Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 21 Julai 2013

Rokok juga patut digazet haram

Oleh Robiatuladawiyah Abd Rashid


KUALA LUMPUR, 21 Julai: Kerajaan sepatutnya turut mengazetkan rokok sebagai haram kerana kandungannya turut berbahaya seperti shisha, kata Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman (gambar).

Beliau berkata, rokok mempunyai lebih 4000 bahan kimia yang mana 40 daripadanya adalah penyebab kanser.

“Sememangnya ramai mengetahui bahawa rokok penyebab banyak penyakit termasuk mati pucuk. Semestinya juga rokok diharamkan kerana mendatangkan mudarat yang jelas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Maamor,  muzakarah pada tahun 1995 sudah mengharamkan rokok, bagaimanapun tidak mendapat sambutan daripada negeri-negeri apabila tidak digazetkan. “Keputusan itu perlu digazetkan bagi memudahkan tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat jangan cepat buruk sangka kerana segala keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan setelah mengambil kira banyak aspek.

“Bukan senang untuk buat keputusan, aspek kesihatan, perubatan, kajian ekonomi dan sosial dilakukan di samping sejajar dengan panduan al-Sunnah.

“Justeru, mereka perlu berazam untuk berhenti merokok kerana bukan sahaja membahayakan diri tetapi orang sekeliling dan juga alam sekitar,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 28 Jun lalu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok. Sebelum ini, kerajaan Melaka jadi negeri pertama mengharamkan aktiviti tersebut pada 2009. 

Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lalu, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha.

Sumber: Sinar Harian | 21 Julai 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan