KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan menyasarkan sebanyak 6,000,000 pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Ab Rahman berkata, sasaran tersebut akan dapat dicapai melalui pelbagai promosi yang dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Saya yakin sasaran tersebut akan dicapai menjelang pada tahun depan dengan kehadiran lebih ramai pelancong terutamanya ketika musim cuti sekolah dan cuti umum.
"Disamping itu, usaha promosi yang sedang giat dijalankan secara berterusan juga dapat meningkatkan lagi kehadiran mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2016 di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Zamri Ibrahim.
Md. Anizam berkata, promosi juga akan difokuskan di beberapa negara Asia seperti Thailand dan Singapura bagi menggalakan kehadiran mereka ke Kelantan.
Katanya, pelbagai program telah diatur sepanjang TMK 2016 seperti persembahan kebudayaan, pesta wau antarabangsa, festival gasing, Seni Silat Paluan, pameran Tok Janggut dan Mumia Firaun.
"Saya berharap dengan adanya promosi yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dapat meraih pulangan ekonomi berganda dalam sektor pelancongan di Kelantan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga bercadang akan membuka peluang kepada golongan belia untuk mengikuti kursus sebagai pemandu pelancong.
"Kita mahu meningkatkan kualiti sedia ada selain menambahkan bilangan pemandu pelancong bagi memudahkan pelancong apabila berkunjung ke Kelantan pada tahun hadapan," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia | 28 Okt. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan