Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my
utusankelantan@utusan.com.my
![]()  | 
| DARI kiri, Che Membunga Mamat, Fatimah Jaafar dan Aminah Yusuf membaca al-Quran di Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. - Utusan/Asma Hanim Mahmood | 
KOTA BHARU, 25 Julai: Ketibaan Ramadan, bulan 
penuh keberkatan yang melimpah dengan rahmat sangat dinanti sesiapa yang
 'merinduinya' kerana setiap amalan sudah dijanjikan pahala berganda.
Selama sebulan, setiap pintu untuk membuat kebaikan dan amal soleh 
dipermudahkan seluas-luasnya kepada mereka yang ikhlas mahu memperbaiki 
diri dan menambah deposit 'akaun' akhirat.
Bayangkan jika selama ini kita mungkin berdalih kesuntukan masa untuk
 membaca dan menelaah halaman al-Quran ataupun mendirikan solat, tetapi 
apabila tibanya Ramadan, seolah-olah waktu lapang itu dihadiahkan Allah 
buat kita, tinggal lagi sama ada kita sendiri yang mahu menyambut dan 
mengisinya.
Menyedari pulangan dan keuntungan besar beribadah dalam bulan mulia 
ini, maka tidak hairanlah apabila amalan beriktikaf di masjid negeri 
Masjid Muhammadi di sini telah menjadi tradisi dan budaya masyarakat 
Islam di Kelantan.
Masjid dengan binaan terbuka dan berunsur seni bina kolonial 
pra-Perang Dunia Kedua berwarna kuning cair dan coklat dengan kubah 
keemas-emasan yang menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu ini membuka 
pintu seluas-luasnya untuk tetamu Ramadan beriktikaf.
Dalam ajaran Islam, iktikaf atau berada di masjid untuk tempoh 
tertentu adalah amalan yang sunat dilakukan pada bila-bila masa dan 
paling afdal dilakukan pada 10 hari terakhir Ramadan.
Sejak sekian lama, Masjid Muhammadi menjadi tumpuan yang mana jemaah 
datang dari seluruh pelosok negeri ini bukan sahaja pada penghujung 
bulan mulia ini, bahkan ada yang datang beriktikaf sejak awal lagi, 
yakni selama sebulan penuh.
Istimewanya di masjid ini, peluang iktikaf itu bukan hanya direbut 
oleh golongan lelaki seperti mana kebiasaan di tempat lain, tetapi juga 
wanita yang menjadikan rumah Allah itu kediaman sementara. Iktikaf bagi mereka bukan sekadar menghabiskan kebanyakan waktu dalam
 sehari di masjid, tetapi hakikatnya 24 jam kekal berada di situ 
sepanjang Ramadan.
Tahun ini, terdapat lebih 20 wanita yang hampir kesemuanya warga emas
 'menginap' di situ dan mengunakan tikar sebagai alas tidur di bahagian 
luar ruang solat masjid tersebut yang lapang dan selesa. Biarpun malam mereka ditemani nyamuk yang 'mengilai' di telinga dan 
berbantalkan lipatan kain, namun ini bukanlah satu masalah besar, malah 
tidak bimbangkan keselamatan diri kerana menurut mereka, masjid itu ada 
pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam.
Salah seorang daripada mereka, Che Membunga Mamat, 80, dari 
Mulong berkata, beliau sudah lebih 20 tahun beriktikaf di masjid itu 
sepanjang Ramadan dan berazam untuk melakukannya lagi tahun hadapan jika
 dipanjangkan umur.
Katanya, adalah lebih baik dirinya berada di masjid kerana tidak 
perlu menyusahkan anaknya untuk keperluan makan minum, selain dapat 
menumpukan sepenuhnya kepada ibadah seperti solat sunat dan membaca 
al-Quran.
"Saya duduk di Mulong pun menumpang rumah anak yang juga ibu tunggal,
 saya tidak ada 'tanah air', tidak ada harta, lebih baiklah saya duduk 
di masjid. "Walaupun saya datang dengan duit hanya RM20 dalam tangan, tetapi 
saya tidak berasa susah di sini kerana pihak masjid menyediakan makan 
dan minum untuk berbuka, selain jemaah yang selalu memberi hadiah dan 
sedekah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Che Membunga memberitahu, biarpun usianya sudah lanjut, namun dirinya
 masih mampu menguruskan diri seperti membasuh pakaian sendiri di tandas
 masjid. "Tetapi berbanding tahun-tahun dahulu, saya belum lagi dapat khatam 
al-Quran walau sekali, dahulu saya boleh khatam dua hingga tiga kali 
ketika Ramadan di masjid ini," katanya lagi.
Seorang lagi 'tetamu' iaitu Fatimah Jaafar, 65, yang berasal 
dari Kampung Jerek Baru, Gua Musang berkata, beliau datang ke Kota Bharu
 dengan menaiki kereta api yang berhenti di Wakaf Bharu, Tumpat sebelum 
menyewa teksi ke masjid itu.
Katanya, ini adalah tahun ketiga dirinya beriktikaf di masjid itu dan
 memberitahu setakat pengetahuannya, hanya Masjid Muhammadi yang 
membenarkan golongan yang berminat untuk 'berumah' sepanjang Ramadan di 
situ.
"Pada bulan Ramadan sahaja peluang ini diberi kepada sesiapa sahaja 
untuk tinggal di masjid dengan syarat menjaga kebersihan dan menyimpan 
barang-barang peribadi dengan elok, khususnya apabila waktu solat Jumaat
 untuk memberi ruang jemaah lelaki sembahyang.
"Setiap pagi ada sesi pengajian al-Quran dan selepas Zuhur dan Asar juga ada kuliah, selain Tarawih 20 rakaat. "Pada permulaan Ramadan baru-baru ini ada ramai warganegara Thailand 
memenuhi ruang masjid dan mereka tidur dengan anak-anak kecil, tetapi 
pihak masjid telah mengambil tindakan dan melarang pendatang asing 
datang beriktikaf kerana mereka kebanyakannya mahu mengemis," katanya.
Rakannya, Kelthom Mahmood, 72, dari Kampung Ingin Maju, Kuala 
Krai pula berkata, walaupun dirinya tidak lancar membaca al-Quran, namun
 itu bukan penghalang untuknya sama-sama beriktikaf di masjid itu sejak 
dua tahun lalu.
Jelasnya, kesemua tetamu Ramadan di situ saling mengambil berat antara satu sama lain walaupun hanya bertemu setahun sekali. "Kami sudah tidak ada suami, sebab itu mudah untuk kami beriktikaf 
penuh sebulan, kami mahu cari pahala sebanyak-banyaknya sepanjang bulan 
ini," katanya.
Seorang lagi warga emas, Nik Ismail, 67, yang membahasakan 
dirinya 'Mok Yah' pula berasal dari Marang, Terengganu, tetapi sudah 
beberapa tahun tinggal di Pondok Pasir Tumboh dekat sini dan khusus pada
 bulan Ramadan, beliau memilih untuk 'menadah' al-Quran dan mendengar 
kuliah di Masjid Muhammadi.
"Ada kalanya 'Mok Yah' rasa tidak larat dan terpaksa meminta bantuan 
jemaah masjid yang lebih muda untuk mengangkat barang seperti beras yang
 orang sedekahkan, mujurlah tempat wuduk dan tandas masjid tidak jauh 
dari tempat kami tidur," katanya.
Aminah Yusuf, 80, dari Kampung Seribong, Pasir Tumboh pula yang tidak
 mempunyai anak sanggup menunggu hingga ke pagi Aidilfitri sekiranya 
masih ada rakan lain bersamanya pada malam raya. "Sudah 15 tahun saya berpuasa di Masjid Muhammadi, kadang-kadang saya
 bersolat raya di sini, tetapi kalau semua orang lain mahu pulang, waris
 saya akan datang menjemput," katanya.
Seorang jemaah tetap masjid, Che Mah Che Husin, 76, dari 
Padang Bongor dekat sini pula berkata, tradisi beriktikaf dan tidur di 
masjid itu sepanjang Ramadan kekal dari dahulu sehingga kini. "Sejak dari usia muda lagi saya melihat tradisi ini berlaku, orang 
dari tempat yang jauh suka datang ke Masjid Muhammadi dan sanggup 
tinggal sebulan di sini," katanya yang berulang dari rumah untuk 
beriktikaf dari waktu Zuhur sehingga selesai Tarawih setiap hari. 
Sementara itu, Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
 Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah ketika dihubungi berkata, 
Masjid Muhammadi menjadi pilihan ramai untuk beriktikaf kerana 
kedudukannya sebagai masjid negeri.
Jelasnya, kalangan yang datang bukan sahaja terdiri daripada yang 
kurang berkemampuan, bahkan dari pelbagai peringkat, termasuk golongan 
kaya dan berpangkat. "Pihak masjid tidak menghalang sesiapa untuk beriktikaf di sini dan 
kami menyediakan juadah berbuka puasa untuk 500 jemaah setiap hari," 
katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 26 Julai 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan