Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 18 Oktober 2015

JKKN Kelantan iktiraf Kampung Kok Seraya di Tumpat sebagai perkampungan budaya

TUMPAT: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan hari ini mengiktiraf Kampung Kok Seraya di sini, sebagai Perkampungan Budaya dalam usaha memartabatkan pelbagai budaya di jajahan itu, termasuk persembahan menora.

Pengarahnya Che Kassim Mahmud berkata ia dilakukan bagi mengiktiraf kampung berkenaan yang masih mengekalkan budaya tempatan khususnya menora, agar tidak pupus ditelan zaman.

"Kita juga sedang berusaha mempopularkan budaya ini agar dapat diketengahkan ke peringkat kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Adat Pembukaan Panggung Menora di Kampung Kok Seraya hari ini.

Che Kassim berkata persembahan menora oleh penduduk kampung berkenaan sebelum ini, mendapat sambutan yang menggalakkan di Kuala Lumpur dan Narathiwat, Thailand.

"Kita amat menyokong program seumpama ini yang mendapat kerjasama jurulatih tersohor di Kelantan, Pak Chum a/l Chadi yang memberi latihan dengan cara betul untuk melakukan setiap persembahan yang diadakan," katanya.

Che Kassim berkata persembahan menora dengan gabungan masyarakat Siam yang diiringi pemuzik orang Melayu mampu memupuk semangat perpaduan.

"Selain menjadi daya tarikan pelancong, kita dapati budaya tempatan ini unik kerana menyatukan orang Melayu dan Siam dalam menjayakan persembahan menora," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, persembahan menora yang wujud di negeri Che Siti Wan Kembang itu tidak dilakukan dengan cara yang betul.

"Saya harap persatuan menora akan mewujudkan kumpulan tertentu dan kami akan memilih kumpulan yang terbaik untuk dipersembahkan ke peringkat kebangsaan," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan