Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 8 Oktober 2015

Institut Dakwah Islamiah PERKIM rancang bina bangunan baharu di Machang

KOTA BHARU: Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merancang membina sebuah bangunan baharu di Kelantan bagi memperkasa peranannya dalam memberi bimbingan kepada saudara baharu.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor berkata pihaknya sudah mengenal pasti tanah seluas 12 hektar di Machang bagi tujuan tersebut.

"Kita sudah kenal pasti satu tapak baharu di Machang yang diberikan kerajaan negeri, dan ia memadai untuk membina bangunan pentadbiran dan akademi serta asrama pelajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Asas Pengajian Islam dan Sijil Pengajian Islam Kali ke-24 institut itu di sini, hari ini.

Seramai 102 orang saudara baharu menerima sijil pada majlis tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa institut tersebut, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata masih banyak perkara perlu diteliti termasuk mencari kaedah terbaik mendapatkan sokongan kewangan daripada pihak yang bersedia untuk membantu.

"Kita mengalu-alukan jika ada pihak tertentu yang ingin mewakafkan harta tunai mereka untuk membantu menjayakan projek yang mungkin menelan perbelanjaan lebih RM60 juta ini," katanya.

Mohd Yusof berkata pihaknya kini sedang dalam proses menyediakan reka bentuk bangunan dan menyiapkan segala keperluan sebelum menentukan masa yang sesuai untuk menggerakkan projek berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji dan meneliti cadangan mewujudkan institut itu di negeri lain sebagaimana yang dicadangkan pelbagai pihak sebelum ini.

"Namun kita mungkin tidak membina di kawasan yang telah ada pusat yang hampir sama fungsinya dengan institut ini kerana sekarang banyak badan dakwah yang mempunyai pusat dakwah mereka sendiri," katanya.

Institut dakwah tersebut di Kelantan sebelum ini beroperasi di bangunan sama dengan pejabat PERKIM Kelantan di Pengkalan Chepa di sini.

Sumber: mStar Online | 8 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan