Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 3 Oktober 2015

Jambatan sementara Kg. Pulau Stelu ditutup kerana mendapan tanah - Polis

GUA MUSANG: Laluan alternatif yang menghubungkan Gua Musang dengan Dabong di Kuala Krai ditutup sementara waktu ekoran berlaku mendapan tanah di kepala jambatan sementara Kampung Pulau Stelu di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata laluan itu ditutup bermula pukul 1 pagi tadi selepas menerima aduan daripada pengguna jalan berkenaan.

"Kita dapati ada lubang di kepala jambatan tersebut akibat mendapan tanah dan laluan ditutup kepada semua kenderaan kecuali motosikal.

"Lubang berkenaan mungkin terjadi selepas jambatan sementara itu dinaiki air ketika hujan lebat yang berlaku awal pagi tadi," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Jumaat.

Jambatan Pulau Stelu sepanjang 300 meter itu sebelum ini musnah dalam kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada Disember tahun lepas dan sebuah jambatan sementara dibina bagi memudahkan penduduk kampung berulang-alik.

Seorang penduduk Kampung Pulau Stelu, Wan Ibrahim Wan Mahmud, 80, berkata mendapan itu hanya disedari penduduk kampung kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Berikutan itu, katanya ramai pengguna jalan raya yang datang dari arah Gua Musang ataupun Dabong, Kuala Krai terkandas kerana jambatan tersebut tidak boleh digunakan.

"Petang semalam jambatan sementara itu juga tak boleh dilalui kerana dinaiki air namun ia boleh digunakan semula sebaik air sungai kembali surut kira-kira 5 petang.

"Bagaimanapun pada pagi tadi, pak cik dapati ada lubang di kepala jambatan tersebut kerana tanah mendap yang mungkin disebabkan hujan lebat pada awal pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera membaik pulih mendapan berkenaan bagi mengelak kenderaan terus terkandas.

Selain itu, katanya ia turut memberi kesan kepada pelajar Kampung Star yang berulang-alik menggunakan jambatan sementara itu untuk ke sekolah yang terletak di Kampung Pulau Stelu.

Sumber: Bernama | 2 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan