KOTA BHARU: Suatu ketika dahulu GiatMara dipandang rendah oleh banyak pihak namun kini ia muncul sebagai sebuah institusi kemahiran pilihan termasuk golongan lepasan ijazah dan diploma.
Penerima Anugerah Eksekutif pada Majlis Graduasi 2016 GiatMara negeri, Nur Ibtisam Rozman, 25, berkata, dia tidak malu memohon masuk belajar kemahiran jahitan di GiatMara Kubang Kerian di sini biarpun sudah bergelar seorang graduan universiti.
Nur Ibtisam yang berasal dari Pasir Mas merupakan pemilik Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Fesyen dan Tekstil) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) setelah bergraduasi pada 2015.
“Saya bekerja di butik selepas tamat pengajian universiti tetapi merasakan masih lagi perlu menambah ilmu untuk jadi pereka fesyen terbaik.
“Saya belajar di GiatMara dari Januari hingga Jun tahun lalu kerana mahu belajar perkara paling asas dalam jahitan yang akan menjadi nilai tambah kepada kerjaya saya.
“Kini, saya berjaya membuka kedai jahitan bersebelahan kedai pakaian ayah saya di Lundang untuk membantunya mengembangkan perniagaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Graduasi 2016 Giat Mara negeri di sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai 556 graduan daripada 1,384 pelatih di 15 cawangan Giat Mara negeri ini yang berjaya menamatkan pengajian tahun lalu menerima sijil profesional masing-masing daripada Pengerusi GiatMara Malaysia, Datuk Azian Osman.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Othman dan Pengarah GiatMara negeri, Adek Awang Semail.
Pada majlis itu juga, 22 graduan terbaik yang memperoleh Purata Nilai Kompetensi GiatMara (GCPA) 3.7 ke atas diikiraf sebagai penerima Anugerah Eksekutif.
Sementara itu, seorang lagi graduan terbaik, Nur Izzati Muhammad, 24, pula berkata, sebaik sahaja menamatkan persekolahan, dia sememangnya berhasrat untuk memasuki GiatMara namun tidak berpeluang.
Katanya, dia kemudian menyambung pengajian dalam bidang Diploma Kesenian Kulinari di sebuah kolej di tempat asalnya di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke negeri ini setelah berkahwin.
“Saya belajar Konfeksionari dan Bakeri di GiatMara Kubang Kerian tahun lalu dan sudah berjaya dapat tempahan semasa masih dalam kursus lagi.
“Pada musim raya tahun lalu saya mendapat untung bersih RM6,000 hasil tempahan biskut raya,” katanya.
Biarpun masih berpantang selepas melahirkan anak kedua pada penghujung April lalu, Nur Izzati tetap hadir pada majlis graduasi tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Kampus | 23 Mei 2017 | Terbitan 24 Mei 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan