Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 19 Julai 2013

Orang ramai sanggup beratur panjang dapatkan 'jala mas' di Kg. Sungai Keladi, Kota Bharu

KOTA BHARU, 18 Julai: Kuih-muih tradisional Kelantan terkenal dengan rasa yang manis seperti jala mas, puteri mandi dan buah tanjong dan menjadi kegemaran masyarakat negeri itu, sehingga sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.
Jala mas, antara kuih tradisional Kelantan yang menjadi perhatian sebagai juadah berbuka ketika Ramadan, diperbuat daripada air gula dan kuning telur.

Seorang peniaga kuih-muih tradisional Kelantan Fatimah Mohamad, 49, berkata jala mas merupakan antara pembuka selera yang mendapat sambutan setiap kali Ramadan.

"Setiap hari, kami membuat tiga dulang dengan setiap dulang mengandungi kira-kira 1,000 keping jala mas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Keladi di sini, Khamis.

Beliau yang turut dibantu suami, Mohd Asri Ibrahim, 52, serta tujuh orang pekerja berkata mereka bangun menyiapkan kuih tersebut seawal tiga pagi setiap hari, Ramadan ini.

Fatimah berkata jala mas tersebut dijual pada harga 50 sen sekeping dan banyak menerima tempahan daripada orang ramai.

"Mereka akan tempah awal-awal untuk elakkan kehabisan sebab biasanya pukul 12 tengahari semua kuih telah habis dijual," katanya yang membuat kuih tradisional itu, sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata resipi membuat jala mas dipelajari daripada ibunya dan merupakan resipi turun-temurun keluarganya.

"Saya belajar semua ni daripada orang tua saya dan daripada situ mula timbul minat untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan keluarga apabila bulan Ramadan," katanya.

Ibu kepada lima anak itu turut membuat kuih-muih tradisional lain seperti kuih seri muka dan akok.

Sumber: Bernama | 18 Julai 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan