KOTA BHARU, 28 Julai: Orang ramai di negeri ini 
menyambut baik perkhidmatan bas Rapid yang bakal diperkenalkan di Kota 
Bharu pada tahun ini.  
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Ketereh mendapati 
perkhidmatan bas tersebut akan menyenangkan orang ramai untuk ke sesuatu
 tempat terutama bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Seorang pekerja am, Norhayati Awang, 43, berkata, kewujudan 
bas tersebut boleh memberikan satu sistem perkhidmatan pengangkutan awam
 yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna. "Kami berharap perkhidmatan yang diberikan itu akan memberikan 
keselesaan dan lebih baik berbanding perkhidmatan pengangkutan awam 
lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 25 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) akan memulakan perkhidmatannya di Kota Bharu pada tahun ini. Langkah itu merupakan sebahagian daripada perancangan untuk meluaskan
 perkhidmatan bas rapid ke seluruh negara secara berperingkat mulai 
tahun ini bagi memastikan penduduk di negeri terbabit mendapat manfaat 
daripada perkhidmatan terbaik, cekap dan berkualiti.
Seorang pekerja swasta, Nik Zamzuri Nik Muhammad, 39, berkata, dengan adanya perkhidmatan bas itu di Kota Bharu akan menyenangkan orang ramai untuk bergerak ke sesuatu lokasi. "Kami difahamkan tambang yang dikenakan oleh bas ini agak murah dan 
berpatutan terutamanya bagi golongan pelajar untuk ke semua destinasi 
berbanding pengangkutan awam lain.
"Biasanya bas tersebut juga memberi kesenangan kepada golongan kurang
 berkemampuan iaitu bagi yang berkerusi roda kerana bas tersebut 
menyediakan tempat untuk mereka menaiki bas tersebut tanpa perlu 
menggunakan tangga," ujarnya.
Seorang peniaga, Ibrahim Ismail, 42, berkata, perkhidmatan bas
 itu akan memberikan pilihan kepada orang ramai untuk menggunakan sistem
 pengangkutan awam yang ada pada hari ini.
"Selain itu, perkhidmatan bas tersebut juga dapat menambahkan 
pengangkutan awam yang sedia ada di Kota Bharu ini dan akan memudahkan 
orang ramai yang tidak mampu menggunakan kereta untuk menggunakan 
perkhidmatannya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 29 Julai 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan