Ahmad (dua, kanan) melawat gerai yang turut mengambil bahagian sempena ekspo tersebut. |
KOTA BHARU: Kelantan mempunyai kelebihan daya saing dan berpotensi tinggi menjadi hab halal bagi memasarkan produk dan makanan berlandaskan syariat.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, dari segi material, pekerja dan pendekatan pembuatan produk di Kelantan terjamin malah cop halal yang dikeluarkan juga mempunyai nilai tinggi.
Beliau berkata, melihat kepada potensi itu kerajaan negeri juga turut memperuntukkan dana untuk mempertingkatkan industri halal di sini.
“Kita ada medan halal park di Apam, Pasir Mas sudah siap sepenuhnya cuma dalam proses menerima tempahan tempat, malah kita juga telah kenal pasti 200 ekar tanah di Tok Bali, Pasir Puteh juga untuk bangunkan industri halal.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan sama dari segi keperluan rohani dan jasmani. Oleh itu setiap tahun kita kumpul pengusaha makanan dan produk halal dalam satu ekspo sebagai menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Makanan Halal Antarabangsa Kelantan 2015.
Ekspo tahun ketiga itu bermula pada 29 Oktober hingga 2 November menyediakan 130 gerai di mana penganjur mensasarkan 50,000 pengunjung dalam masa tiga hari ekspo berlangsung.
Ahmad berkata, ia dijadikan ekspo tahunan dengan mengumpulkan pengusaha dan pembuat makanan halal bukan sahaja dari Malaysia malah turut disertai peserta dari China, Thailand, Singapura dan Arab.
“Ekspo ini jika diurus dengan baik akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat bagi meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.
Dalam perkembangan politik semasa , Ahmad Yakob berkata, Pas sebagai sebuah parti yang sudah lama dan ada kekuatan sendiri bersedia menghadapi pilihan raya umum dengan sokongan jentera sedia ada.
Walaupun wujudnya konflik dalam Pakatan Rakyat (PR) Pas masih lagi bekerjasama dengan PKR.
“Pas sebuah parti yang dah lama wujud dan besar dan kita masih lagi menjalinkan hubungan kerjasama erat bersama PKR,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Okt. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan