Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 30 Ogos 2018

Kerajaan terdahulu gagal imbangi pembangunan infrastruktur antara negeri - Sivarasa

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat gagal mengimbangi pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak serta beberapa negeri di Semenanjung termasuk Kedah dan Kelantan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa berkata kerajaan yang lepas turut mengabaikan beberapa aspek pembangunan infrastruktur termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Kita tak pertikaikan, memang pembangunan di beberapa negeri ini diabaikan. Ini ‘track record’ kerajaan lama. Masalah ini berlanjutan banyak tahun.

“Saya duduk di Dewan Rakyat di kerusi pembangkang selama 10 tahun, saya mendengar rintihan daripada anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak banyak kali, bukan setahun sahaja tetapi sejak 2008,” katanya ketika sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Zaiedi Suhaili berkenaan projek pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.

Sivarasa berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited memastikan keseimbangan pembangunan infrastruktur di negeri-negeri terlibat dapat diperbetulkan demi kebaikan rakyat.

Kita akan memperbetulkan dan mengimbangkan semula pembangunan ini tetapi isu prasarana ini tak boleh diperbetulkan dalam masa satu dua bulan atau setahun dua, ia akan mengambil masa. Segala prosedur yang telah dijalankan dahulu akan kita kaji semula,” katanya.

Sivarasa berkata daripada 38 projek bekalan air di Sarawak yang telah diluluskan sejak 2016, hanya lima projek sedang dilaksanakan. 

“Projek ini melibatkan perbelanjaan RM412 juta yang mana bukan hanya telah diluluskan, tetapi telah disalurkan. Tetapi hanya lima projek yang dalam peringkat pelaksanaan. Kita akan kaji apa masalah yang dihadapi sebab ia dijalankan ketika kerajaan dahulu,” katanya.

Sumber: Bernama | 29 Ogos 2018

Selasa, 28 Ogos 2018

Pengayuh beca kudung tangan bersemangat raikan Hari Kebangsaan

KOTA BHARU: Meskipun hanya mempunyai sebelah tangan namun kecacatan diri langsung tidak menghalang seorang pengayuh beca dari Kampung Perol di sini, menyambut kehadiran sambutan Bulan Kebangsaan bersama rakan-rakannya.

Abdul Rahman Konok, 77, yang kudung tangan kanannya akibat barah sejak remaja tidak ketinggalan menghiasi becanya dengan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, Jumaat ini.

Abdul Rahman berkata beliau akan berkumpul bersama beberapa rakannya yang juga pengayuh beca pada hari berkenaan bagi menyambut Hari Kebangsaan.

“Walaupun bilangan kami tidak ramai dan rata-ratanya sudah berusia namun kami tetap bersemangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara.

"Biasanya kami akan berkumpul di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan beberapa lokasi lain sekitar Kota Bharu pada hari berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama berhampiran Pasar Besar Siti Khadijah di sini, hari ini.

Ketika ditemui, Abdul Rahman bersama dua rakan karibnya, Zainal Abidin Busu, 75, dan Dollah Manaf, 65, sedang menghiasi beca dengan Jalur Gemilang.

Ketika ditanya mengenai kehidupannya, Abdul Rahman berkata kekurangan diri tidak menjadi penghalang kepadanya untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Beliau berkata walaupun industri berkenaan semakin malap ketika ini kerana persaingan daripada pengangkutan awam lain namun ia bukan menjadi penyebab kepadanya untuk tidak berusaha.

“Setiap hari, saya akan mengayuh beca sejauh kira-kira 25 kilometer pergi dan balik dari rumah di Kampung Perok ke Kota Bharu untuk mencari rezeki.

“Dahulu, pendapatan sebagai pengayuh beca boleh dikatakan agak lumayan kerana penumpang ramai namun kini saya beralih untuk mengangkut barangan sahaja,” katanya.

Katanya setiap hari beliau akan keluar rumah pada pukul 10.30 pagi dan hanya pulang ke rumah pada pukul 6 petang.

Sumber: Bernama |27 Ogos 2018

Yuran konsultasi lebih mahal di klinik swasta tidak lama lagi

PUTRAJAYA: Orang ramai boleh menjangka yuran konsultasi lebih mahal dicaj oleh doktor di klinik swasta tidak lama lagi berikutan caj pengamal am antara RM10 dan RM35 akan dinaikkan kepada antara RM35 dan RM125.

Kenaikan itu dipersetujui pada ‘Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am’ yang berlangsung di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menjadi moderator pada sesi itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata semakan caj itu memang sudah tiba masanya berikutan kali terakhir dilaksanakan pada 2006.

“Lagi rumit penyakit dihidapi seseorang itu, lebih tinggi caj konsultasi akan dikenakan. Harga siling bagi caj konsultasi adalah RM125,” katanya.

Azman berkata sesi ‘town hall’ atau dialog hari ini adalah sesi terakhir sebelum beliau menyerahkan kertas cadangan semakan caj itu kepada Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad.

“Menteri Kesihatan kemudian akan menyerahkan cadangan semakan caj pengamal am itu ke Jabatan Peguam Negara dan, jika semuanya berjalan lancar, ia akan diserahkan kepada Kabinet untuk disahkan,” katanya.

Azman tidak menolak kemungkinan caj baharu konsultasi itu akan dilaksanakan pada awal tahun depan.

Beliau berkata kementerian juga telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai kumpulan berhubung perkara itu.

“Dan, hari ini, kami menghimpunkan semua pihak berkepentingan, bukan sahaja doktor yang mengusahakan klinik sendiri tetapi juga badan bukan kerajaan dan kumpulan pengguna. Ini untuk memastikan semakan caj pengamal am ini dilakukan secara adil,” katanya.

Sumber: Bernama | 27 Ogos 2018

Najib anggap isu tembok di MCKIP terjawab

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mengenai tembok di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dapat menangkis satu lagi tomahan yang dilemparkan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya, beliau ada membaca kenyataan Fuziah tiga hari lalu yang dapat mengesahkan bahawa tembok itu hanya mengelilingi kilang Alliance Steel sahaja dan bukan seluruh taman perindustrian sebagaimana tuduhan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas Najib, ini kerana kilang besi (Alliance Steel) bukan tempat selamat buat orang awam keluar masuk dengan mudah dan oleh itu bukan sesuatu yang mengejutkan jika kilang itu membina tembok sebagai langkah pengawalan dan keselamatan.

“Ini dah diperjelaskan sebelum ini tetapi tenggelam dengan fitnah disebar Pakatan Harapan (PH). Fuziah memberitahu wartawan bahawa beliau akan menjelaskan kepada Dr. Mahathir tidak lama lagi.

“Beliau juga mengakui bahawa ramai dari kawasan Parlimennya (Kuantan) menghargai peluang pekerjaan di MCKIP dan tidak mahu pekerjaan mereka terjejas.

“Alhamdulillah, satu lagi fitnah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 terhadap kerajaan BN dulu telah diperbetulkan. Yang baik dituduh sebagai buruk,” kata Najib.

Dalam laporan sebelum ini, Fuziah berkata, PH sebelum ini tidak mengetahui berkenaan tembok tersebut kerana dihalang memasuki kawasan berkenaan sekali gus menyukarkan mereka mengetahui apa yang berlaku di sebalik tembok tersebut.

Sumber: Utusan Online | 27 Ogos 2018

Isnin, 27 Ogos 2018

PPR Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan beri jaminan proses permohonan telus

Suasana PPR Kota Bharu yang terletak di Jalan Kelochor, Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan yang diberi tanggungjawab menapis 100 peratus permohonan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Jalan Kelochor di sini memberi jaminan akan memastikan proses tersebut dibuat secara telus.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, unsur-unsur ‘pintu belakang’ dan pemilihan berdasarkan aspek ‘kepartian’ tidak sepatutnya wujud memandangkan PPR di­laksanakan untuk golongan sa­sar, iaitu rakyat berpendapatan bawah RM3,000.

“Amalan sebelum ini, kita bersetuju Kerajaan Pusat pilih 50 peratus daripada pemohon, manakala baki 50 peratus lagi kerajaan negeri yang pilih. Tetapi sebab kerajaan Pusat yang baharu ini kesan ada ketirisan berlaku, permohonan lama dibatalkan.

“Bagi saya ini satu usaha baik kerana kita perlu pastikan biar orang yang betul-betul layak dapat rumah tersebut, tanpa mengira apa parti politiknya. Soal parti sudah jadi kedua, yang utama ialah kebajikan rakyat.

“Kita akan pastikan proses dibuat betul-betul telus ikut kriteria ditetapkan tanpa ada unsur pintu belakang,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan peng­guguran senarai hampir 700 pemohon PPR Kota Bharu kerana mendapati permohonan dibuat tidak telus mengikut syarat yang ditetapkan seperti kepada golo­ngan pendapatan isi rumah bawah RM3,000.

Sehubungan itu, pihak kementerian membuka balik permohonan PPR Kota Bharu kepada golongan berkelayakan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati orang ramai menyerbu Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di sini sejak awal pagi dan sanggup berbaris panjang semata-mata mahu membeli borang permohonan PPR Kota Bharu.

Keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa me­ngehadkan setiap individu hanya dibenarkan membeli satu borang sahaja, namun borang berkenaan dikatakan habis menjelang te­ngah hari menyebabkan ada yang terpaksa pulang hampa.

Penolong Setiausaha Unit Penguat Kuasa dan Perumahan, Mohd. Faiz Azmil Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menyangka kehadiran sebegitu ramai pembeli dan setakat ini, kira-kira 2,000 borang permohonan telah habis dijual.

“Pihak kami tidak sempat mencetak borang baharu dan meminta orang ramai yang berminat datang semula keesokan hari.

“Permohonan khusus untuk PPR Kota Bharu ini dibuka sehingga hujung bulan. Selepas itu, pemilihan akan dibuat mengikut kriteria ditetapkan dan keputusan dijangka keluar pada hujung September atau awal Oktober,” katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | 26 Ogos 2018

Ahad, 26 Ogos 2018

Orang ramai serbu kaunter borang PPR Kota Bharu

Orang ramai berbaris panjang semata-mata mahu membeli borang permohon an PPR Kota Bharu yang dibuka semula di Pejabat SUK Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Selepas 675 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Jalan Kelochor, di sini dibuka semula, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) diserbu orang ramai yang ingin membeli borang permohonan kediaman tersebut.

Tinjauan Utusan Online mendapati, ratusan orang ramai berpusu-pusu masuk ke Pejabat SUK di Kompleks Kota Darulnaim, di sini sejak awal pagi dan sanggup berbaris panjang semata-mata mahu membeli borang tersebut di kaunter Unit Pengurusan Perumahan.

Keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mengehadkan setiap individu hanya dibenarkan membeli satu borang sahaja.

Bagaimanapun, borang berkenaan dikatakan habis sebelum tengah hari menyebabkan ada yang terpaksa pulang hampa.

Penolong Setiausaha Unit Penguat Kuasa dan Perumahan, Mohd. Faiz Azmil Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menyangka kehadiran sebegitu ramai pembeli dan setakat ini, kira-kira 2,000 borang permohonan telah habis dijual.

“Pihak kami tidak sempat mencetak borang baharu dan meminta orang ramai yang berminat datang semula keesokan hari.

Permohonan khusus untuk PPR Kota Bharu ini dibuka sehingga hujung bulan. Selepas itu, pemilihan akan dibuat mengikut kriteria ditetapkan dan keputusan dijangka keluar pada hujung September atau awal Oktober,” katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan pengguguran senarai hampir 700 pemohon PPR Kota Bharu kerana mendapati permohonan dibuat tidak telus mengikut syarat yang ditetapkan seperti kepada golongan pendapatan isi rumah bawah RM3,000.

Oleh sebab itu, pihak kementerian membuka balik permohonan semula PPR Kota Bharu kepada golongan berkelayakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab menapis 100 peratus permohonan bagi PPR Kota Bharu memberi jaminan akan memastikan proses tersebut dibuat secara telus tanpa unsur ‘pintu belakang’.

“Amalan sebelum ini, kita bersetuju Kerajaan Pusat pilih 50 peratus, manakala baki 50 peratus lagi kerajaan negeri. Tetapi sebab ada ketirisan berlaku di pihak kerajaan Pusat yang terdahulu, permohonan lama dibatalkan.

“Ini satu usaha yang baik kerana kita nak pastikan biar orang yang betul-betul layak dapat rumah tersebut, tanpa mengira apa parti politiknya. Kita akan pastikan perkara ini dibuat betul-betul telus,” katanya. 

Sumber: Utusan Online | 26 Ogos 2018

Sabtu, 25 Ogos 2018

Hampir 700 permohonan PPR Kota Bharu dibatalkan

KOTA BHARU: Hampir 700 daripada 1,000 permohonan untuk menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu dibatalkan kerana pemilihannya tidak dilakukan dengan telus.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata justeru, kementeriannya membuka permohonan baharu hingga 13 Sept depan bagi penempatan di PPR terbabit.

"Setakat ini, hanya 325 pemohon yang layak menduduki kerana penempatan semula kawasan setinggan manakala baki selebihnya kita terpaksa gugurkan dan membuka kembali permohonan.

"Ini kerana permohonan sebelum ini dilakukan dengan cara yang tidak telus dan saya harapkan kumpulan pertama akan menduduk PPR terbabit pada 1 Okt ini," katanya yang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan membatalkan mana-mana permohonan yang dikesan tidak mengikut prosedur ditetapkan di seluruh negara.

"Kita nak berlaku adil kepada rakyat yang benar-benar memerlukan rumah. Tapisan selepas ini lebih telus dan rumah akan diberikan kepada mereka yang layak," katanya.

Sementara itu, beliau menyeru agar anggota parti pelbagai peringkat untuk mengamalkan politik matang terutama sepanjang pemilihan berlangsung.

"Jadi kalau ada apa-apa yang membawa kepada perpecahan (sepanjang tempoh berkempen) saya harap anggota parti boleh bersikap matang seperti yang saya cuba terapkan dalam parti," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Ogos 2018

Isu air Kelantan akan dibawa ke Parlimen

Che Abdullah (berdiri; dua, kanan) meraikan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidiladha di kediamannya di Taman Mimi, Wakaf Bharu.
TUMPAT: Isu gangguan bekalan air di Kelantan akan dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan di peringkat nasional.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia mungkin satu cara untuk menyelesaikan kemelut yang membelenggu rakyat Kelantan sekian lama.

Menurutnya, faktor terbesar yang menyebabkan isu air di Kelantan adalah disebabkan oleh kekangan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

"Kelantan telah ditinggalkan terlalu jauh dari infrastruktur air oleh kerajaan sebelum ini, sudah tiba masanya kerajaan baharu ambil kira masalah tersebut untuk selesaikannya.

"Saya akan bawa isu ini untuk dibincangkan dalam persidangan belanjawan di Parlimen pada Oktober nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidiladha di kediamannya di Taman Mimi, Wakaf Bharu, semalam.

Beberapa hari kebelakangan ini, isu gangguan air di Tumpat menjadi tular di media sosial apabila rata-rata kampung di daerah itu terputus bekalan air.

Sehinggakan sambutan Aidiladha hambar kerana tiada bekalan air bersih, malah ada penduduk terpaksa mengangkut air dan bersengkang mata menadah air jam 2 pagi.

Che Abdullah berkata, walaupun menghadapi kekangan, kualiti air yang dikendalikan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) semakin baik dari semasa ke semasa.

"Kerajaan Kelantan sentiasa cuba selesaikan masalah air dengan kemampuan yang ada.

"Diharapkan kerajaan baru dapat memberi peruntukan munasabah untuk membantu selesaikan masalah air ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Ogos 2018