Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my
utusankelantan@utusan.com.my
![]()  | 
| Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Kota Bharu, baru-baru ini. | 
 KOTA BHARU, 29 Julai: Sememangnya Ramadhan di 
Kelantan pada setiap tahun disambut dengan cukup meriah kerana bulan 
penuh rahmat itu amat dinanti-nantikan seluruh penduduk di negeri ini.
Kemeriahan sambutannya yang penuh dengan keunikan dikatakan tidak terdapat di negeri lain. Mana tidaknya sepanjang bulan tersebut, pelbagai aktiviti diatur bagi
 meraikan kedatangan bulan penuh barakah itu bermula daripada hari 
pertama Ramadhan sehingga ke penghujungnya. 
Selain beribadah, tidak ketinggalan turut memeriahkan sambutannya adalah kerana terdapatnya hidangan popular, iaitu colek. Sepanjang bulan berkenaan, bandar-bandar di sekitar negeri ini pastinya bertukar wajah. Kemunculan colek menyaksikan sesebuah kawasan yang selalunya sunyi 
kembali 'hidup' dengan kemeriahan orang ramai yang terdiri daripada 
pelbagai lapisan masyarakat dan kaum sama-sama menikmati hidangan 
popular itu.
Salah sebuah kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul 
bersama sahabat handai dan kaum keluarga menikmati hidangan colek itu 
adalah di Cherang di sini. Landskap biasa kawasan berkenaan yang lengang terutama pada waktu 
malam pada hari-hari kebiasaannya berubah wajah bertukar penuh 
kemeriahan sepanjang bulan Ramadhan. 
Selain itu, kemeriahan bulan Ramadhan di negeri itu sudah pasti dengan
 kewujudan bazar-bazar yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka 
istimewa yang lazimnya tidak terdapat di negeri-negeri lain. Kewujudan bazar-bazar tersebut diibaratkan sebagai pesta makanan bagi rakyat Kelantan.
Antara yang menjadi lokasi tumpuan di Kelantan yang menyediakan 1,001
 juadah itu seperti di bazar Ramadan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, 
pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Pekan Ketereh, Pekan Kok Lanas, 
Melor, Pekan Jelawat, Pekan Rantau Panjang, Mini Stadium Pasir Mas dan 
di Wakaf Bharu.
Sementara itu, pada bulan Ramadhan, sememangnya tiada yang lebih 
penting bagi umat Islam selain daripada melipat-gandakan amal ibadat 
pada bulan rahmat ini. Tidak hairanlah di mana-mana sahaja, masjid menjadi tumpuan tidak 
kira lelaki atau wanita, kecil atau besar yang kesemuanya membawa tujuan
 yang sama iaitu datang untuk beribadat.
Antara masjid khususnya di Kota Bharu yang sentiasa menjadi tumpuan 
umat Islam bagi menunaikan ibadah adalah Masjid Muhammadi di sini dan 
Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. Dalam pada itu, satu lagi keistimewaan pada bulan tersebut di 
Kelantan adalah dengan kewujudan Qaryah Ramadan yang diadakan di 
pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Kewujudan Qaryah Ramadhan sangat dinanti-nantikan umat Islam di negeri
 ini kerana di situlah mereka berpeluang menunaikan solat sunat tarawih 
berimamkan imam dari Asia Barat yang didatangkan kerajaan negeri.
Di pekarangan stadium berkenaan didirikan khemah bagi membolehkan 
pelbagai program keagamaan diadakan, bermula selepas berbuka puasa 
sehinggalah awal pagi. Selain tarawih, tazkirah Ramadhan dan ceramah keagamaan oleh 
cendekiawan Islam, beberapa program turut dianjurkan untuk menghidupkan 
suasana malam seperti tadarus dan khatam al-Quran termasuk secara 
beramai-ramai.
Aktiviti keagamaan seperti itu ternyata mendapat sambutan ramai 
dengan kehadiran lebih 3,000 jemaah dalam satu-satu masa untuk 
bertarawih dan menjelang tengah malam, masih kelihatan orang berada di 
dalam khemah yang disediakan untuk mendengar tazkirah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan