Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my
utusankelantan@utusan.com.my
![]()  | 
| MAKHTAR Mustapha (dua dari kiri) mengagihkan bubur lambuk pada Majlis Bersama Peniaga dan Pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. | 
KOTA BHARU, 28 Julai: Projek tebatan banjir 
lembangan Sungai Kelantan berharga RM266 juta yang dilaksanakan oleh 
Kerajaan Pusat kini siap sepenuhnya, sekali gus bakal menyelamatkan 
bandar ini daripada terus dilanda banjir akibat limpahan air sungai 
ketika musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk 
Makhtar Mustapha berkata, projek berkenaan yang mula dibina pada 2008 
kini telah siap seperti yang dijadualkan. Beliau berkata, projek yang dianggap istimewa itu merupakan projek 
terbesar setakat ini di negeri ini dan akan memberi manfaat besar kepada
 rakyat Kelantan khususnya di Kota Bharu yang sering kali terdedah 
dengan banjir setiap kali musim tengkujuh.
"Dengan siapnya tebatan banjir di Sungai Kelantan ini, banjir di 
kawasan Kota Bharu akan dapat dielakkan," katanya kepada pemberita 
selepas mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk 
Seri Mustapa Mohamed dalam Majlis Bersama Peniaga dan Pengunjung Bazar 
Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.
Projek berkenaan yang mula dibina pada 2008 melibatkan pembinaan 
benteng sepanjang hampir 3.5 kilometer bermula dari Kampung Penambang 
hingga ke belakang Istana Kota Lama. Langkah itu turut merangkumi komponen utama seperti benteng sepanjang
 satu kilometer di Kampung Penambang, dinding penahan banjir di Kampung 
China sehingga ke belakang Istana Kota Lama sejauh 2.24 kilometer, 
tambahan dinding konkrit, pintu air dan pembinaan 26 sistem saliran.
Projek tersebut dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur tebatan 
banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat ekoran limpahan air Sungai 
Kelantan di bandar Kota Bharu. Tambah Makhtar, Rakyat Kelantan perlu berterima kasih kepada Kerajaan
 Pusat yang berbelanja besar untuk membawa kemajuan di negeri ini demi 
kesejahteraan mereka.
"Pembinaan projek ini membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa menepati janji dalam membawa kemajuan di negeri ini," katanya. Sementara itu dalam perkembangan lain, inisiatif kerajaan menubuhkan 
Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kelantan terus menunjukkan kesan
 yang amat positif apabila nilai jualan di pusat tersebut kini mampu 
mencecah RM20 juta sebulan.
Katanya, pencapaian membanggakan itu sekali gus menunjukkan RTC 
Kelantan merupakan pusat yang menjana nilai jualan tertinggi di negara 
ini mengatasi nilai jualan di RTC di Gopeng, Perak.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 29 Julai 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan