakan operasi mereka sepenuhnya di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) bermula awal tahun depan.

Menerusi notis pekeliling am yang dikeluarkan pengendali hentian tersebut, UDA Mall Sdn Bhd bertarikh 10 Julai lalu, semua pengusaha bas ekspres juga diarahkan untuk mengosongkan tapak depoh Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur dengan segera.

Ini berikutan tapak depoh tersebut tidak akan dijadikan kawasan 'bus holding' selepas ini.

Tapak depoh itu yang berdekatan dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum ini dijadikan lokasi menempatkan bas ekspres jarak jauh sebelum berlepas ke destinasi masing-masing.

"Adalah dimaklumkan operasi bas ekspres akan dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan - Bandar Tasik Selatan tidak lama lagi tertakluk kepada perancangan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Sehubungan itu, pihak pengurusan UDA Mall Sdn Bhd telah menerima arahan daripada Kementerian Kewangan Malaysia untuk mengosongkan depoh selewat-lewatnya pada atau sebelum 31 Disember 2015 kerana tapak depoh tersebut tidak akan dijadikan kawasan 'bus holding' area lagi selepas ini.

"Oleh yang demikian mohon tindakan pengosongan tapak daripada pihak tuan dengan kadar segera sebelum 31 Disember 2015 bagi membolehkan pihak pengurusan membuat penyerahan tapak," demikian menurut notis itu.

Pihak pengurusan UDA Mall Sdn Bhd turut mengepilkan bersama notis daripada Kemterian Kewangan Malaysia berhubung cadangan pengosongan 'bus holding area' dan lain-lain urusan di atas premis depoh tersebut.

Berdasarkan notis itu, cadangan tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat kementerian itu pada 11 Jun yang lalu.

"Sebagaimana tuan sedia maklum, Terminal Bersepadu Selatan - Bandar Tasik Selatan (TBS - BTS) yang menelan belanja RM570 juta telah mula beroperasi sepenuhnya pada awal 2011, TBS - BTS ini berfungsi sebagai hab bagi semua perkhidmatan bas ekspres ke selatan dan utara.

"Oleh itu, semua bas ekspres di Pudu Sentral wajar dipindahkan operasinya ke TBS - BTS. Sehubungan dengan itu, bus holding area dan lain-lain urusan di atas Lot 754 hendaklah dikosongkan secepat mungkin bagi membolehkan status vacamnt posession dikuatkuasakan pada 31 Disember 2015," demikian menurut notis tersebut.

Menurut notis itu lagi, pengusaha bas ekspres diharap menyegerakan pengosongan tapak tersebut dan proses pemindahan berkuatkuasa 15 Jun lalu sehingga hujung tahun ini.

Pada 1 Disember tahun lalu, SPAD mengumumkan perkhidmatan bas ekspres laluan Pantai Tumur yang melibatkan perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan di Hentian Bas Putra (HBP) dipindahkan ke TBS-BTS.

SPAD menjelaskan tindakan tersebut diambil berdasarkan laporan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal Ogos tahun lalu mengenai keadaan bangunan HBP yang tidak lagi selamat kerana kerosakan pada struktur bangunan yang lama.
 
Sumber: mStar Online | 13 Ogos 2015

22,320 jemaah haji ke Tanah Suci


Pengarang Berita Kanan 1 Utusan Malaysia, Rozaman Ismail pada Majlis Pelepasan Kumpulan Ketiga Petugas Haji Musim Haji 1436H di Kompleks TH, Kelana Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 penerbangan dari tujuh lapangan terbang di seluruh negara melibatkan 22,320 jemaah haji akan berlepas ke tanah suci Mekah sepanjang musim ibadah haji tahun ini.

Pengurus Besar Kanan (Haji) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bagi tahun ini, sebuah lagi stesen berlepas dibuka iaitu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan yang akan membawa 990 jemaah haji.

Menurut beliau, seperti tahun sebelumnya, Tabung Haji masih menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Airlines bagi membawa 22,320 jemaah haji.

“Kuota bagi jemaah haji tahun ini kekal seperti tahun lalu iaitu 22,320 berikutan kerja-kerja pembangunan Masjidil Haram yang masih berjalan, jadi kita terpaksa mengurangkan kuota sebanyak 20 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengucapkan selamat jalan kepada 84 jemaah haji termasuk 22 wakil media daripada kumpulan ketiga petugas haji di Kompleks Tabung Haji sebelum mereka berlepas dengan pesawat MAS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Setakat ini, seramai 211 petugas haji telah berlepas ke Mekah bermula 3 Ogos lalu sebagai persiapan menyambut 22,320 jemaah haji yang akan tiba bermula 16 Ogos ini bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Dalam pada itu, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji turut menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga kesihatan dan sentiasa berwaspada terutama dalam menghadapi cuaca panas yang dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celcius.

Katanya, mereka disaran sentiasa membawa payung atau mencari tempat berteduh semasa menunaikan ibadah haji bagi mengelak sebarang risiko yang boleh membawa kepada dehidrasi dan juga strok haba akibat suhu panas melampau di negara itu.

“Saya khuatir, sekiranya kesihatan jemaah haji terganggu, fokus mereka untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu akan terjejas,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 13 Ogos 2015