Sarbini Tijan (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Sheikh Ahmad Dusuki S. Mohamad (dua dari kiri) semasa sidang akhbar di Padang Besar, Perlis, baru-baru ini. |
PADANG BESAR: Selepas berjaya memperluaskan operasi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di tiga destinasi Pantai Barat, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merancang untuk membuka operasi dan laluan baharu di Pantai Timur menjelang tahun hadapan.
Presidennya, Leftenan Kolonel (B) Sarbini Tijan berkata, rancangan itu kini telah berada di peringkat pelaksanaan berikutan kontraktor KTMB telah menjalankan kerja-kerja pembinaan landasan di Kemubu, Kelantan dan dijangka siap sepenuhnya pada Tahun Baharu Cina tahun depan, sekiranya tidak berlaku bencana banjir seperti tahun lalu.
Katanya, Kementerian Kewangan juga telah meluluskan peruntukan untuk pihaknya membeli 13 Unit Berganda Elektrik Diesel (DEMU) dari China yang mempunyai kuasa kelajuan 100 kilometer (km) sejam yang dijangka tiba pada 2018.
“Kami menjangkakan perkhidmatan kereta api di Pantai Timur itu akan beroperasi sebelum Ramadan tahun depan kerana kedua-dua landasan di laluan Kemubu itu hampir siap, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kota Bharu, Kelantan khususnya.
“KTMB juga akan mewujudkan beberapa stesen baharu di Pahang dan Kelantan iaitu di Kuala Lipis, Chegar Perah, Merapoh, Manik Urai, selain membina semula pejabat di Kuala Krai dan kuarters-kuarters lain yang terjejas akibat banjir lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di dalam Tren Sambungan KTMB sempena Lawatan Media dari Padang Besar Ke Hatyai, Thailand bermula 8 hingga 10 Oktober lalu.
Yang turut hadir Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki S. Mohamad.
Mengulas lanjut Sarbini berkata, reka bentuk fizikal kereta api baharu DEMU itu akan dilengkapi dengan empat gerabak yang kelihatan seperti ETS, tetapi ini menggunakan bahan bakar diesel sepenuhnya.
Katanya, KTMB merancang untuk menjalankan operasi kereta api itu pada waktu bekerja bagi membolehkan penduduk di Kelantan menggunakannya sebagai pengangkutan alternatif ke pejabat masing-masing.
Jelas beliau, masyarakat Kelantan tidak perlu bimbang kerana kereta api itu akan beroperasi seperti sistem perkhidmatan komuter, secara tidak langsung boleh digunakan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 12 Okt. 2015 | Terbitan 13 Okt. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan