KOTA BHARU, 22 Julai: Kegiatan penebangan balak dan 
pengorekan pasir yang berterusan di Sungai Kelantan dikenal pasti 
sebagai punca utama sungai berkenaan cetek dan berlaku mendapan sehingga
 menyukarkan kerja pengaliran air ke sawah padi, di negeri ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri 
Yaakob berkata, lebih merisaukan ia telah memberikan impak pengeluaran 
padi yang semakin merosot setiap tahun, sekali gus merugikan petani.
"Ini bukan sesuatu yang direka bagi memburukkan kerajaan Kelantan dan
 jika kerajaan negeri itu tidak bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan 
untuk menanganinya, masalah ini tidak akan selesai dan rakyat Kelantan 
terus menjadi mangsa.
"Saya telah diberi taklimat setiap tahun kita mengorek lumpur di 
hadapan rumah pam membabitkan beratus lori dan saya minta kerajaan 
negeri perlu bersama-sama untuk bantu rakyatnya sendiri dan jangan harap
 kerajaan Persekutuan sahaja untuk melakukannya," katanya kepada 
pemberita selepas mendengar taklimat pertanian dan berbuka puasa di 
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini, petang Ahad.
Turut hadir Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad. 
Ismail Sabri berkata jumlah pengeluaran padi yang diseliakan Kada 
kini merosot daripada 205,000 tan metrik kepada 192,000 tan metrik dan 
memberi kesan bukan sahaja kepada petani, malah kepada produktiviti 
negeri dan negara.
"Di Parlimen saya sebut minta sokongan kerajaan negeri untuk membantu
 rakyatnya sendiri. Jangan harapkan kerajaan Persekutuan sahaja.
"Betul kita bantu bina rumah pam dan berbagai lagi tapi jika kerajaan
 negeri tidak bantu seperti atasi penebangan balak dan pengorekan pasir 
yang berterusan, ia tidak akan dapat selesaikan masalah ini. Kerajaan 
Persekutuan telah membelanjakan puluhan juta untuk membantu," katanya. Beliau menegaskan kementeriannya tetap akan berusaha mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan. 
Pada Ahad, lebih 3,000 petani di kawasan Kada dilaporkan kehilangan 
punca pendapatan berjumlah kira-kira RM60 juta apabila 10,000 dari 
jumlah 18,900 hektar sawah padi mereka tidak dapat diusahakan akibat 
kekeringan sumber air dari Sungai Kelantan. Mereka terdiri daripada petani di tiga Jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu. - BERNAMA
Sumber: MStar Online | 22 Julai 2013 |  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan