Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 21 Julai 2013

Kelantan perhalusi fatwa kekang ajaran syiah


KOTA BHARU, 20 Julai: Pejabat Mufti Kelantan dalam proses membuat penambahbaikan terhadap fatwa berkaitan ajaran syiah di negeri itu bagi mengekang penyebarannya dalam masyarakat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) berkata, penambahbaikan itu perlu dilakukan bagi membolehkan fatwa yang dikeluarkan kelak tidak menimbulkan sebarang persoalan dan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengeluarkan fatwa tentang ajaran syiah di negeri itu, namun terdapat beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan bagi mengukuhkan lagi fatwa yang dibuat.

"Dulu kita dah gazetkan fatwa tentang ajaran syiah di negeri ini, tetapi hendak memperkemaskan fatwa itu (bila dibawa di mahkamah), maka penambahbaikan dilakukan. Apabila siap, fatwa itu akan digazetkan dalam waktu terdekat.

"Masalah sama pernah berlaku ketika kita mengeluarkan fatwa mengharamkan pergerakan Arqam yang mana terdapat ruang dan perlu diperkemaskan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Kedah dilaporkan akan menguarkan sekatan penyebaran syiah dalam usaha membendung penularan ajaran itu dalam kalangan penduduk di negeri berkenaan.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, kewujudan fatwa tersebut juga akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan demi menyelamatkan akidah umat Islam.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, pihak berkuasa di negeri itu sentiasa memantau pergerakan ajaran syiah yang dilaporkan bergerak secara 'low profile' termasuk membuat pendaftaran gerakan mereka di mahkamah.

"Apa tujuan mereka buat pendaftaran di mahkamah tidak dapat dipastikan, namun secara umumnya, ajaran syiah di Kelantan agak terkawal," katanya.

Mohamad Shukri menegaskan, berdasarkan undang-undang tubuh negeri Kelantan, ajaran selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak dibenarkan diamalkan di negeri itu.

Beliau berkata, antara ajaran syiah yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mencerca secara terbuka para sahabat Nabi Muhammad SAW, kecuali Saidina Ali.

"Justeru, ajaran ini tidak boleh dibiarkan bagi mengelak pertembungan serta pertelagahan antara syiah dan sunni sebagaimana berlaku di sesetengah negara Islam," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Terbitan 21 Julai 2013 | 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan