![]()  | 
| Daud Yusoff melayan pelanggan yang singgah membeli air nira di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini. | 
 KOTA BHARU, 24 Julai: Nira kelapa atau lebih 
popular dengan panggilan 'tuak' dalam kalangan masyarakat negeri ini 
merupakan sejenis minuman yang dihasilkan daripada keratan mayang 
kelapa. Tuak kelapa merupakan sejenis minuman yang cukup popular dalam kalangan masyarakat negeri ini sebagai penghilang dahaga.
Maka, tidak hairanlah minuman yang mempunyai rasa enak ini sering 
menjadi pilihan utama masyarakat Islam di negeri ini sebagai sajian 
ketika berbuka puasa. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, minuman tradisi ini pasti mendapat
 permintaan tinggi daripada umat Islam untuk dijadikan minuman segar 
sewaktu berbuka puasa.
Selain rasanya yang enak, minuman berkenaan dipercayai dapat 
menghilangkan keletihan dan menyejukkan badan bagi meredakan penyakit 
seperti demam panas. Pengusaha minuman berkenaan, Daud Yusoff, 58, atau lebih mesra
 dengan panggilan Pok Od berkata, kebiasaannya nira yang diambil 
daripada mayang kelapa akan dijadikan sebagai manisan atau gula nira 
kelapa.
Menurutnya, situasi tersebut berubah setiap kali tibanya bulan 
Ramadan, apabila nira yang diperoleh diproses untuk dijadikan sebagai 
minuman kerana mendapat permintaan pada bulan puasa. Katanya, setiap hari dia mampu menghasilkan 10 liter minuman tersebut
 daripada 13 batang pokok kelapa yang dipajak daripada penduduk kampung.
"Saya memungut nira daripada mayang kelapa ini dua kali sehari iaitu 
pada pagi dan petang dengan setiap tuaian menghasilkan kira-kira lima 
liter.
"Bagaimanapun, cuaca turut memainkan peranan dalam jumlah pengeluaran
 nira. Jika cuaca hujan dan lembap, hasil nira meningkat, manakala hasil
 akan berkurangan apabila cuaca panas," katanya ketika ditemui di 
rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa di sini baru-baru
 ini.
Tambahnya, permintaan yang tinggi sepanjang Ramadan menyebabkan dia 
memilih untuk memberikan tumpuan kepada penghasilan nira berbanding 
aktiviti membuat manisan. Pok Odd memberitahu, sepanjang Ramadan dia mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan air nira yang diusahakannya itu.
"Dulu saya bekerja sebagai tukang rumah, namun disebabkan pendapatan 
tidak menentu, saya mengambil keputusan dan cuba menghasilkan nira bagi 
digunakan membuat manisan. 
"Namun disebabkan permintaan tinggi pada bulan Ramadan, saya 
mengambil keputusan untuk menghasilkan minuman berkenaan (air nira) 
dengan lebih serius.
"Alhamdulillah pendapatan yang saya peroleh mampu digunakan untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga," ujarnya. Tambah beliau, bagi menambah keenakan air nira yang dihasilkannya, 
dia menggunakan aroma kayu cengal yang diletakkan di dalam bekas plastik
 ketika proses tuaian dilakukan.
Pok Odd berkata, air nira yang dihasilkannya dijual secara borong dan
 runcit yang dimasukkan ke dalam botol plastik mengikut kehendak 
pelanggan. Menurut Pok Odd lagi, meskipun usianya telah mencecah 58 tahun, namun
 dia tetap bersemangat meneruskan pekerjaan menghasilkan air nira bagi 
meraih rezeki untuk menyara keluarga. 
Sementara itu, seorang penggemar minuman berkenaan, Che Rosli Che Ali, 40, berkata, setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia akan menjadikan air nira sebagai minuman utama ketika berbuka puasa. Che Rosli berpendapat, minuman berkenaan mampu membantu memulihkan 
kesihatan dalaman badan seperti sakit urat dan membekalkan tenaga 
setelah seharian berpuasa.
Kata lelaki itu, dia menggemari minuman itu disebabkan aroma dan rasanya yang enak. "Air nira cukup lazat diminum ketika sejuk. Rasanya sedikit masam 
bercampur manis mampu memberikan kepuasan kepada para penggemarnya.
"Tidak hairanlah minuman ini mendapat permintaan yang tinggi dalam 
kalangan para penggemarnya yang tahu akan keenakan rasa minuman ini," 
jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 25 Julai 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan