Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 31 Oktober 2015

Nafi Kelantan disisih dalam Bajet 2016

KOTA BHARU: Peruntukan Bajet 2016 dilihat memberi banyak kelebihan kepada Kelantan termasuk tiga projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, dengan projek pembangunan itu, ia sekali gus menyangkal tuduhan sebelum ini yang mendakwa BN tidak berlaku adil terhadap Kelantan.

“Walaupun negeri ini tidak diperintah BN, namun kita masih memperoleh tiga projek besar iaitu pembinaan tambatan banjir, pembinaan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baharu dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP),” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Bendang Pauh Sembilan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Besar Kada, Ir Mohd Ridzuan Ismail. Pada majlis itu, seramai 200 pemilik sawah dan pengusaha menerima insentif di bawah projek NKEA dengan peruntukan membabitkan RM212,000.

Md Alwi berkata, menerusi Bajet 2016 juga, kerajaan turut melaksanakan Pemutuan Sebenar Padi dan galakan melalui Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) untuk meningkatkan taraf hidup golongan petani.

Sebelum ini petani memperoleh subsidi berjumlah RM248.10 bagi setiap tan metrik dan akan ditambah menjadi RM300 bagi setiap tan metrik, tidak termasuk skim subsidi yang lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai hasil padi, beliau berkata, Kada menyasarkan peningkatan hasil padi sehingga 300,000 tan metrik menjelang 2020.

Katanya, setakat ini, hasil padi telah mencapai 266,000 tan metrik dengan keluasan tanah padi setakat 28,072 hektar, berbanding 29,000 hektar sebelum ini.

Sumber: Sinar Harian | 29 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan