KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyalurkan RM1.3 juta bantuan berupa pelbagai bentuk peralatan bagi meningkatkan pendapatan 130 peserta Azam Tani dalam sektor perikanan di Kelantan, tahun ini.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan Abdullah Ismail berkata peruntukan itu melibatkan bantuan seperti enjin bot, sampan fiber dan motosikal roda tiga di Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
"Sehingga kini, penyerahan bantuan telah dibuat melibatkan 54 nelayan di Tumpat dan 48 nelayan di Kota Baharu, manakala baki 28 nelayan di Bachok dan Semerak (Pasir Puteh) akan dilaksanakan pada bulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pelbagai Peralatan Kepada Mangsa Banjir Peserta Azam Tani Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Bharu di Kompleks LKIM Kuala Besar di sini, Ahad.
Majlis dirasmikan Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pengkalan Chepa Zaluzi Sulaiman yang telah menyampaikan bantuan pelbagai peralatan kepada 48 peserta Azam Tani PNK Kota Baharu termasuk 40 peserta yang terlibat bencana banjir pada tahun lepas bernilai RM449,900.
Dalam pada itu, Zaluzi yang juga Ketua UMNO bahagian Pengkalan Chepa berkata sumbangan itu selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan membantu golongan sasar menjana pendapatan tambahan.
"Saya harap semua penerima bantuan memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang diberikan ini dan tidak menjualnya kepada orang lain untuk mendapatkan keuntungan segera yang bersifat sementara," katanya.
Penerima bantuan Ab Aziz Mat Sanishah, 48, dari Kampung Uda Murni, Tanjung Chat di sini, berkata beliau amat gembira kerana hasratnya untuk mengembangkan perniagaan bakal terlaksana.
"Sebelum ini saya menjaja ikan menggunakan motosikal biasa dengan pendapatan bersih antara RM30 hingga RM40 sehari. Dengan adanya motosikal roda tiga ini saya mampu mempelbagaikan jualan kerana ia mampu menampung lebih banyak muatan," katanya yang menyara empat anak.
Ab Aziz yang menjadi nelayan sejak lebih 30 tahun lalu berkata dia perlu mencari peluang pekerjaan lain berikutan tangkapan ikan yang makin berkurangan ketika ini selain cuaca yang tidak menentu.
Sumber: Bernama | 4 Okt. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan