Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 13 Oktober 2015

KTMB rancang buka semula landasan kereta api Pasir Mas - Bandar Sungai Golok

TUMPAT: Selepas memperkenalkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merancang memperluaskan perkhidmatan tersebut melalui tiga destinasi baharu bulan depan.

Presiden KTMB, Sarbini Tijan berkata, destinasi baharu berkenaan melibatkan laluan Kuala Lumpur ke Gemas, Negeri Sembilan; Gemas ke Butterworth, Pulau Pinang; serta Gemas ke Padang Besar.

“Perkhidmatan ETS dari Kuala Lumpur ke Gemas akan dilancarkan pada 1 Oktober ini manakala perkhidmatan ETS dari Gemas ke Butterworth serta Gemas ke Padang Besar pula akan bermula serentak pada 10 Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Korban Perdana KTMB dan Pelancaran Tren Shuttle Tumpat ke Kemubu di Stesen Keretapi Tum­pat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus KTMB Wilayah Timur, Saadon Abdullah.

Sarbini dalam pada itu memberitahu, penumpang ETS juga bakal menikmati perkhidmatan kereta api sambungan dari Padang Besar ke Hat Yai, Thailand yang dijadual bermula 10 Oktober ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KTMB turut merancang untuk membuka semula laluan kereta api dari Pasir Mas ke Golok, Thailand.

Katanya, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan dilancarkan sebaik sahaja diluluskan.

Sebenarnya kita menerima maklumat Thailand akan menaik taraf landasan kereta api dari Golok ke Hat Yai. Jadi mereka minta Malaysia supaya hidupkan semula perkhid­matan di laluan Pasir Mas - Golok.

“Perkara ini sejajar dengan rancangan kita yang memang mahu merancakkan semula kereta api di negeri ini, lebih-lebih lagi kilang simen yang akan dibuka di Gua Musang memerlukan perkhidmatan ke Thailand untuk mengangkut muatan,” katanya.

Menurut Sarbini, antara rancangan jangka panjang KTMB yang lain adalah membuka laluan baharu yang mempunyai landasan berkembar di sektor Pantai Timur.

Laluan baharu itu kata beliau, akan melalui Kota Bharu-Kuala Terengganu-Kuantan-Pekan-Kuala Lumpur dengan kelajuan tren mencecah 200 kilometer sejam.

Sumber: Bernama / Utusan Malaysia | 24 Sept. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan